- Iklan -
Rencana

Mengapa nikotin tergolong dalam Akta Racun

Malaysia harus mencontohi Australia, di mana produk vape bernikotin diklasifikasikan sebagai ubat preskripsi sahaja.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
Penganjur menghisap e-rokok semasa pameran vape di Kuala Lumpur, 5 Disember 2015. Gambar: AFP
Penganjur menghisap e-rokok semasa pameran vape di Kuala Lumpur, 5 Disember 2015. Gambar: AFP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua ahli Parlimen supaya menyokong Lembaga Racun dalam mengekalkan nikotin sebagai bahan kawalan di dalam Akta Racun.

Kami menggesa kerajaan supaya meluluskan rang undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang bertujuan untuk melarang penggunaan tembakau dan vape bagi sesiapa yang dilahirkan selepas 2007 tanpa sebarang perubahan pada kandungan asal. Seruan untuk GEG adalah berdasarkan peristiwa semasa dan bukti saintifik.

Membenarkan Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ENDs) dan roduk tembakau yang dipanaskan akan menjejaskan objektif Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengharamkan merokok dan penggunaan tembakau.

Pada masa ini nikotin dikategorikan sebagai racun Kumpulan C yang memerlukan ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan, pergigian atau veterinar berdaftar untuk menjual sebarang bentuk penyediaan yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun (PA) 1952.

Langkah untuk membendung ketagihan nikotin pada masa depan dalam kalangan generasi akan datang adalah dengan mencontohi Australia. 

Mulai 1 Oktober 2021, semua produk vape nikotin, seperti e-rokok nikotin, pod nikotin dan cecair nikotin, dikelaskan di bawah ubatan Jadual 4 (preskripsi sahaja). 

Oleh itu, seseorang itu tidak boleh membeli mana-mana produk tanpa preskripsi doktor.

Keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia.

Pusat Racun Negara (NPC), Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022. 

Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun, paling muda 4 bulan.

Dengan beribu-ribu jenis e-cecair membanjiri pasaran yang dijual oleh 3,300 peruncit, adalah mustahil untuk memantau kepekatan nikotin bagi setiap botol atau jenama. 

Menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) terdapat lebih 97% e-cecair dengan nikotin di dalam pasaran tempatan.

Kajian di Eropah menunjukkan banyak sampel yang diperoleh daripada pasaran menunjukkan kebanyakannya melebihi 10% jumlah nikotin yang ditetapkan.

Adakah Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut rentak teknik jualan pengedar bahan beracun yang boleh menagihkan? 

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow