- Iklan -
Berita

Rakyat berjenaka di media sosial selepas Anwar dakwa miliki sokongan majoriti bentuk kerajaan baru

Tidak berapa lama selepas mengumumkan cukup sokongan menjatuhkan PN, pengguna media sosial mempersendakan Anwar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tidak berapa lama selepas pengumuman Anwar, pengguna media sosial mempersendakannya.
Tidak berapa lama selepas pengumuman Anwar, pengguna media sosial mempersendakannya.

Terkejut dan teruja tentang kemungkinan kejatuhan kerajaan dengan cepat berubah menjadi wadah “sinis” dan jenaka dalam talian, beberapa jam selepas pengumuman mengejutkan Anwar Ibrahim beliau mendapat sokongan mencukupi dalam kalangan ahli Parlimen untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru berusia enam bulan.

Pengguna media sosial dengan pantas tampil menggunakan kreativiti mereka, menyokong dan mengkritik presiden PKR itu, dengan ramai mengingatkan dakwaan serupa dibuat Anwar 12 tahun lalu.

Bekas perdana menteri, Najib Razak antara yang terawal “mengusik” Anwar di Facebook dengan menyiarkan gambar makanan ringan Super Ring yang memenuhi sebuah troli di pasar raya.

“Time macam ini kena pastikan bekalan stok cukup,” tulisnya di Facebook.

Tetapi pengguna media sosial dengan pantas mengedit gambar Anwar yang lengkap berbaju Melayu hitam sedang mengangkat sumpah di hadapan potret Agong yang berbingkai.

Gambar lain menunjukkan Anwar, dengan kepalanya ditutup dengan kain putih sedang mengelap potret Agong.

Gambar itu diambil daripada gambar Facebook yang diposkan pada akaun rasmi Anwar yang menunjukkan beliau sedang membantu tugas-tugas di rumah menjelang perayaan Aidilfitri pada Mei lalu.

Sementara itu, Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM), laman satira yang biasanya menyasarkan ahli politik Pakatan Harapan (PH), mengedit satu lagi gambar Facebook yang disiarkan Anwar.

“Harap bertenang semua. Saya tengah susun kabinet nak bentuk kerajaan,” tulis sekeping poster yang menunjukkan Anwar menyusun beberapa buku di perpustakaan peribadinya.

Malah, terdapat juga pengguna Facebook yang memuat naik hantaran bertulis dengan kata-kata humor sebagai reaksi pengumuman tersebut.

“Harap Anwar dedahkah bilangan (sokongan) sebelum Magnum, Kuda dan Toto tutup pukul 7 malam.”

Sementara itu, gambar lain pula membandingkan Anwar dengan satu perhimpunan besar pada malam 16 September 2008, tarikh akhir yang ditetapkannya untuk pertukaran kerajaan melalui pembelotan besar-besaran dari kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah ketika itu.

Anwar kemudian mengatakan ramai ahli Parlimen BN menarik diri pada saat-saat terakhir walaupun sebelumnya memberikan sokongan mereka uagar beliau menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad antara yang mengingati episod itu.

“Kita kena tunggu dan lihat jika ini adalah satu lagi episod dakwaan yang tidak dapat dibuktikan,” Dr Mahathir dipetik berkata The Edge Singapore mengulas pengumuman Anwar hari ini.

Anwar hari ini mengatakan kerajaan baru di bawahnya akan dikuasai ahli-ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera dan perwakilan yang adil dari semua kaum.

Langkah Anwar itu dilihat sebagai tindak balas terhadap kritikan beliau tidak akan mendapat sokongan orang Melayu yang mencukupi.

Ketika Amanah dan DAP menyatakan sokongan kepadanya. Ahli-ahli Parlimen di blok kerajaan seperti Bersatu, Umno, PAS menjauhi Anwar, menimbulkan keraguan kerajaan barunya dikuasai ahli Parlimen Melayu.

Perwakilan Melayu yang besar seringkali dianggap penting bagi mana-mana kerajaan untuk bertahan, dengan ada yang menyebut kekurangan ini sebagai alasan kejatuhan kerajaan PH Februari lalu.

Pada masa itu, usaha Muhyiddin untuk memikat lebih banyak ahli Parlimen Melayu dari Umno menyebabkan bantahan daripada Dr Mahathir.

Ambiga Sreenevasan, bekas pengerusi Bersih 2.0 yang menjadi tunggak utama beberapa demonstrasi besar-besaran untuk menuntut reformasi pilihan raya turut mempersoal apakah prinsip yang sama masih terpakai pengumuman Anwar.

“Jadi DAP dan Amanah bersedia bekerjasama dengan Zahid? Najib?” soalnya dalam satu hantaran di Twitter.

Peguam itu berkata, beliau hanya mahu penjelasan mengenai isu ini.

“Atau semua orang sedang bermain permainan?” soalnya.