Dr Mahathir tolak laporan RCI mengenai Batu Puteh, agenda 'banduan terhormat'
Beliau turut mempersoalkan beberapa pemimpin PH yang menjadi anggota kanan Kabinet beliau, termasuk isteri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi timbalan PM ketika itu.
Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak sepenuhnya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan ke atas pemimpin veteran berusia 99 tahun itu.
Bekas perdana menteri itu mempersoalkan laporan itu yang mendakwa beliau membuat keputusan tanpa pengetahuan Kabinet dan berbohong mengenai tindakan menarik balik rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.
Mahathir, yang mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama hampir dua tahun selepas pilihan raya umum 2018, berkata beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan, sebaliknya hanya memberi pendapat seperti yang tertera pada surat yang bertarikh 21 Mei 2018, yang diterbitkan dalam laporan RCI itu.
Menurutnya, keputusan untuk tidak meneruskan permohonan Semakan dan Tafsiran susulan keputusan ICJ juga dibuat secara bersama dengan Kabinet dalam mesyuarat bertarikh 23 Mei 2018, dan mengambil kira syor beberapa pihak termasuk pakar undang-undang antarabangsa.
Mahathir berkata keputusan itu melibatkan beberapa pemimpin PH yang menjadi anggota Kabinet ketika itu.
"Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat, mengapa Mohamad Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh dan Dzulkefly Ahmad tidak berkata apa-apa?
"Atau adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Anwar Ibrahim teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen laporan RCI ini?" katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa timbalannya ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang hadir di sebelahnya pada setiap mesyuarat Kabinet tidak mempersoalkan sebarang keputusan dan tindakan yang dibuat mengenai perkara tersebut.
"Mengapa TPM pada 2018 tidak dipanggil atau disenarai sebagai saksi?"
Laporan RCI itu antara lain mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir di bawah Kanun Keseksaan kerana beranggapan keputusan untuk tidak merayu keputusan ICJ mengakibatkan Malaysia kehilangan wilayah.
Mahathir turut mempersoalkan beberapa "kecacatan" yang jelas pada laporan itu apabila beberapa halaman didapati "dihitamkan" daripada tatapan dan bacaan umum.
Katanya, laporan RCI itu yang dahulunya diklasifikasikan sebagai rahsia sudah menjadi dokumen terbuka.
"Laporan RCI ini ingin dibahaskan. Tetapi bagaimana hendak bahas sekiranya 47 muka surat dari 217 dipadam?
"Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka-muka surat laporan dipadam?"
Keputusan laporan itu dialu-alukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mendakwa tindakan Mahathir sebagai pengkhianatan kepada negara.
Mahathir ketika ditanya mengenai tuduhan itu merujuk kepada seorang yang digelar "banduan terhormat", merujuk kepada ucapan Anwar yang mengaku dirinya "banduan terhormat".
"Saya kini menjadi pembangkang dan ada cubaan untuk meneutralkan saya dari segi politik.
"Kini, saya kononnya seorang penjenayah. Banduan. Bukan banduan terhormat. Orang itu dah jadi banduan terhormat. Dah masuk penjara 5 tahun. Saya pun nak dijadikan banduan," katanya.
Sementara itu, peguam Zainur Zakaria menyifatkan laporan RCI itu usaha merosakkan reputasi Mahathir khususnya apabila beberapa halaman dalam laporan itu didapati "hilang" untuk dibaca kepada khalayak umum.
"Apa yang mereka cuba untuk sembunyikan? Kami tolak (laporan RCI) ini sepenuhnya."
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh, yang dirujuk oleh Singapura sebagai Pedra Branca, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang 1km dari pulau itu pula diputuskan sebagai milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Mahathir berkata keputusan ICJ perlu dihormati kedua-dua negara kerana ianya sudah menjadi asas untuk membawa pertikaian itu kepada mahkamah antarabangsa.
"Itulah komitmen yang telah dibuat. Malaysia dan Singapura perlu menerimanya.
"Apabila keputusan mengenai Pulau Batu Puteh diumumkan, kita terikat untuk menerima keputusan tersebut.
"Kita mesti menunaikan janji untuk menerima keputusan ICJ," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.