- Iklan -
Kolum

Laporan dari Milan membuka tirai 2023

Maka ketika masuk tahun 2023, tidak ada dugaan atau jangkaan bahawa Covid-19 akan meletus semula di luar China.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ketika menghadapi 2023, seseorang diajak berfikiran positif untuk sentiasa mengharap perkara-perkara baik akan berlaku pada tahun ini walaupun ada bayangan akan berlakunya inflasi lebih tinggi, malah mungkin ada kemelesetan.

Kecenderungan para penganalisis, sama ada dari kalangan pakar bidang mahupun pemerhati awam dan wartawan adalah untuk memberikan gambaran membimbangkan atau menakutkan kerana dengan cara itu ia menarik minat orang ramai. 

Sudut pandangan ini bukanlah dirancang atau disengajakan tetapi itulah kecenderungan manusia bagi menarik perhatian. 

Ia juga merupakan sifat semula jadi media massa dan media sosial.

Di negara ini, bagi menghadapi keadaan ekonomi yang memburuk itu, adalah dijangkakan bahawa tahun ini  akan berlaku lagi dua kenaikan kadar faedah pinjaman perumahan untuk mengurangkan tekanan inflasi.

Apapun yang akan berlaku, kos hidup rakyat akan meningkat tanpa kenaikan gaji. 

Orang ramai kelihatannya tidak akan dapat berbuat apa-apa. 

Nasihat yang diberikan ialah mengawal perbelanjaan dengan mengubah gaya hidup, sesuatu yang pasti sukar dilakukan bagi orang ramai yang pendapatannya sudah sememang sedikit dan mengelak daripada membuat pinjaman baru, terutama berbentuk besar seperti kereta dan rumah.

Hakikatnya orang ramai sememangnya tidak dapat melakukan apa-apa. 

Hanya kerajaan yang mempunyai kuasa boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat. 

Tetapi itupun sebenarnya amat terhad. 

Mereka bolehlah menggubal sesuatu polisi dan melakukan inisiatif tertentu dengan mendatangkan sedikit sebanyak kesan, tetapi pada keseluruhannya, kuasa kerajaan juga terhad dalam jaringan sistem ekonomi global yang kompleks.

Perkara-perkara inilah yang diduga bagi tahun 2023. 

Namun begitu, perkembangan ekonomi seperti juga cuaca boleh diramal tetapi tidak semestinya benar-benar berlaku. 

Ekonomi adalah ilmu meramal pembahagian sumber dan meteorologi adalah sains meramal cuaca.  

Namun sistem-sistem ini adalah terlalu kompleks untuk dicerap dari sudut pandangan manusia.

Begitu juga dengan sistem jangkitan penyakit. 

Ia merupakan suatu sistem kompleks yang mempunyai dinamiknya sendiri. 

Bidang epidemiologi mengkaji penyebaran penyakit dan meramal perkembangannya di kalangan manusia di seluruh dunia juga terhad dalam ramalannya.

Pada penghujung 2022, dunia diberitahu bahawa China sedang bergelut dengan ledakan baharu Covid-19 hinggakan kerajaan mereka mengarahkan perintah sekatan keluar rumah di bandar-bandar besar untuk melaksanakan polisi jangkitan sifar.

Umumnya dunia bukan saja mengharapkan tetapi juga menjangkakan bahawa kerajaan China yang dikenali sebagai tegas dan keras dapat membendung penyakit Covid-19 itu, yang selanjutnya menghalang ia daripada terlepas keluar daripada sempadannya  

Maka ketika masuk tahun 2023, tidak ada dugaan atau jangkaan bahawa Covid-19 akan meletus semula di luar China. 

Setelah tiga tahun lebih menghadapi Covid-19 orang ramai sudah lelah terhadap penyakit itu dan menganggap wabak sudah berakhir dan enggan disusahkan dengannya walaupun kadar jangkitan di Malaysia masih berlaku sekitar dari 600 hingga 1,000 sehari.

Apabila minggu lalu keluar berita bahawa hampir separuh daripada penumpang sebuah kapal terbang dari China yang mendarat di Milan, Itali didapati membawa virus Covid-19, maka ia mengejutkan dunia dan mendatangkan kebimbangan bahawa 2023 akan menjadi 2020 semula.

Perkara inilah yang pertama tidak terduga bagi tahun 2023. 

Sepanjang tahun ini seperti biasa akan berlaku banyak lagi perkara-perkara tidak terduga. 

Maka apa yang tidak terduga berlaku wajar dianggap sebagai biasa dan boleh diatasi.

Akibat daripada laporan dari Milan itu, banyaklah desakan-desakan dari rakyat di banyak negara kepada kerajaan masing-masing supaya menyekat kemasukan pelancong dari China.

Tetapi terdapat dua perkara yang timbul dalam hal ini. 

Pertama, adakah penemuan Covid-19 dari China di Milan itu perlu dibimbangkan atau tidak dari segi kesihatan. 

Kedua, sudut agenda ekonomi dan politik global yang sedang berlaku.

Soal Covid-19 adalah sensitif bagi Itali. 

Ini kerana negara itu pernah melalui wabak itu dengan teruk ketika ia melanda dunia pada tahun 2020. 

Adalah dipercayai bahawa pada satu masa dahulu puncanya adalah dari mereka yang juga datang dari China.

Tetapi tahun 2023 tidak sama dengan 2020 dari segi jangkitan Covid-19. 

Vaksin sudah meluas di seluruh dunia hinggakan “herd immunity” atau imuniti berkelompok dapat terlaksana. 

Varian Covid-19 yang ada hari ini seperti Omicron adalah berbeza daripada virus awal ketika mula ditemui pada tahun 2019 di Wuhan.

Ia bukanlah bermakna bahawa Covid-19 sudah tidak berbahaya tetapi apa yang berlaku sejarang adalah seperti apa yang diramalkan oleh para pakar sebelum ini. 

Iaitu layanan terhadap penyakit ini menjadikannya seperti selesema yang hanya dihidap oleh para pesakit untuk hanya beberapa hari. 

Ini kerana sistem imuniti badan seseorang mampu melawannya dengan bantuan ubat penawar yang sudah ditemui. 

Satu lagi perkara penting ialah penghidap Covid-19 terutamanya orang muda yang sihat tidak menampakkan sebarang gejala seperti sakit tekak, batuk dan demam. 

Jangkitan ini hanya diketahui hanya jika dilakukan saringan. 

Maknanya hanya dengan saringan barulah penyakit ini dianggap wujud dan perlu ditangani seperti kuarantin.

Jika pihak berkuasa kesihatan di lapangan terbang Milan tidak membuat saringan Covid-19, maka penyakit ini tidak dianggap wujud. 

Para pesakit yang pada umumnya adalah pelancong ini akan sihat dengan sendirinya iaitu seperti selesema, tetapi dalam waktu sama menyebarkan virus ini pada orang lain, yang juga akan sihat dengan sendirinya. 

Apa yang membimbangkan ialah apabila bilangan yang akan terjangkit meningkat dengan kemungkinan herd immunity tidak berkesan.

Berbeza dengan negara-negara lain, China tidak melaksanakan program vaksin Covid-19 dengan cukup meluas. 

Sebab itu ia berpegang pada polisi sifar Covid-19. 

Adalah dipercayai bahawa tiada saringan untuk mereka yang berlepas keluar dari lapangan terbang China. 

Maka ada kemungkinan juga pada mulanya hanya seorang saja penumpang dalam pesawat ke Milan itu yang mempunyai virus Covid-19. 

Dalam penerbangan, ia boleh jadi menjangkiti hampir separuh penumpang.

Sementara itu; soal agenda ekonomi dan politik global merupakan satu perkara yang tidak boleh diketepikan. 

Itali seperti banyak negara tertentu yang lain merupakan pusat tarikan pelancong. 

Ia amat memerlukan pelancong dari China untuk memulihkan ekonominya setelah kena pukulan teruk semasa pandemik lalu.

Umumnya industri pelancong global perlu digiatkan semula bagi pertumbuhan dunia dengan China merupakan pemegang peranan penting.

Tetapi keadaan politik global pada tahun 2023 ini berbeza dengan tahun 2019. 

Persaingan Barat pimpinan Amerika Syarikat dengan China pada tahun ini lebih tajam. 

Maka apa saja masalah, kecacatan atau kelemahan China akan dibesar-besarkan oleh media arus perdana Barat untuk mempengaruhi penduduk dunia dan memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing untuk menetapkan sikap.

Maka apabila keluar laporan dari Milan itu, media Barat tentulah membesar-besarkannya dengan banyak negara bertindak turut membuat saringan terhadap pelancong dari China. 

Keadaan ini membawa bantahan dari kerajaan China sendiri yang menyatakan bahawa keadaan di negara itu tidaklah seburuk yang digambarkan oleh media Barat.

Perang propaganda antara Barat dan negara pesaing-pesaingnya seperti Rusia, China dan Iran akan berlarutan sepanjang tahun ini. 

Apa yang berlaku di Milan itu hanya permulaan dan ketika para penganalisis dan pemerhati awam membuat pelbagai jangkaan, akan berlaku perkara atau peristiwa yang tidak diduga.