- Iklan -
Rencana

Sebelum pertahan penangkapan Myla, dengar video 3 minit 14 saat

Jelik, kesat, lucah? Di mana elemen-elemen itu dalam video dimuat naik Myla?

Rafique Rashid
2 minit bacaan
Kongsi

Saya ikuti pelbagai komen selepas berita penahanan reman wanita bernama Myla tersebar. Dia ditahan reman selama tiga hari.

Pada saya penahanan ini keterlaluan. Itu pendapat saya berdasarkan pengalaman sebagai peguam yang beramal dalam guaman jenayah serta isu-isu keperlembagaan.

Yang mencuit hati adalah pemahaman mereka yang mempertahan penahanan tersebut. 

Antara lain mereka kata kebebasan bersuara adalah hak tetapi bukan lesen untuk berkata jelik, lucah, maki, fitnah atau bohong.

Atas permukaan nampak bijak hujah ini, lebih-lebih lagi kalau yang menulis itu ada latar belakang undang-undang atau berpelajaran sikit mahupun berstatus pempengaruh yang ada nama.

Tetapi ada sesuatu yang tidak kena,iaitu kegagalan memahami apa sebenarnya yang berlaku.

Asas undang-undang adalah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 antara lain ialah kebebasan bersuara. Ya, tidak mutlak, ada hadnya. Undang-undang boleh halang.

Tetapi, perlu rakyat lihat dan dengar audio video berdurasi 3 minit 14 saat yang tular. Ini yang didakwa menjadi subjek siasatan yang membawa tahanan reman tiga hari.

Kertas siasatan pula disahkan dibuka bawah empat kesalahan yang disiasat: Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Di sinilah ramai yang tidak puas hati, dan perasaan itu bertempat. Mengapa Sebab kerajaan yang ada hari ini membiak dari jalanan atas asas kebebasan bersuara serta janji akan mansuh undang-undang drakonian yang sekat hak asasi ini.

Jelik, kesat, lucah? Di mana elemen-elemen itu dalam video 3 minit 14 saat Myla? 

Yang wujud adalah kritikan pada perdana menteri. Ya, PM yang sekarang panggil kita rakyat sebagai bebal, bodoh, buta huruf, tak ada otak, tidak bijak, tak membaca.

Semasa PM jadi ketua pembangkang dahulu, apakah dia lupa dia kritik semua perdana menteri dari PM4, PM5, PM6, PM7, PM8 ke PM9? Masa itu bila dia atau pembangkang disiasat, adakah mereka terima sahaja? Mereka duduk senyap atau turun ke jalan raya?

Mereka terima sahaja? Atau guna pempengaruh kritik hari-hari, tidak berguling? Tidak bawak plakad suruh kerajaan ditolak?

Nasihat saya pada yang masih pertahan PM serta kerajaan hari ini, carilah peguam yang pernah buat kes-kes hasutan. Jangan guna peguam yang belajar undang-undang 4/5/6 tahun kemudian duduk bilik berhawa dingin jadi penasihat undang-undang, untuk pertahan tindakan sebegini.

Ya, saya akur tiada kebebasan mutlak, tapi masa yang sama hak mengkritik itu ada dan wujud serta dibenar undang-undang.

Kepada pihak berkuasa polis, nasihat saya, guna budi bicara. Kes-kes sebegini tidak perlu tahan reman. Ambil keterangan, rampas gajet, lengkap siasatan dan majukan kertas siasatan pada Jabatan Peguam Negara. 

Kepada Madani, bila mahu hapus Akta Hasutan? Kepada rakyat, jangan takut. Diktator tidak akan wujud selamanya. 

Kerajaan sekarang takut dengan rakyat. Maka Myla dijadikan subjek intimidasi pada rakyat, sebagai bukti bahawa kerajaan ini tidak akan kompromi dengan mereka yang mengkritik. Anwar, undurlah! Ini bukan kritik, ini hasut rakyat.

Rafique Rashid ialah seorang peguam dan ketua penerangan Pejuang.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.