Tuesday, December 7, 2021

Mahkamah Singapura akan putuskan nasib banduan Malaysia 48 jam sebelum pelaksanaan

Mahkamah tinggi Singapura bakal mendengar cabaran perlembagaan bagi menghentikan pelaksanaan hukuman mati pada 10 November terhadap Nagaentran K Dharmalingam, banduan cacat mental yang disabit kesalahan dadah.

Other News

Mahkamah Singapura akan mendengar cabaran terhadap hukuman mati ke atas banduan cacat mental warga Malaysia kira-kira 48 jam sebelum hukuman mati dijalankan di Penjara Changi pada 10 November.

M Ravi, peguam terkenal mewakili Nagaenthran K Dharmalingam yang disabitkan kesalahan dadah sedekad lalu, berkata beliau memfailkan cabaran perlembagaan berdasarkan dua artikel berkaitan hak untuk hidup yang termaktub dalam perlembagaan republik itu selain tanggungjawab Singapura untuk menghormati perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang pelaksanaan hukuman mati ke atas orang kurang keupayaan mental atau terencat akal.

Ravi berkata mereka menuntut supaya tafsiran Artikel 9 dalam perlembagaan negara itu dibaca selaras dengan tanggungjawab antarabangsa, memetik penghakiman pada 2010 mengenai kepentingan mematuhi perjanjian-perjanjian yang ditandatanganinya.

Beliau juga berkata cabaran turut memetik klausa perlembagaan dalam Artikel 12 mengenai hak kesaksamaan dan layanan setara.

“Kami akan berhujah bahawa tidak ada hubungan logik pelaksanaan hukuman ke atas Nagaenthran dengan keupayaannya untuk mencegah jenayah kerana ketidakupayaan mental Nagaenthran tidak membolehkannya memahami atau menghargai pencegahan tersebut.

“Oleh itu kami berpandangan pelaksanaan hukuman tersebut adalah tidak rasional dan merupakan tindakan melulu oleh kerajaan,” kata Ravi dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mendedahkan ibunya dimaklumkan melalui surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura bertarikh 26 Oktober bahawa anaknya akan menjalani hukuman mati pada 10 November depan.

Nagaenthran disahkan mengalami kecacatan mental dan memiliki tahap IQ yang rendah selain turut didiagnosis memiliki Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Dia disabitkan pada 2011 kerana mengimport 42.72g diamorfin secara haram dan dijatuhi hukuman mati di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura yang merupakan undang-undang kontroversi namun terus dipertahankan pemimpin negara itu dengan menyifatkannya sebagai pencegah jenayah pengedaran dadah yang berkesan.

Pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran turut mencetuskan kecaman hebat daripada aktivis dan kumpulan hak asasi manusia.

“Keputusan Singapura yang bertekad untuk meneruskan pelaksanaan hukuman ini adalah satu hal yang mengejutkan dan memualkan,” kata kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Malaysia, LFL.

Kumpulan altivis turut menggesa Putrajaya campur tangan dan merayu bagi pihak Nagaenthran, mengingatkan kerajaan tentang pelantikan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB baru-baru ini.

“Kami menggesa menteri luar untuk campur tangan dan merayu supaya pelaksanaan hukuman ini dihentikan sekali gus mengubah hukuman mati terhadap Nagaenthran kepada hukuman penjara seumur hidup,” kata Angelia Pranthaman dari NGO Sebaran Kasih, sebuah kumpulan anti pelaksanaan hukuman mati selain turut mempersoalkan jadual pelaksanaan hukuman ketika musim perayaan Deepavali.

Sekumpulan aktivis masyarakat sivil juga merancang untuk menyerahkan memorandum di Parlimen esok, dalam usaha mengetengahkan kes itu kepada ahli Parlimen Malaysia.

Sementara itu, peguam Mahajoth Singh turut mengadakan protes di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur sejak Ahad lalu, dengan harapan ia dapat meningkatkan kesedaran tentang nasib Nagaenthran dan menggesa kerajaan Malaysia turut campur tangan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles