Peguam bidas Hannah Yeoh bersikap 'tone-deaf' terhadap skandal kewarganegaraan
Menteri sukan itu memuji Saifuddin Nasution ketika 'layanan dua darjat dan kepura-puraan' amat jelas, kata Lawyers for Liberty.
Terkini
Sebuah kumpulan peguam yang memperjuangkan hak ribuan belia yang telah dinafikan kerakyatan walaupun memenuhi syarat menyifatkan pemimpin DAP Hannah Yeoh sebagai "tone-deaf" (tidak peka) atas pujiannya terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, yang kini terpalit skandal kewarganegaraan yang turut menarik perhatian media antarabangsa.
Yeoh baru-baru ini mempertahankan Saifuddin di tengah-tengah kemarahan awam terhadap kelulusan "ekspres" status kewarganegaraan Malaysia kepada tujuh pemain Harimau Malaya, di mana badan induk bola sepak FIFA mendapati dokumen palsu telah digunakan dalam permohonan mereka.
"Berdasarkan pengetahuan saya, belum ada menteri dalam negeri yang menunjukkan sifat belas ihsan dan kecekapan seperti yang dilakukan oleh Saifuddin Nasution," kata menteri belia dan sukan itu selepas kemunculan semula hantaran media sosial yang dinaikkannya pada 2022, di mana beliau mengkritik kelulusan kewarganegaraan untuk pemain bola sepak sementara ribuan masih bergelut tanpa hak kerakyatan.
Bagaimanapun, Lawyers for Liberty (LFL) mengingatkan tindakan Saifuddin membawa pindaan perlembagaan "paling regresif" yang sekiranya diluluskan akan memburukkan masalah mereka yang hidup tanpa kerakyatan.
"Bagi orang ramai, 'belas ihsan' dan 'kecekapan' Saifuddin, seperti yang didakwa Hannah, cuma dikhaskan kepada tujuh pemain bola sepak itu," kata pengarah LFL Zaid Malek.
Beliau menyifatkan kenyataan Yeoh "mengejutkan dan memalukan", sambil menambah bahawa "layanan dua darjat dan kepura-puraan adalah jelas untuk dilihat oleh semua".
"Kenyataan menteri yang 'tone-deaf' (tidak peka) ini langsung tidak membantu meredakan rasa tidak puas hati dan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan mengenai pemberian kerakyatan kepada tujuh pemain bola sepak yang didakwa ada pertalian, namun didedahkan sebagai palsu oleh FIFA," kata Zaid.
Pada 6 Oktober, FIFA mendedahkan bukti dokumen palsu telah digunakan dalam memberikan status kerakyatan kepada tujuh pemain asing, susulan rasa tidak puas hati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya dua minggu sebelumnya.
Hasil siasatannya turut mendapati Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menerima sijil kelahiran asal yang telah ditemui dan didedahkan FIFA.
"Sebaliknya, JPN mengeluarkan salinannya sendiri berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara dari Argentina, Brazil, dan Sepanyol,” kata timbalan pengerusi jawatankuasa disiplin FIFA, Jorge Palacio.
Isu itu kini dilihat sebagai skandal terbesar di bawah kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak beliau mengambil alih kuasa susulan keputusan pilihan raya tergantung pada 2022.
Sementara itu, Zaid mempersoalkan dakwaan Hannah bahawa Saifuddin telah menyelesaikan 49,000 permohonan kerakyatan yang tertunggak.
"Namun, dia tidak sebut berapa ramai orang tanpa kerakyatan yang layak tetapi masih menjalani hidup tanpa kerakyatan. Jumlah permohonan tertunggak yang diselesaikan tidak menggambarkan bilangan besar orang terdesak di luar sana yang kekal tanpa kerakyatan, termasuk beribu-ribu kanak-kanak yang bersekolah."
Menurut Zaid, pihak berkuasa masih tidak mengendahkan penghakiman oleh bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk arahannya kepada JPN untuk mematuhi perlembagaan dengan tidak menuntut syarat tambahan daripada pemohon yang layak mendapat status warganegara secara automatik.
"Penting diingatkan bahawa ramai hidup tanpa kerakyatan kerana kegagalan JPN dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengiktiraf mereka sebagai warganegara Malaysia seperti mana dikehendaki perlembagaan. Dalam erti kata lain, tidak ada maknanya memetik bilangan kes tertunggak yang diselesaikan," tambah Zaid.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
