Tuesday, December 7, 2021

Kumpulan hak asasi gesa Singapura henti jadi Goebbels ulangi ‘pembohongan’ kes Nagaenthran

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran berkata Nagaenthran disahkan kurang keupayaan intelek oleh pakar psikiatri dalam perbicaraan.

Other News

Kenyataan kerajaan Singapura menuduh seorang banduan warga Malaysia mengubah kelayakan akademik bagi menunjukkan IQ dimilikinya rendah seperti diagnosis pakar psikiatri semasa perbicaraannya diselar kumpulan hak asasi manusia, menyifatkan tindakan tersebut sama seperti amalan “pembohongan berulang” propagandis era Nazi Jerman Joseph Goebbels.

Lawyers for Liberty (LFL) yang lantang menentang hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam berkata kerajaan Singapura mengulangi dakwaan tidak berasas bagi mempertahankan keputusannya meneruskan pelaksanaan hukuman mati pada 10 November depan.

“Kandungan kedua-dua kenyataan pada 3 dan 6 November adalah hampir sama, justeru ia kelihatan seperti ‘cara Goebbels’ yang berbohong berulang kali,” kata Penasihat LFL N Surendran.

“Secara dasarnya, kementerian dalam negeri sekali lagi mengulangi bahawa mahkamah menilai semua bukti termasuk keterangan psikiatri dan mengekalkan hukuman mati, tetapi ini tidak menjawab kebimbangan di Malaysia, Singapura dan di seluruh dunia yang melihatnya sebagai satu keputusan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang kerana melaksanakan hukuman mati terhadap orang seperti Nagaentran yang memiliki fungsi intelek IQ 69, selain menghidap Sindrom ADHD dan masalah kognitif lain.”

LFL juga mempersoalkan dakwaan kementerian dalam negeri Singapura yang berkata pakar psikiatri pihak pembelaan dalam perbicaraan Nagaenthran yang berkata lelaki itu tidak cacat dari segi intelek.

“Walhal, pakar psikiatri pembelaan Dr Ung Eng Khean dari Pusat Perubatan Adam sebenarnya memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa Nagaenthran adalah orang kurang upaya (OKU) dari segi intelek. Penelitian segera terhadap penghakiman yang dilaporkan akan mengesahkan perkara ini,” katanya.

Singapura menghadapi tekanan yang semakin hebat sama ada di negara itu atau di Malaysia yang menuntut hukuman mati terhadap Nagaenthran dihentikan.

Para aktivis dan NGO hak asasi manusia mengingatkan Singapura tentang kewajipannya mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati ke atas OKU kurang keupayaan mental atau terencat akal.

Petisyen dalam talian juga turut menggesa Presiden Singapura Halimah Yacob menggunakan kuasanya untuk memberikan pengampunan kepada Nagaenthran di mana ia telah mengumpulkan hampir 60,000 tandatangan.

Pada 3 November, puluhan aktivis berkumpul di Parlimen Kuala Lumpur bagi menggesa kerajaan Malaysia membuat rayuan kepada Singapura bagi menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

Sementara itu, cabaran perlembagaan seorang peguam Singapura juga dijangka didengar pada Isnin dalam usaha terakhirnya untuk menghentikan hukuman mati itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles