Syarikat terkait Farhash terima kontrak RM732 juta bekal MyKad
Kontrak itu diumumkan enam bulan selepas Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham terbesar MMAG Holdings, yang mana NexG Berhad mempunyai kepentingan besar.
Terkini
Sebuah syarikat IT yang dikaitkan dengan firma dipengerusikan oleh pemimpin kontroversi PKR yang kini ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador, baru-baru ini dianugerahkan kontrak kerajaan bernilai RM732.72 juta untuk membekalkan MyKad kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kontrak kepada NexG Berhad, dahulunya Datasonic Group Berhad, diumumkan hanya kira-kira enam bulan selepas Farhash muncul sebagai pemegang saham terbesar MMAG Holdings Bhd.
Pada 26 Mac, Farhash, yang juga bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, membeli 462 juta saham dalam MMAG Holdings pada harga RM184.8 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Akhbar TheEdge berkata harga pembelian tidak didedahkan, tetapi memetik laporan Bloomberg yang menunjukkan sebanyak 462 juta saham telah diurus niaga di luar pasaran pada 26 Mac dalam empat peringkat pada 40 sen setiap unit, mewakili diskaun 65% daripada harga penutup MMAG sebanyak 66 sen pada hari yang sama.
Susulan transaksi itu, Farhash memiliki 20% kepentingan dalam MMAG Holdings.
Keesokan harinya, NexG Bhd pula memperolehi sejumlah kepentingan dalam MMAG Holdings apabila menambah sahamnya kepada 9.53%, daripada 1.95% tiga minggu sebelumnya.
NexG menyatakan dalam makluman Bursa bahawa ia dalam proses mempelbagaikan perniagaannya, termasuk menyampaikan "penyelesaian keselamatan dan ID yang komprehensif dengan sokongan logistik bersepadu dengan memanfaatkan perkhidmatan logistik, pergudangan dan aviasi MMAG".
Sebagai pemegang saham terbesar, Farhash dilantik sebagai pengerusi MMAG Holdings, menggantikan bekas ketua pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang ketika itu memiliki sejumlah kepentingan dalam NexG dengan 6.1% saham.
Kontrak kepada NexG diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk tempoh enam tahun, dari 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.
Kementerian sebelum ini sudah pun menganugerahkan NexG sebuah lagi kontrak lumayan bernilai RM1.73 bilion bagi tujuan membekalkan pasport Malaysia selama enam tahun.
Jenis kad pengenalan yang akan dibekalkan kepada JPN termasuk MyKad, MyTentera, dan MyPoca, iaitu kad yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Jenayah.
Menurut NexG, kontrak terbarunya akan memperkenal "MyKad yang dinaik taraf", sambil menambah ia akan membantu rakyat Malaysia dalam menerima subsidi petrol di samping subsidi lain.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
