- Iklan -
Berita

'Hari ini syarikat rokok, esok kuasa asing' - Putrajaya digesa tubuh suruhanjaya diraja siasat pelobi hadir Parlimen

CAP gesa siasatan untuk membongkar sejauh mana pengaruh pelobi rokok yang disifatkannya 'peniaga dadah'.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pelobi industri tembakau melawat bangunan Parlimen tahun lepas bagi memberi tekanan kepada wakil rakyat untuk menghapuskan GEG, undang-undang untuk mengharamkan merokok ke atas generasi akan datang.
Pelobi industri tembakau melawat bangunan Parlimen tahun lepas bagi memberi tekanan kepada wakil rakyat untuk menghapuskan GEG, undang-undang untuk mengharamkan merokok ke atas generasi akan datang.

Putrajaya digesa menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja susulan pendedahan bahawa syarikat tembakau hadir di bangunan Parlimen untuk melobi wakil rakyat sehingga menyebabkan rancangan mengharamkan produk rokok di bawah Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dibawa kerajaan terdahulu akhirnya dibatalkan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata siasatan sedemikian penting bagi merungkai sejauh mana pelobi menyusup dan berpengaruh ke atas ahli Parlimen.

"Kami juga ingin mengetahui siapa di sebalik usaha untuk mensabotaj GEG. Melainkan menyalah guna proses Parlimen ini dicegah, ia akan membuka pintu kepada kuasa luar, termasuk kerajaan asing, untuk mempengaruhi kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka," kata Presiden CAP Mohideen Abdul Kader.

Menurut CAP, tindakan itu mencemarkan kemuliaan Parlimen sebagai tempat undang-undang digubal, di samping melanggar konvensyen antarabangsa mengenai kawalan tembakau.

Ia memetik Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Kawalan Tembakau, yang ditanda tangani Malaysia pada 2005, yang menggesa supaya dasar anti-tembakau dilindungi "daripada kepentingan komersial dan kepentingan industri tembakau lain mengikut undang-undang negara".

"Kami ingin tahu kenapa penggubal dasar Malaysia membenarkan industri untuk mempengaruhi hasil Rang Undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang dicadangkan itu," kata Mohideen, sambil menambah adalah "amat memalukan" apabila ada pihak mensubversif proses perundangan.

"Ini tidak sepatutnya diterima dalam apa jua cara."

GEG, sebahagian daripada Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang dibentangkan pada Julai 2022 oleh bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, menerima tentangan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan, termasuk ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim yang menggesa kerajaan supaya tidak "merempuh" undang-undang tersebut.

MalaysiaNow ketika itu melaporkan bahawa wakil dari industri tembakau hadir di Parlimen untuk melobi ahli Parlimen menentang RUU itu.

RUU itu bertujuan mengharamkan merokok dan memiliki produk tembakau dan vape ke atas mereka yang dilahirkan selepas 2007, langkah yang dijangka boleh menurunkan jumlah peratusan perokok di Malaysia daripada 21% kepada 5% menjelang 2040.

Sejak pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum 2022, Kementerian Kesihatan dilihat kurang berminat untuk meneruskan peruntukan GEG dalam RUU itu.

Pada Mac 2023, hanya empat bulan memegang jawatan, menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan cecair atau gel nikotin - bahan utama dalam produk vape - daripada Akta Racun, membolehkan kerajaan bukan sahaja untuk mengutip hasil cukai ke atas produk vape, tetapi juga membuka ruang bahan itu dijual secara sah kepada kanak-kanak.

Keputusan itu dibuat walaupun mendapat bantahan Persatuan Ahli Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan NGO pejuang kesihatan awam Galen Centre.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan komuniti perubatan dan pakar kesihatan awam, di mana kira-kira 40 organisasi dan pihak berkepentingan mengheret menteri ke mahkamah dengan memfailkan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah membatalkan penyingkiran nikotin cecair sebagai racun berjadual.

Pada November tahun lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi memasukkan peruntukan GEG dalam RUU mengawal rokok, yang akhirnya diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Langkah itu disambut Khairy dengan ucapan "tahniah" kepada industri tembakau kerana berjaya melobi.

"Saya gubal GEG demi kesihatan awam dan bentang di Parlimen, sebelum ini. RUU ini mengandungi langkah pengawalan bagi penjualan vape serta GEG dan mendapat sokongan daripada komuniti kesihatan awam," tulisnya.

"Mereka mahu vape diharamkan, namun kita berjaya mencari jalan tengah dengan memasukkan peruntukan mengenai GEG. Kini ia digugurkan."

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni mengakui pelobi tembakau sememangnya telah hadir di bangunan Parlimen dan bertemu dengan ahli Parlimen untuk mempengaruhi keputusan mereka.

Dalam reaksinya baru-baru ini, Khairy berkata pengakuan itu mengesahkan bahawa keputusan kerajaan mengabaikan GEG disebabkan pelobi tembakau dan bukan kerana ia tidak berperlembagaan seperti yang didakwa peguam negara ketika itu.

"Akhirnya kita tahu kebenaran, iaitu keputusan itu dibuat bukan demi kesihatan awam, tetapi kerana tunduk kepada kepentingan komersial daripada syarikat-syarikat tersebut," kata Khairy dalam podcast Keluar Sekejapnya.

CAP menyifatkan pelobi industri rokok sebagai "peniaga dadah" yang mahu menghalalkan bahan ketagihan seperti nikotin walaupun merugikan negara.

"Malangnya, terdapat beberapa penggubal dasar yang terlibat dalam skim besar ini, mengecualikan GEG untuk melayani agenda pelobi yang mahu terus menagihkan rakyat Malaysia untuk beberapa generasi akan datang supaya mereka mendapat keuntungan daripadanya," tambah Mohideen.