- Iklan -
Berita

Lebih 30 bangku kosong hakim ancam proses keadilan di sebalik skandal kehakiman

Ia berlaku di tengah-tengah kontroversi berkenaan dakwaan campur tangan Anwar Ibrahim dalam urusan kehakiman.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Lebih 30 jawatan hakim kanan masih belum diisi dan dibimbangi mengancam kecekapan sistem keadilan Malaysia di mana mahkamah seluruh negara terpaksa menangguhkan perbicaraan selama bertahun-tahun, ketika kemarahan memuncak berhubung dakwaan campur tangan urusan kehakiman oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow difahamkan sekurang-kurangnya 30 bangku hakim merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi kekal kosong.

Ia merupakan tambahan kepada kontroversi yang menyelubungi pelantikan tetap Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, yang kini diburukkan lagi dengan kebocoran sebuah dokumen rasmi yang menurut pengkritik mengesahkan perdana menteri cuba mengatur pengisian jawatan hakim tertinggi negara.

Antara 30 jawatan kosong itu termasuk untuk 24 hakim di Mahkamah Tinggi, tiga di Mahkamah Rayuan dan dua di Mahkamah Persekutuan.

Sumber yang biasa dengan proses pelantikan hakim berkata walaupun jawatan-jawatan tersebut "sudah kosong untuk sekian lama", proses untuk mengisinya kini "menjadi semakin rumit".

"Lebih-lebih lagi apabila wujud persepsi umum bahawa syor JAC tidak diendahkan,” kata sumber itu, merujuk kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), badan yang menasihati kerajaan mengenai pelantikan hakim kanan.

Anwar sebelum ini dilaporkan telah menolak syor oleh JAC dan bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat berkenaan calon yang akan menggantikannya sebagai ketua hakim, di samping seorang Hakim Besar Malaya yang baharu.

Ia susulan persaraan Tengku Maimun sebagai ketua hakim dan Abang Iskandar Abang Hashim sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Dengan ketiadaan pengganti tetap, kedua-dua jawatan itu kini dipangku oleh dua hakim. Mereka ialah Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim yang dilantik sebagai pemangku ketua hakim negara, manakala hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof dilantik pemangku presiden Mahkamah Rayuan selepas kedua-duanya diberikan lanjutan tempoh khidmat selama enam bulan apabila mencapai umur persaraan wajib tahun ini.

Kegagalan Anwar menamakan jawatan hakim tertinggi mencetuskan kritikan pelbagai pihak mengenai cara beliau mengendalikan kuasa perlembagaannya dalam pelantikan hakim kanan, meskipun kebebasan badan kehakiman menjari antara slogan utama beliau sepanjang dua dekad menjadi pembangkang.

Sebelum ini, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, peguam negara pertama yang dilantik Anwar sejak mengambil alih kuasa, dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, walaupun namanya bukan dalam senarai yang disyorkan Tengku Maimun kepada perdana menteri.

Bulan lalu, MalaysiaNow melaporkan bahawa Terrirudin merupakan salah seorang daripada dua hakim yang berpeluang menjadi Hakim Besar Malaya, jawatan yang dilihat menjadi batu loncatan kepada jawatan Ketua Hakim Negara.

Memetik sumber, laporan itu berkata selain Terrirudin, rakan sejawatnya di Mahkamah Persekutuan, Vazeer Alam Mydin Meera, yang dianggap lebih berpengalaman, turut disenarai pendek sebagai calon Hakim Besar Malaya.

Isu itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai kuasa perdana menteri dalam melantik hakim kanan, sesuatu yang pernah dibangkitkan raja-raja Melayu beberapa hari selepas Anwar dinamakan sebagai perdana menteri.

Pada November 2022,  Majlis Raja-Raja menyuarakan kebimbangan mengenai kuasa luas yang ada pada perdana menteri dalam pelantikan hakim, dan mencadangkan perdana menteri tidak lagi diberikan kuasa melantik lima wakil dalam JAC.

Empat daripada sembilan anggota JAC adalah hakim kanan, manakala lima lagi adalah lantikan perdana menteri.

Pelantikan Terrirudin daripada seorang peguam negara kepada hakim Mahkamah Persekutuan dalam masa yang singkat,  di samping permohonan kekebalan oleh Anwar di Mahkamah Persekutuan dalam berdepan saman serangan seksual oleh seorang pemuda berusia 33 tahun, telah menyemarakkan lagi kontroversi kehakiman ini.

Kebocoran minit mesyuarat JAC yang diadakan pada Mei lalu untuk memilih Hakim Besar Malaya yang baharu - iaitu sama ada Terrirudin atau Vazeer - telah mengesahkan krisis dalam badan kehakiman, yang disifatkan oleh kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) sebagai "ibu kepada semua skandal kehakiman".

"Ia sudah tidak boleh disorokkan lagi; semuanya sudah terdedah, dan orang ramai sudah melihatnya. Akibatnya, keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman akan menjunam," kata pengasas bersama LFL dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya, yang turut menggesa perlembagaan dipinda bagi menghapuskan sama sekali kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim.