- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Isu tarif elektrik, MAHB dan titah adendum hangatkan Dewan Rakyat

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata terdapat percanggahan dan sikap tidak telus ditunjukkan kerajaan dalam beberapa isu besar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat hari ini hangat ekoran ucapan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang menyentuh pelbagai isu dan aduan rakyat, termasuk keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meneruskan kenaikan kadar tarif elektrik.

Hamzah turut menyentuh pengumuman kontroversi Tenaga Nasional Berhad mengenai kenaikan itu di Bursa Malaysia pada Disember lepas, di mana ia dipertikaikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sehingga mencetuskan persoalan siapa yang meluluskan kenaikan tersebut.

Hamzah berkata TNB sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia tertakluk kepada peraturan di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mewajibkan setiap kenyataan oleh mana-mana syarikat mesti berasaskan fakta. 

"Apabila TNB mengumumkan kenaikan tarif, pemegang-pemegang dan pelabur akan beli kerana tahu ini akan menyebabkan keuntungan yang besar kepada TNB. 

"Tak sampai seminggu menteri jawab 'eh tak ada'," kata Hamzah, sambil menambah perlu ada tindakan sekiranya benar TNB tidak mematuhi pendirian kerajaan.

Bagaimanapun, Anwar dalam sebuah majlis sambutan Tahun Baharu Cina semalam mengesahkan kenaikan tarif elektrik akan berlaku, menyifatkannya sesuatu yang harus dilakukan.

Sebelum ini, TNB memaklumkan kepada Bursa Malaysia mengenai "perubahan tarif" di Semenanjung Malaysia yang dikatakan telah mendapat kelulusan kerajaan.

Bagaimanapun, Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata pihaknya tidak dirujuk atau dimaklumkan oleh TNB berhubung tarif baharu itu.

Hamzah turut mempersoalkan mekanisme yang digunakan kerajaan dalam memastikan 85% pengguna tidak terjejas akibat kenaikan tarif elektrik seperti yang dijamin oleh Anwar. 

"Kalau TNB kata kadar asas meningkat daripada 39 sen kepada 45 sen, hampir 14% itu harga asasnya naik, bagaimana kerajaan boleh memastikan 85% pengguna tidak akan terkesan?" 

'Percanggahan'

Menurut Hamzah, percanggahan kenyataan pemimpin kerajaan turut ketara dalam beberapa isu penting akhir-akhir ini, seperti harga lantai padi, jualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, dan isu titah adendum melibatkan pengampunan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Sesi Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Hamzah mempersoalkan sama ada tindakan "menyembunyikan" titah adendum itu merupakan bentuk penderhakaan kerajaan terhadap raja dan negara.

Beberapa ahli Parlimen dari Pakatan Harapan bangkit menyifatkan ianya tuduhan tidak berasas, selain meminta pembangkang menyerahkan isu tersebut kepada mahkamah. 

Hamzah menjawab, isu titah adendum itu tidak akan timbul dalam Parlimen sekiranya pihak yang bertanggungjawab berlaku jujur sejak mula lagi. 

"Kita dah tanya (perkara) ini awal lagi, setahun lalu. Bila setahun disorok, (maka) pada pandangan kami ia satu penderhakaan kepada titah diraja." 

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Titah adendum itu dikepilkan bersama-sama pengampunan separa yang dikurniakan kepada Najib awal tahun lalu oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Kewujudan dokumen itu pertama kali dibangkitkan peguam Najib, Shafee Abdullah, yang menuduh kerajaan cuba menyorokkan titah Agong.

Anwar sebelum ini berulang kali mempersoalkan dakwaan mengenai kewujudan titah tambahan oleh Sultan Abdullah, sebaliknya berkata perkara itu hanya akan diputuskan oleh mahkamah, dalam apa yang dilihat sebagai percubaan menjauhkan diri daripada sebarang keputusan berhubung perkara itu.