- Iklan -
Berita

PN kemuka usul bahas keracunan nikotin libat kanak-kanak usia 2 tahun

Ia susulan tindakan Putrajaya yang menyahsenaraikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi menghantar usul membahaskan kes keracunan nikotin melibatkan kanak-kanak kepada pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat semalam dan diterima pada hari yang sama.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi menghantar usul membahaskan kes keracunan nikotin melibatkan kanak-kanak kepada pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat semalam dan diterima pada hari yang sama.

Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul untuk membahaskan kes keracunan nikotin melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi menghantar usul tersebut kepada pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat semalam dan diterima pada hari yang sama.

Memetik laporan portal kesihatan, CodeBlue menyebut usul itu dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat Fasal 18(1) dan (2) yang membenarkan mana-mana ahli Parlimen untuk memohon kebenaran membincangkan perkara yang "mendesak dan berkepentingan awam".

"Usul ini adalah perkara yang jelas berkaitan nikotin yang kini boleh digunakan secara bebas oleh rakyat termasuk kanak-kanak berikutan pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 di bawah kuasa menteri kesihatan sendiri,” kata Zulkafperi dalam usul itu seperti dipetik CodeBlue.

“Usul ini adalah mendesak, kerana nikotin sudah berada dalam pasaran dan tiada undang-undang yang mengawal penggunaannya.

“Usul ini juga melibatkan kepentingan awam kerana ia (nikotin) boleh disalahgunakan oleh sesiapa sahaja, termasuk bayi, kanak-kanak, murid sekolah, wanita, atau wanita mengandung."

Melalui usul itu, beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya masyarakat atau orang awam percaya bahawa nikotin adalah selamat digunakan secara terbuka dan tidak perlu ditakuti kerana ianya tidak berbahaya sama sekali.

Tulisnya, ini adalah satu tanggapan yang salah berpunca daripada tindakan Putrajaya menyahsenaraikan cecair nikotin atau gel – bahan utama untuk produk vape daripada Akta Racun 1952 yang secara halus membawa kepada kecuaian penggunaan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952.

Keputusan berkenaan tetap dilaksanakan meskipun bertentangan dengan keputusan sebulat suara Lembaga Racun.

Langkah tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk mencukai produk vape seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.

"Mungkin dalam kes kanak-kanak berusia dua tahun ini hanyalah permulaan dan sebahagian kecil sahaja daripada isu ini, dengan rakyat Madani berkemungkinan akan mengalami kes yang lebih teruk pada masa hadapan.

"Siapa yang akan dipersalahkan atau harus bertanggungjawab sepenuhnya atas bencana nikotin ini?” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan media memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mungkin mengalami keracunan nikotin akut selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang dalam insiden di Bera, Pahang pada 30 Mei lepas.

Menurut KKM, pada hari kejadian, mangsa yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik ditemui datuknya dalam keadaan batuk, muntah serta sesak nafas dan terdapat peranti rokok elektronik jenis pakai buang berhampiran mangsa.

Mangsa bagaimanapun telah dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kanak-kanak.