Adakah Anwar akan menolak pencalonan penyokong Zionis dan tukang bodek Trump sebagai duta AS?
Seorang diplomat veteran berkata Putrajaya mungkin tiada pilihan selain menerima pencalonan Nick Adams.
Terkini
Pelantikan salah seorang penyokong paling fanatik Donald Trump sebagai duta Washington ke Malaysia telah meletakkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan masalah diplomatik yang agak rumit, sebagai tambahan kepada kemelut kehakiman melibatkan beliau susulan kebocoran maklumat yang mengesahkan campur tangan politik dalam pemilihan ketua hakim negara.
Ia di sebalik desakan yang semakin lantang terhadap Putrajaya untuk menolak pencalonan Nicholas Adams, seorang warganegara Amerika Syarikat kelahiran Australia yang terkenal dengan pujian melangit mengenai Trump dan pelbagai tindakan kontroversi presiden AS itu seperti tarif, isu pendatang asing dan konflik Palestin.
Pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) turut menyertai pembangkang dan aktivis pro-Palestin dalam menggesa Putrajaya menolak Adams, di mana pengkritik memetik Konvensyen Vienna yang membenarkan sesebuah negara menolak duta asing.
"Maka kerajaan akan diuji tidak lama lagi. Si najis Zionis ini dicalonkan oleh Trump sebagai bakal duta AS ke Malaysia," kata bekas menteri Khairy Jamaluddin.
Tidak jelas sama ada pentadbiran Anwar – yang berdepan kritikan atas kegagalannya berunding dengan Trump mengenai pelaksanaan tarif ke atas Malaysia – berupaya menggunakan haknya di bawah undang-undang antarabangsa.
Ketika dihubungi, seorang pemimpin kanan Amanah yang enggan dinamakan berkata dengan ketiadaan sahabat-sahabat Anwar di tampuk kuasa dan pengaruh di Washington, langkah Rumah Putih mengenakan tarif 25% ke atas barangan Malaysia merupkan sesuatu yang sudah dijangka.
"Sedangkan Indonesia dapat tawaran yang lebih baik. Kita di sini, walaupun beli Boeing, sementara menteri kita pula sanggup buang tabit bersenam di luar Rumah Putih, akhirnya dikenakan tambahan 1% lagi tarif," kata pemimpin Amanah itu, merujuk kepada pelbagai sindiran terhadap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz yang memuat naik gambarnya sedang berjoging (atas) di luar Rumah Putih.
Melihat kepada sikap dan gaya kepimpinan Trump, sumber diplomatik berkata Malaysia mesti bersedia berdepan krisis hubungan dengan Washington sekiranya ia menolak pencalonan Adams.
"Menolak seorang calon – tambahan pula yang dicalonkan Trump – adalah perkara yang serius dan boleh membawa kepada keretakan hubungan dua hala,” kata diplomat veteran, Dennis Ignatius.
'Ketepikan maruah'
Ignatius, yang pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Canada, bersetuju Adams "langsung tidak layak untuk jawatan itu", lebih-lebih lagi apabila menjadi penyokong tegar rejim Zionis.
Bagaimanapun, katanya, sebarang langkah menolak pencalonan Adams akan memburukkan lagi "hubungan yang sudah tegang dan penyelesaian kepada banyak isu penting yang sedang dirunding akan menjadi mustahil".
"Oleh itu, kita mungkin perlu ketepikan maruah kita dan akur saja pencalonan Adams yang tak boleh diterima ini. Sekiranya benar Adams rapat dengan Trump, mungkin dia boleh mendatangkan hasil dengan menjadikannya sebagai saluran ke Rumah Putih. Kita perlukan siapa saja sebagai rakan di Amerika di bawah Trump," kata Ignatius kepada MalaysiaNow.
Walaupun sering menentang pelbagai dasar AS di seluruh dunia, kerajaan Malaysia selama beberapa dekad mengekalkan hubungan mesra bersama Washington, di mana faktor lebihan perdagangan juga memainkan peranan.
Hubungan merosot ketika era Dr Mahathir Mohamad ekoran krisis mata wang Asia di samping sokongan AS terhadap pemimpin pembangkang pada masa itu.
Di sebalik pelbagai kenyataan terkenal Mahathir yang membidas Washington dan sokongannya kepada Israel, hubungan baik AS dan Malaysia tidak terganggu.
Sejak sekian lama, pentadbiran AS juga dilihat mengamalkan diplomasi lembut dengan menghantar duta yang arif dengan budaya setempat.
Contoh terbaik ialah Brian David McFeeters, diplomat AS yang fasih berbahasa Melayu yang berkhidmat sebagai duta ke Malaysia sehingga Ogos 2023.
Ignatius berkata menolak calon duta adalah sesuatu yang jarang berlaku.
Menurutnya, salah satu kaedah sesebuah kerajaan rasa tidak selesa dengan duta asing ialah dengan mengabaikan permintaan untuk "agrément", istilah diplomasi merujuk kepada persetujuan pelantikan duta asing.
Cara Mahathir
Ignatius turut menyentuh kaedah berkesan yang pernah digunakan Mahathir.
"Kerajaan bukannya tidak ada cara memenangi hati duta-duta yang degil atau menyekolahkan mereka jika diperlukan. Mahathir melakukannya dengan agak berjaya, melibatkan seorang duta besar AS yang terlalu menunjukkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim," katanya, dipercayai merujuk kepada John Mallot, bekas duta AS yang menyokong Anwar susulan pemecatannya daripada kerajaan pada 1998.
Sementara itu, Adams terus dibanjiri kecaman oleh rakyat Malaysia, termasuk ahli politik merentas parti.
Apa yang menjadi fokus kritikan ialah sikap Adams yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Israel.
Tahun lepas, beliau menulis dalam sebuah hantaran X: "Jika anda tidak berdiri bersama Israel, anda berdiri bersama pengganas!"
Ramai turut merujuk kepada sebuah insiden tahun lalu di mana Adams menceritakan bagaimana beliau memastikan seorang pelayan restoran yang memakai lencana pro-Palestin dipecat.
"Cuba lakukan ini apabila kamu berada di KL atau mana-mana di Malaysia. Memandangkan kamu anggap diri kamu lelaki alpha, pastikan tiada pengawal peribadi bersama kamu," menurut reaksi seorang rakyat Malaysia di media sosial.
Di sebalik kemarahan orang ramai, pencalonan Adams sebagai duta dijangka tidak berdepan masalah dalam mendapatkan persetujuan Senat AS.
Bercakap dalam loghat Australia yang pekat, bekas pesakit kanser berusia 40 tahun itu tampak yakin akan tiba di Kuala Lumpur, dalam video ucapan ringkas dimuat naik beliau sambil memuji Yang di-Pertuan Agong dan "rakyat Malaysia yang hebat".
"Tuan Presiden, adalah menjadi suatu penghormatan mewakili dan berkhidmat untuk negara kita di hadapan Sultan Ibrahim Iskandar dan rakyatnya," tambah Adams.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
