- Iklan -
Rencana

Jika Malaysia bukan Nazi Jerman, berhenti ganggu tugas Shafee

Jika peguam tidak boleh menjalankan tugas mereka dengan bebas dan tanpa halangan, hak rakyat biasa akan terancam.

Zaid Malek
2 minit bacaan
Kongsi

Kami merujuk kepada kenyataan semalam bahawa peguam negara akan meneruskan prosiding hina mahkamah terhadap peguam Shafee Abdullah berhubung kenyataan "Nazi Jerman" ketika sidang media mengenai prosiding kes adendum di mana beliau mewakili bekas perdana menteri Najib Razak.

Daripada video sidang media itu, jelas sekali kiasan Shafee mengenai "perbicaraan ala Nazi Jerman" merujuk kepada kegagalan membenarkan kedua-dua pihak didengari sebelum perintah mahkamah dibuat.

Ia merupakan kenyataan protes terhadap kegagalan memberikan hak anak guamnya supaya didengari, iaitu prinsip asas keadilan semula jadi. Maka kritikan yang dibuat terhadap kegagalan itu adalah sah dan jauh sekali daripada menghina, biarpun melibatkan istilah yang digunakan Shafee.

Dengan kata lain, Shafee tidak memanggil mahkamah sebagai mahkamah Nazi Jerman, tetapi cuba menjelaskan kepada wartawan mengapa secara asasnya adalah salah untuk menjalankan perbicaraan secara unilateral. Beliau ada hak untuk berkata begitu.

Sebagai peguam, Shafee mempunyai kewajipan untuk bersuara, sama ada di dalam atau di luar mahkamah, untuk membela anak guamnya. Dalam berbuat demikian, beliau tidak boleh diugut atau diganggu dalam apa jua cara.

Jika peguam tidak boleh menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa halangan, hak rakyat Malaysia biasa akan terancam. Badan kehakiman merupakan benteng terakhir antara kerajaan yang berkuasa dan individu, dan peguam memainkan peranan penting dalam proses kehakiman.

Hak diwakili peguam dijamin di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Menggunakan dakwaan hina mahkamah tanpa asas terhadap peguam merupakan pelanggaran hak ini kerana ia boleh menghalang peguam daripada memenuhi tugas mereka kepada anak guam.

Tindakan sedemikian perlu dihentikan serta-merta kerana ugutan dan gangguan terhadap peguam sudah pasti mewujudkan persekitaran yang bersifat permusuhan yang akan menghalang mereka daripada melaksanakan sepenuhnya tugas profesional mereka, sekali gus melucutkan hak rakyat untuk mendapatkan peguam yang berkesan tanpa rasa takut.

Oleh itu, Jabatan Peguam Negara perlu mengabaikan serta menarik balik rancangannya memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Shafee, seterusnya menghormati hak mendapatkan peguam seperti mana dilindungi di bawah perlembagaan.

Kerajaan juga mesti memastikan tiada institusi negara dibenarkan mengganggu dan menakut-nakutkan peguam.

Lagipun, Malaysia adalah sebuah negara yang dipandukan kedaulatan undang-undang, tidak seperti Nazi Jerman.

Zaid Malek merupakan pengarah Lawyers for Liberty (LFL).

Tulisan ini adalah pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.