Suki, kanak-kanak cekal tanpa kerakyatan, kini bergelar remaja Malaysia
Kini 13 tahun, kisah Suki Wong Pei yang terpaksa menjaga ayahnya yang sakit mendapat perhatian ramai.
Terkini
Seorang kanak-kanak tanpa warganegara yang kisahnya mencetuskan rasa simpati yang tidak putus-putus rakyat Malaysia selepas didedahkan MalaysiaNow tiga tahun lalu, kini mampu tersenyum selepas akhirnya menjadi warga negara.
Semalam, Suki Wong Pei Yee, kini 13 tahun, ditemani ayahnya, mengambil MyKad biru yang tertera gambarnya di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya, dokumen yang ketiadaannya satu masa dulu menutup segala ruang untuknya hidup di negara ini, termasuk peluang untuk menghadiri sekolah seperti kanak-kanak lain.
"Suki dan bapanya amat gembira kerana akhirnya Suki memperolehi kewarganegaraan dan boleh meneruskan hidup seperti rakan-rakannya yang lain," kata peguam mewakili Suki, Norshalin Anuar daripada Tetuan Anton & Chen.

Menurutnya, permohonan kerakyatan dihantar pada 2022 namun tiada apa-apa maklum balas. Permohonan sekali lagi dihantar pada tahun berikutnya.
Mendiang ibu Suki, Tran Diem Kiew, seorang warga Vietnam, meninggal pada 2021.
Disebabkan keadaan ayahnya Wong Kon Foo yang berkerusi roda kerana penyakit angin ahmar, Diem Kiew menjadi tempat mereka bergantung sebagai sumber rezeki.
Kematian Diem Kiew memberikan cabaran baharu kepada pasangan anak dan ayah itu yang tinggal di sebuah unit apartment serba kekurangan di Damansara Damai, Petaling Jaya, dan bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain ihsan orang ramai.
Keperitan hidup lebih dirasakan Suki, kanak-kanak yang terpaksa melupakan keinginannya untuk bersekolah dan terpaksa menguruskan bapanya dari segi makan minum dan kebersihan pada usia yang masih mentah.

Selepas pendedahan MalaysiaNow pada Mei 2022 mengenai nasib yang dialami Suki, ramai pihak tampil untuk membantunya memulakan pesekolahan, walaupun ketinggalan dari segi akademik berbanding usianya.
Ketika itu, Suki yang boleh bertutur tiga bahasa - Mandarin, Vietnam dan Melayu -tidak boleh membaca atau menulis dengan baik pada usia 10 tahun.
Bantuan kewangan dan kemudahan lain tidak henti-henti menyusul, di samping khidmat guaman percuma untuk permohonan kewarganegaraan Suki.
Kini, difahamkan Suki sedang mengikuti pembelajaran Tahun 4.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.