PN gesa sidang khas Dewan Rakyat, Tok Mat sifatkan rancangan Trump 'gila'
Pembangkang turut mengingatkan Putrajaya untuk menyatakan pendirian di samping memastikan tidak terpalit dengan usaha menjayakan rancangan Trump itu.
Terkini
Perikatan Nasional hari ini menggesa diadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan cadangan Presiden Donald Trump untuk "mengambil alih" Semenanjung Gaza selepas mengusir rakyat Palestin, rancangan yang turut dikutuk seorang menteri Umno.
"Gila," kata Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan kepada MalaysiaNow dalam reaksi ringkas terhadap pengumuman Trump yang dibuat ketika kunjungan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Washington hari ini.
Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah berkata rancangan terbaru Trump itu adalah "pembersihan etnik sepenuhnya" rakyat Palestin, sambil menyifatkannya perisytiharan perang "kepada umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan".
"Kami di Perikatan Nasional mendesak supaya diadakan sesegera mungkin bersidang khas Dewan Rakyat, jika boleh bersekali dengan Dewan Negara untuk mengkaji soal masa depan Palestin."
Saifuddin turut mengingatkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya memutuskan semua hubungan dengan entiti yang menyokong Israel, sambil merujuk kepada kontroversi berkenaan penswastaan Malaysia Airports Holdings (MAHB).
Anwar sehingga kini mempertahankan keputusannya untuk membawa masuk Global Infrastructure Partners (GIP), firma dimiliki pengurus dana kontroversi AS BlackRock, menjadi sebahagian daripada konsortium mengendalikan MAHB, walaupun mendapat tentangan keras aktivis pro-Palestin yang tidak senang dengan peranan firma dana AS itu dalam memperkasakan ekonomi dan industri pertahanan Israel.
Saifuddin berkata terdapat persamaan sokongan ditunjukkan kerajaan Malaysia kepada rakyat Palestin dengan sikap pentadbiran AS di bawah Joe Biden, di mana Washington menyokong pembunuhan beramai-ramai Israel tetapi pada masa sama menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
"Kita ini umpama ada tangan kiri dan tangan kanan. Kita ni jadi macam Biden lah. Tangan kiri bagi duit untuk bantu rakyat Gaza, (seperti mana) tangan kiri kita untuk bantu rakyat Palestin," katanya.
"Tangan kanan bagi peluang kemudahan untuk BlackRock."
Dalam nada sama, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Putrajaya menyatakan pendiriannya terhadap cadangan Trump itu.
"Kita tahu sudah banyak kali pembangkang mendesak kerajaan mengadakan sidang khas tetapi setiap kali desakan ini dibuat, perkara ini diketepikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan alasan yang tidak munasabah.
"Ini adalah satu masa yang memerlukan keberanian daripada Parlimen (dan) Yang di-Pertua untuk menyegerakan (sidang khas) kerana melibatkan isu-isu kepentingan bersama."
Wan Fayhsal, antara pemimpin PN yang paling lantang membantah rancangan membawa masuk firma milik BlackRock ke dalam MAHB, turut memberi amaran bahawa syarikat seperti BlackRock berkemungkinan besar akan membantu rancangan terbaru Trump.

Ketika menyambut kedatangan Netanyahu, pemimpin asing pertama yang membuat lawatan rasmi ke Rumah Putih sejak Trump kembali berkuasa, presiden AS itu mencadangkan "pembangunan semula" Gaza secara besar-besaran dan pengusiran hampir dua juta rakyat Palestin ke negara-negara jiran, sambil menambah bahawa wilayah itu harus dibangunkan semula menjadi sebuah "Riviera" (persisiran pantai) di Timur Tengah.
"AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami juga akan melakukan sesuatu di situ," katanya.
"Kami akan memilikinya dan mengeluarkan semua senjata dan bom berbahaya yang belum meletup dari kawasan itu, meratakan kawasan itu dan membersihkan runtuhan bangunan.
"Di Gaza, kami akan lakukan apa yang perlu. Jika perlu, kami akan lakukannya. Kami akan mengambil alih kawasan itu dan kami bangunkan," katanya seperti dipetik CNN.
Netanyahu berkata cadangan itu wajar "diberi perhatian".
"Dia (Trump) melihat masa depan yang berbeza untuk wilayah itu yang menjadi tumpuan begitu banyak keganasan, begitu banyak serangan terhadap kami, begitu banyak ujian dan kesengsaraan," kata Netanyahu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.