- Iklan -
Berita

Al Jazeera dedah betapa mudahnya remaja bawah umur Malaysia beli vape

Kedai vape tidak memeriksa kad pengenalan remaja, meskipun ada papan tanda 18 tahun ke atas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelbagai jenis vape berperisa dipamerkan di sebuah kedai vape di Kuala Lumpur.
Pelbagai jenis vape berperisa dipamerkan di sebuah kedai vape di Kuala Lumpur.

Remaja bawah umur yang tidak merokok kini mudah mendapatkan produk-produk vape atau rokok elektronik di Malaysia, walaupun industri mendakwa ada regulasi kendiri daripada pihak mereka, dedah stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera.

Pendedahan itu dilakukan Al Jazeera dalam satu dokumentari 25 minit yang disiarkan beberapa hari lalu. 

Menggunakan seorang remaja wanita bawah umur yang dihantar menyamar, media itu mendedahkan beberapa kedai menjual vape di sekitar ibu kota didapati tidak memeriksa kad pengenalan pengunjung walaupun terdapat papan tanda “18 tahun ke atas”.

Pekerja kedai juga dilihat bertanya sama ada wanita itu pernah menghisap rokok atau tidak, dan mencadangkan perisa yang baik untuk pemula.

"Sebelum ini ada smoking? 

“Kau baru nak try la ni? Memang betul beginner?" kata seorang kakitangan kedai. 

Seorang wakil perstuan pengguna vape berkata, industri sedang melaksanakan regulasi kendiri seperti meletakkan papan tanda had umur, pempakejan yang memberi amaran, atas “inisiatif sendiri”.

Menurut pemain industri yang diwawancara stesen iti, had usia perlu dikuatkuasakan oleh pengunjung sendiri kerana tiada undang-undang berkaitan perkara itu. 

"Sejak 2012 kami sudah memohon kerajaan untuk mengeluarkan undang-undang bagi mengawal selia penjual vape dan elektronik," menurut Shahabudin Jalil, pengarah eksekutif syarikat pembuat vape Nanostix.

Dalam dokumentari itu, pemain industri juga mempertahankan dakwaan bahawa vape lebih selamat berbanding merokok. 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustapa dikritik hebat oleh kumpulan kesihatan dan pakar selepas mengeluarkan nikotin dari senarai racun pada April lepas. 

Tindakan itu dilihat memudahkan penjualan gel dan cecair vape kepada orang ramai termasuk kanak-kanak. 

Tindakan itu dibuat selepas kerajaan mengenakan duti eksais ke atas produk-produk mengandungi nikotin. 

Separuh hasil duti eksais diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini MalaysiaNow mendedahkan, industri vape yang kini bernilai RM2 bilion di Malaysia semakin agresif dan menyasarkan kanak-kanak dengan produk seperti sampul raya dan perisa yang bewarna-warni.

Selain itu, ada harga pod pakai buang yang dijual semurah RM5.