- Iklan -
Editorial

Apabila ‘jenaka’ jadi reaksi pengumuman kerajaan digulingkan

Troll dan meme di media sosial adalah seruan kepada ahli plotik untuk memberikan khidmat lebih baik.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
PKR president Anwar Ibrahim at the press conference in Kuala Lumpur at which he claimed to possess the numbers needed to take over the government.
PKR president Anwar Ibrahim at the press conference in Kuala Lumpur at which he claimed to possess the numbers needed to take over the government.

Sesetengah ahli politik bekerja sehingga mati di pejabat, sesetengahnya bermati-matian untuk merebut jawatan. Dan mungkin juga, sesetengah akan mati bersama-sama jawatan mereka satu hari nanti.

Berita gempar mengenai “kejatuhan kerajaan” semalam adalah hasil daripada pertempuran berterusan ketiga-tiga kumpulan ini.

Sepuluh tahun lalu, tanggapan tentang kerajaan digulingkan akhirnya tidak berlaku. Sebahagian daripada kita mengimpikannya berlaku selepas mempunyai kerajaan daripada parti sama selama beberapa dekad.

Tetapi 2018 memusnahkan harapan tentang kerajaan impian yang kita impikan selama ini.

Rakyat Malaysia berpusu-pusu mengundi untuk menjatuhkan satu-satunya kerajaan yang mereka kenali selama ini.

Hampir dua tahun kemudian, mereka melihat perubahan tampuk pemerintahan lagi.

Ada yang mengatakan tindakan ini sebagai khianat, ada juga yang mengatakan inilah bagaimana demokrasi berfungsi apabila “angka” menjadi sangat penting.

Ironinya, obsesi terhadap “bilangan majoriti” melanda negara demokrasi berparlimen yang matang dari Eropah hingga Jepun.

Kini, demokrasi sudah mula berfungsi dalam sistem kita.

Hikmahnya di sini, rakyat Malaysia sudah belajar bagaimana bertindak balas terhadap peristiwa-peritiwa ini dengan tenang, sinis dan lawak jenaka seperti yang kita lihat semalam selepas pengumuman Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sikap sinis seperti itu apabila menghadam berita tentang politik tidak seharusnya disalah anggap sebagai sikap tidak peduli.

Menunjukkan keraguan adalah cara orang ramai memberitahu ahli politik mereka seharusnya menggunakan “skrip” lebih baik, terutamanya apabila tindakan mereka akan mengundang kecaman.

Itulah sebabnya kami memutuskan untuk melaporkan tentang jenaka di media sosial selepas pengumuman Anwar.

Sesetengah perkara wajar untuk mendapatkan pandangan daripada “profesor kangkung” yang obses melihat nama mereka dipetik atau dijadikan nota kaki manakala sesetangah perkara lagi tidak memerlukan respons serius.

Ramai rakyat Malaysia yang sudah cakna dengan politik 12 tahun lalu menonton berita semalam dengan senyuman sinis di wajah mereka. Rasa seperti “deja vu” melihat politik negara kita akhir-akhir ini.

Ketika ahli politik terbang menggunakan jet peribadi, menaiki kereta dengan iringan kereta pengawal, rakyat bawah bergelut dengan kehidupan, pendidikan, dan keluarga mereka. Dengan kata lain, masa depan mereka.

Ketika media, ahli politik dan penulis blog berbayar mereka memandang serius berita tentang pertukaran kerajaan, ramai daripada kita lebih memikirkan nasib selepas penangguhan moratorium berakhir, mengenai keselamatan anak-anak dan kualiti sekolah , dan mengenai kos barang keperluan minggu ini.

Terdapat istilah dalam sains politik yang merujuk kepada keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap pemerintahan, dan ahli politik pada umumnya: political efficacy.

Lambakan jenaka dalam talian semalam menunjukkan betapa rendahnya “political efficacy” kita pada masa ini.

Sekiranya ahli-ahli politik tidak merasakan ini sebagai satu daripada panggilan kejut atau “wake up call”, lebih baik mereka tidak perlu bangkit lagi daripada tidur.