- Iklan -
Berita

Peguam iringi remaja ke JPN selepas arahan mahkamah disambut dengan 'kegilaan birokrasi'

Walaupun berjaya mendapatkan perintah mahkamah supaya diberikan MyKad, remaja berusia 17 tahun itu sebaliknya dipaksa melalui karenah birokrasi berupa pelbagai borang yang tiada kaitan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Sekumpulan peguam mewakili seorang remaja yang disahkan mahkamah pada bulan lalu sebagai seorang warganegara Malaysia membidas sikap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan mematuhi arahan hakim, menimbulkan persoalan tentang janji kerajaan menyelesaikan kes serupa yang mengakibatkan puluhan ribu anak kelahiran Malaysia dinafikan daripada menjalani kehidupan normal.

Pada 8 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja tersebut, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang selesai menduduki peperiksaan SPM bulan lalu.

Bagaimanapun, kunjungan berulang kali remaja itu ke JPN berakhir dengan kegagalan memenuhi perintah mahkamah itu, sebaliknya dia dibebankan dengan timbunan kertas borang untuk diisi, malah ibunya turut dimarahi seorang pegawai.

"Kami menyatakan rasa terkejut apabila sebuah jabatan kerajaan seperti JPN boleh bertindak tanpa berasaskan hukum dan tidak menghormati perintah Mahkamah Tinggi," kata Latheefa Koya, N Surendran dan Zaid Malek, peguam mewakili remaja lelaki itu.

Mereka turut mempersoalkan kegagalan Saifuddin dan Kementerian Dalam Negeri untuk mematuhi perintah mahkamah lebih sebulan selepas ia dikeluarkan.

"Menteri Dalam Negeri, JPN dan kerajaan tidak boleh melanggar perintah mahkamah dengan cara yang melulu ini; ia menjadikan kedaulatan undang-undang di Malaysia tidak membawa apa-apa makna," kata mereka, sambil menambah tindakan JPN itu juga melunturkan harapan beribu-ribu anak kelahiran Malaysia tanpa kewarganegaraan yang masih menagih janji Saifuddin untuk mempertimbangkan permohonan mereka.

"Jika seseorang yang mendapat perintah mahkamah pun dilayan seperti ini, kami bimbang nasib yang akan dihadapi beribu-ribu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan?" tambah mereka.

Susulan tindakan JPN itu, ketiga-tiga peguam berkata mereka akan menemani remaja itu dan ibunya ke JPN Putrajaya esok bagi memastikan arahan mahkamah dilaksanakan dengan segera, dan seterusnya membolehkan dia melanjutkan pelajaran.

Mereka memberi amaran sebarang penolakan oleh JPN akan menyebabkan jabatan itu akan berdepan prosiding hina mahkamah.

24 borang, 62 kategori

JPN sebelum ini menyerahkan remaja itu 24 set pelbagai borang merangkumi 62 kategori.

Menurut peguam, kesemua borang itu tiada kaitan dengan  pengeluaran MyKad seperti mana diarahkan mahkamah.

"Ini adalah kegilaan birokrasi. Dia dihantar pulang dengan borang-borang ini, tanpa borang permohonan MyKad. Ia adalah percubaan untuk menggagalkan dan mengabaikan perintah mahkamah," kata mereka, sambil menambah bahawa tindakan JPN itu merupakan "pelanggaran undang-undang yang tidak ada asas" terhadap perintah mahkamah.

Mereka turut mempersoalkan keperluan remaja itu untuk mendapatkan tandatangan "wakil rakyat" pada salah satu borang yang diberikan.

"Adakah wakil rakyat kini mengatasi perintah mahkamah?"