- Iklan -
Kolum

Anwar Ibrahim buat lawak berdiri

Sayang sekali Alfred Nobel tidak menyenaraikan lawak sebagai kategori Hadiah Nobel.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Anwar Ibrahim, perdana menteri Malaysia, kelihatan semakin kerap bangun membuat lawak berdiri. Ini satu pencapaian yang maha hebat.

Apa dia lawak berdiri?

Bro, lu jangan risau. Dalam tulisan ini gua terangkan sejelas mungkin – selawak mungkin – apa itu lawak berdiri.

Lawak bukan satu yang baru. Lawak atau kelakar telah wujud dalam budaya umat manusia semenjak dari zaman Lucy.

Lucy? Siapa Lucy ini?

Minah Lucy yang berumur lebih dari 3 juta tahun ini ditemui oleh pakar arkeologi Doland Johanson di Hadar, Ethiopia, Afrika pada 24 November 1974 dulu.

Johanson ini seorang profesor di Sekolah Evolusi Manusia dan Perubahan Sosial di Arizona State University, Amerika Syarikat, serta pengarah dan pengasas Institut Asal Usul Manusia.

Bro, biar gua jelaskan. 

Minah Lucy tidak tahu membuat lawak berdiri. Lucy, nenek moyang kita ini, adalah sosok pertama yang hanya tahu bangun berdiri berjalan dan tidak merangkak. 

Lucy pandai berdiri tapi belum tahu melawak lagi seperti perdana menteri Malaysia ke-10. Lucy hanya tahu bersuara. Lawak berdiri ini satu bentuk seni yang baru. Baru wujud pada kurun ke-19.

Di Tanah Melayu, - dari ingatan gua – di tahun 50an atau 60an masa gua baru masuk sekolah – kita ada AR Tompel, ada SM Salim, ada Mat Kambing, ada Ibrahim Din, ada Wahid Satay dan ada Aman Belon. Dari Radio Malaya ada Ismail Bontak melawak di udara.

Gua sempat bertemu semua mereka ini kecuali Aman Belon yang tidak pernah sampai ke Kuala Klawang Jelebu untuk membuat persembahan.

Aman Belon gua kenali melalui wayang Melayu dari Cathay Keris di Panggung Ruby, Kuala Klawang.

Komedi atau lawak berdiri ini ialah persembahan yang ditujukan kepada penonton secara langsung, di mana sang pelawak akan berdiri di atas pentas dan berucap, berpidato untuk menyampaikan monolog jenaka dan satira yang kadangkala menggabungkan aksi fizikal. 

Aksi fizikal ini kadangkala berjoget bertandak menyanyi untuk menarik hati penonton.

Bro, mustahil lu tak pernah melihat klip video perdana menteri Anwar Ibrahim bertandak, menyanyi dan berucap dalam YouTube. 

Ada kala pakai cermin mata hitam sambil menyanyi lagu Hindustan atau Tamil.

Kalau lu belum pernah melihat Anwar Ibrahim buat lawak berdiri ertinya lu bukan warga Malaysia. Lu mungkin Bangla atau pendatang haram dari China Merah yang hilang lesap tak pulang ke negara asal.

Mungkin ramai akan tersenyum geli kerana gua berani berkata Anwar Ibrahim yang selalu jadi imam ini selalu juga buat lawak berdiri. 

Memang betul, si Anwar ini bukan hanya selalu jadi imam, dia juga selalu berucap mengeluarkan hadis dan ayat suci. Untuk gua inilah yang menjadi lawak. Ini juga genre lawak.

"Setahun Anwar sebagai PM: Perangi rasuah tahap maksimum." Ini tajuk dari Berita Harian, 20 November 2023.

"Kerajaan Madani sekarang berperang dengan rasuah, penyelewengan – Anwar." Ini tajuk Berita Harian, 26 September 2024.

"Jangan tolak ansur rasuah, salah guna kuasa – PM Anwar." Ini tajuk berita dari Bernama, 5 Oktober 2024.

Tajuk-tajuk berita ini amat jelas menunjukkan kerajaan Madanon...opps... maaf, kerajaan Madani, sedang berkempen menentang rasuah. Opps... silap... bukan berkempen, tapi sedang berperang melawan rasuah. 

Bro, ini perang rasuah, macam perang di Gaza – Palestin lawan Zionis Israel. Bunuh membunuh dan tawan menawan.

Rasuah di Malaysia ini bukan satu yang baru seperti virus dari Wuhan. Satu ketika dulu lepas Mat Salleh balik kampung, Bani Melayu panggil rasuah sebagai tumbuk rusuk. Atau ambil duit bawah meja. Atau duit kopi. Paling cun istilah Bani Melayu ialah makan suap. Istilah makan suap ini lebih tepat, cun dan lebih kelakar. Ada orang lain suapkan nasi ke mulut kita.

Tapi semua istilah-istilah Melayu ini tidak digunakan lagi. Sekarang kita pakai rasuah. Perkataan rasuah ini berasal usul dari perkataan Tok Arab. Perkataan Arab diambil konon menunjukkan kita Islamik. Kalau Arab saja, maknanya kita Islam dan bersunat.

Rasuah mengikut definisi SPRM ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. 

Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun.

Bro, definisi ini gua pungut dari laman SPRM. Bukan gua reka sendiri. Lu jangan tuduh gua bikin penglipur lara sambil makan suap. 

Ada satu klip video dalam YouTube. Dalam klip ini gua nampak Anwar Ibrahim berdiri bersama beberapa menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Imam Anwar Ibrahim sedang memberi ucapan tentang dasar kerajaan Madani yang ingin memerangi rasuah dengan tatakelola baru.

Bila gua lihat klip ini, gua ketawa terbahak-bahak sampai keluar kentut. Gua ketawa kerana di sebelah kanan Anwar Ibrahim tercegat berdiri Datuk Seri Doktor Ahmad Zahid Hamidi.

Mata si Zahid terkebil-kebil memandang Anwar yang sedang melakar dasar Madani melawan rasuah. 

Gua ketawa memikirkan rasuah dan makan suap dan duit kopi dan duit bawah meja ini. Mustahil bin Mustafa Si Anwar ini tidak tahu Zahid berhadapan dengan 47 kes rasuah.

Inilah yang menjadi tema lawak berdiri Anwar Ibrahim.

Gua tidak tahu apakah perasaan Datuk Seri Doktor Ahmad Zahid Hamidi yang berdiri di sebelah Anwar ketika Anwar berlabun tentang niat dan cita-cita Madani melawan rasuah.

"Kunta kinte... pukrak mukrak... apakah Anwar ini sedang perli aku?" Ini kata-kata yang mungkin berlegar dalam kepala Zahid.

Bro, melawan dan memerangi rasuah ini bukan salah dan bukan jenayah. Kita semua wajib sokong agar Malaysia ini bebas dari barah rasuah ini. Tetapi bila timbalan perdana menteri sendiri terlibat dalam kes rasuah dan tidak didakwa, maka semua ini jadi lawak berdiri..

Orang Tamil di Brickfeilds berkata "P****klah nak lawan rasuah. Kenapa Zahid dan Sivakumar tidak ditangkap?"

Orang Cina di Balakong berkata "Lan**u laaa rasuah... Zahid, Lim Guan Eng tak lak masuk jel."

Peguam dari Bangsar berkata "Anwar fighting corruption... is he f***ing serious? Give me a break, he should lock up Zahid and Guan Eng, and arrest himself too."

Semua cabang dan semua kelas warganegara kita ini melihat Anwar Ibrahim sedang membuat lawak berdiri. Satu Malaysia sedang geli ketawa.

Baru-baru ini, Anwar buat lawak berdiri dengan wartawan dari luar negara. Ini lawak berdiri bersama Mehdi Hassan, wartawan British- Amerika.

Dalam lawak berdiri ini, si Mehdi telah mengorek punggung Anwar berkenaan Ahmad Zahid Hamidi. Anwar ditanya kenapa dia mengambil Zahid sebagai menteri yang terlibat dalam rasuah.

Pertanyaan Mehdi ini telah memberi bola tanggung untuk Anwar mengeluarkan lawakdan komedinya. Tapi kali ini agak lain sedikit.

Dulu di Amerika, ketika ditanya wartawan, Anwar akan membuka kesah Nelson Mandela dan kisah Nurul Izzah menangis. Kali ini punchline Anwar kepada Mehdilebih menggelikan. Lawak yang menggeli ketiak.

Anwar melawak pada Mehdi dengan cerita bagaimana Zahid bebas dari tuduhan rasuah bukan kerana Anwar tetapi mengikut perundangan Malaysia. Ambik kau seketul Mehdi!

Esoknya, pada 7 Oktober 2024, Berita Harian buat tajuk berita paling lawak sehingga seluruh negara ketawa berdekah-dekah: "Anwar fokus usaha banteras rasuah, tingkat tadbir urus dalam pembangunan Malaysia".

Gua rasa Si Anwar ini lebih hebat dari Mat Kambing. Lebih berjaya melawak dari Ibrahim Din dan SM Salim. Lebih lucu dari Ismail Bontak.

Malah lawak berdiri Anwar Ibrahim boleh mengatasi lawak George Carlin (1937-2008) dari New York atau lawak Mr Bean lakonan Rowan Atkinson dari London.

Sayang sekali, orang kaya Alfred Benhard Nobel (1833- 1896) tidak menyenaraikan lawak untuk mendapat Hadiah Nobel. Jika tidak, gua sendiri akan hubungi awek lama gua dari Sweden untuk merasuah jawatankuasa hadiah Nobel, oops... silap... untuk melobi, bukan merasuah, agar Anwar dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Pelawak 2025.

Lawak paling terkini dari Anwar dibuat sesudah dia membentangkan bajet di Parlimen yang sekarang sedang bersidang.

Pada 18 Oktober 2024, mStar membuat tajuk berita: "Anwar kekal tak terima gaji perdana menteri". Kah kah kah