- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi bidas kenyataan ‘robotik’ Singapura ketika protes hukuman mati warga Malaysia meningkat

LFL berkata kementerian dalam negeri Singapura sengaja mengabaikan kebimbangan yang disuarakan mengenai keadaan mental Nagaenthran K Dharmalingam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum untuk menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawanya.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum untuk menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawanya.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyelar respons kerajaan Singapura terhadap protes semakin meningkat berhubung pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang banduan warga Malaysia yang tidak memiliki keupayaan mental, mendakwa kerajaan Singapura gagal membantu keluarganya dalam urusan perjalanan ke sana.

LFL berkata kementerian dalam negeri Singapura sengaja mengabaikan kebimbangan yang disuarakan mengenai keadaan mental Nagaenthran K Dharmalingam dengan mengatakan lelaki itu memahami jenayah berat yang dilakukannya.

Penasihat LFL N Surendran berkata faktor utama protes terhadap pelaksanaan tersebut adalah keadaan Nagaenthran yang didiagnosis tidak memiliki keupayaan intelek oleh pakar psikiatri sepanjang perbicaraannya, selain turut berkata pelaksanaan hukuman mati terhadap orang sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa bahkan “memualkan semua orang yang mendengar tentangnya”.

“Ini adalah bantahan dan kebimbangan orang yang memiliki fikiran yang waras, baik daripada warga Malaysia mahupun Singapura, terhadap rancangan pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran.

“Inilah juga sebab mengapa rakyat Singapura mengumpul dana untuk keluarga Nagaenthran dan mengapa rakyat Malaysia melakukan bantahan awam sejak kebelakangan ini.

“Respons kaku seperti robot kementerian dalam negeri yang mengatakan proses mahkamah dan proses pengampunan yang gagal tidak menjawab soal kebimbangan ini,” kata Surendran.

Semalam, kementerian dalam negeri Singapura mempertahankan hukuman mati ke atas Nagaentran apabila tekanan semakin meningkat di Singapura dan Malaysia supaya republik itu menghentikan pelaksanaan yang dijadualkan pada 10 November depan.

Ia berkata Nagaenthran, yang disabitkan kesalahan mengedar dadah ke Singapura, memahami dengan jelas jenayah tersebut, sambil menambah dia juga gagal dalam semua proses rayuan perundangan.

Kerajaan Singapura turut mendakwa ia memberi kemudahan kepada keluarga Nagaentran untuk pergi ke Singapura.

Respons tersebut tampil ketika bantahan terus meningkat di Malaysia berhubung hukuman mati tersebut.

Dalam protes yang disuarakan, aktivis hak asasi manusia mengingatkan Singapura tentang kewajipan dan tanggungjawabnya untuk mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati ke atas orang kurang keupayaan mental atau terencat akal.

Petisyen dalam talian juga turut dimulakan bagi menggesa Presiden Singapura Halimah Yacob menggunakan kuasa pengampunannya ke atas Nagaenthran yang kini telah mengumpulkan kira-kira 50,000 tandatangan.

Semalam juga, puluhan aktivis dan NGO berkumpul di Parlimen Kuala Lumpur bagi menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

Cabaran perlembagaan seorang peguam Singapura juga akan didengar pada 8 November dalam usaha menghentikan pelaksanaan hukuman itu.

Dalam pada itu, LFL turut mempertikaikan dakwaan kementerian dalam negeri Singapura yang mengatakan pihaknya memberikan bantuan kepada keluarga Nagaenthran untuk melawatnya di penjara.

Menurut LFL, seorang aktivis Singapura, Kirsten Han yang membantu keluarga Nagaenthran bagi membiayai kos serta menguruskan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang sukar menyifatkan proses tersebut sebagai “mimpi ngeri” selain turut diganggu dengan pelbagai sekatan.

“Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) hanya berkomunikasi dengan keluarga tersebut apabila Han membuat permohonan kepada SPS. SPS sebenarnya menyukarkan proses itu dengan enggan berkomunikasi secara langsung dengan Han, yang merupakan wakil keluarga itu di Singapura bagi urusan-urusan tersebut,” kata Surendran.

Surendran turut mengingatkan kementerian dalam negeri Singapura keluarga Nagaenthran tidak pergi ke negara itu sebagai pelancong.

“Keluarga Nagaenthran tidak mahu masuk Singapura; mereka hanya terpaksa masuk Singapura kerana tekanan melampau untuk melawat ahli keluarga tersayang yang berdepan hukuman mati.”

Surendran turut memberi amaran pelaksanaan hukuman mati yang tetap diteruskan Singapura pada 10 November akan menjadi “kesan darah kekal” ke atas Singapura.

“Kami gesa supaya mereka ambil sikap bertamadun dan hentikan hukuman.”