Thursday, November 25, 2021

NGO berhimpun di Parlimen ketika tekanan memuncak bagi hentikan hukuman mati Singapura ke atas warga Malaysia cacat mental

Beberapa NGO berhimpun bagi meningkatkan tekanan ke atas Putrajaya untuk campur tangan terhadap pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran K Dharmalingam.

Other News

Tekanan semakin meningkat terhadap Putrajaya supaya turut campur tangan bagi menyelamatkan nyawa seorang banduan bilik akhir warga Malaysia menjelang pelaksanaan hukuman mati di Singapura pada 10 November depan.

Puluhan aktivis berhimpun di Parlimen hari ini untuk menyerahkan sebuah memorandum bagi mengetengahkan nasib Nagaenthran K Dharmalingam yang disabitkan kesalahan dadah 10 tahun lalu namun disahkan sebagai orang kurang kemampuan intelek.

Mereka berkata hukuman mati ke atas Nagaenthran yang didiagnosis memiliki ketidakupayaan mental, bukan sahaja melanggar perjanjian antarabangsa bahkan turut melanggar perlembagaan Singapura, sambil menambah Malaysia juga mempunyai kewajipan untuk mematuhi prinsip hak asasi manusia yang mesti dipatuhinya susulan pelantikan negara menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) baru-baru ini.

Nagaenthran disahkan mengalami kecacatan mental dan memiliki tahap IQ yang rendah selain turut didiagnosis memiliki Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Dia disabitkan pada 2011 kerana mengimport 42.72g diamorfin secara haram dan dijatuhi hukuman mati di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura yang merupakan undang-undang kontroversi namun terus dipertahankan pemimpin negara itu dengan menyifatkannya sebagai pencegah jenayah pengedaran dadah yang berkesan.

Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum hari ini.

Pengkritik hukuman mati Singapura berkata sejak beberapa dekad lalu, undang-undang tersebut menjadikan beberapa keldai dadah daripada keluarga miskin sebagai mangsanya, di mana mereka dijanjikan ganjaran lumayan oleh sindiket jenayah untuk menyeludup dadah ke republik itu.

Dokumen perubatan yang dikemukakan semasa perbicaraan Nagaenthran juga berkata dia tidak mempertimbangkan akibat jangka panjang tindakannya ketika perbuatan itu dilakukan, selain penggunaan alkohol yang turut menjejaskan pertimbangan keputusannya.

Dalam memorandum tersebut, kumpulan itu membangkitkan kebimbangan mengenai penahanan Nagaenthran pada 2009 dan siasatan lanjut terhadapnya, memetik aduannya bahawa dia diugut oleh pihak ketiga yang menyerahkan dadah tersebut kepadanya selain turut diserang oleh pihak berkuasa.

“Boleh dikatakan bukan sahaja pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran adalah salah memandangkan keadaan yang meliputi kes itu dan sentimen yang dikongsi pertubuhan dan badan-badan ini, malahan adalah sangat keterlaluan untuk melaksanakan hukuman mati terhadap orang kurang upaya dari segi intelek berdasarkan kebertanggungjawab peribadi mereka,” kata kenyataan bersama NGO yang berhimpun hari ini.

Mereka turut mengingatkan Singapura dan Malaysia tentang kewajipan untuk mematuhi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang melarang hukuman mati ke atas mereka yang tidak memiliki keupayaan mental.

“Berhubung perkara ini, Malaysia harus mengiktiraf kepentingan isu ini dan melaksanakan kewajipannya seperti apa yang dituntut dalam konvensyen tersebut dengan mengambil semua langkah yang perlu atau sewajarnya sama ada mendesak penangguhan atau menghentikan pelaksanaan tersebut yang dijadualkan pada 10 November.”

Mereka juga berkata jenayah Nagaenthran tidak boleh dikategorikan sebagai “jenayah paling berat” seperti dinyatakan di bawah The International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), sebuah perjanjian yang melarang hukuman mati dilaksanakan.

“Walaupun Malaysia dan Singapura tidak menandatangani ICCPR, tafsiran dan had kepada pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan dadah tidak boleh diabaikan kerana ia menarik pandangan dan penerimaan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.”

Pada 8 November ini, mahkamah Singapura akan mendengar cabaran perlembagaan yang difailkan peguam hak asasi terkemuka M Ravi dalam usaha terakhirnya bagi menghentikan hukuman mati Nagaenthran.

Ravi menuntut tafsiran Artikel 9 dibaca selaras dengan kewajipan antarabangsa, memetik penghakiman pada 2010 mengenai kepentingan mematuhi perjanjian yang ditandatangani Singapura, selain klausa perlembagaan negara itu mengenai hak kesaksamaan dan layanan setara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles