Singapura pertingkat retorik pro-Israel, dakwa Iran dan 'proksi' lakukan serangan pengganas
Rejim itu berkata ia menghadapi 'risiko keselamatan' sambil mendakwa kehadiran sel pengganas di negara jiran.
Terkini
Kerajaan Singapura mempertingkatkan retoriknya menyokong Israel meskipun berdepan kritikan ahli politik Malaysia terhadap pendiriannya baru-baru ini yang mengkritik langkah Iran membataskan laluan kapal di Selat Hormuz.
Kali ini, seorang menteri kanan Singapura mencadangkan negara itu berdepan risiko keselamatan sejak permulaan serangan AS-Israel terhadap Tehran.
Dalam kenyataan yang seolah-olah mengetepikan hakikat bahawa perang itu dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, menteri bertanggungjawab hal keselamatan negara, K Shanmugam, semalam menuduh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan proksinya melancarkan serangan ke atas Israel dan negara-negara Teluk, serta menyasarkan institusi AS dan Yahudi di Barat.
"Proksi ini tidak terhad kepada Timur Tengah. Ini adalah sesuatu yang kami perhatikan dengan teliti," kata Shanmugam, sambil mencadangkan kewujudan "operator Hamas" di negara jiran.
Dakwaan itu muncul beberapa hari selepas rakan Kabinetnya, Menteri Luar Vivian Balakrishnan, dikecam hebat atas komen mengkritik langkah Iran mengenakan sekatan di Selat Hormuz sebagai usaha mempertahankan diri daripada kempen pengeboman AS-Israel, yang setakat ini telah meragut nyawa beribu-ribu orang dan menyebabkan jutaan orang awam kehilangan tempat tinggal di seluruh Iran dan Timur Tengah.
Vivian memberikan alasan bahawa Singapura tidak mahu berunding dengan Iran untuk mendapatkan laluan selamat kapalnya di Selat Hormuz kerana "pendirian berprinsip" mematuhi undang-undang antarabangsa.
Alasan itu serta-merta dikecam pelbagai pihak, termasuk pengguna media sosial Singapura yang menuduhnya hipokrit.
"Berhenti gunakan istilah 'prinsip' untuk menggambarkan dasar yang, pada terasnya, berasaskan kepentingan, kerana dasar luar berasaskan kepentingan adalah sah, tetapi ia tidak boleh bertopengkan prinsip. Lebih baik kamu pakai skirt saja lah Vivian. Nama kamu pun dah ke arah itu," kata komen tular yang dimuat naik oleh sebuah halaman Facebook yang membincangkan isu Singapura.
Susulan itu, pelbagai gambar mula disebarkan menunjukkan Vivian memakai kippah (kopiah Yahudi) sedang beribadat di Tembok Barat ketika lawatannya ke tapak suci Yahudi itu pada 2022, di samping gambar-gambar beliau disambut mesra oleh Benjamin Netanyahu tahun lepas.
Pendirian Singapura mengenai perang di Timur Tengah mengembalikan perbincangan mengenai persamaan Singapura dengan Israel, di mana kedua-dua entiti kecil itu bukan sahaja bersekutu dengan Washington, tetapi juga wujud di tengah-tengah lautan umat Islam yang besar.
Diapit antara jiran Indonesia dan Malaysia, kedua-duanya dengan populasi umat Islam yang lantang menentang Israel, Singapura merupakan antara beberapa negara yang mempunyai hubungan ketenteraan dan diplomatik rapat dengan Israel. Antara 2018 dan 2022, ia mengimport senjata bernilai AS$73 juta dari Israel.
Singapura turut mencontohi sistem keselamatan dan pertahanan Israel, termasuk melaksanakan latihan ketenteraan wajib untuk setiap warganegara.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
