- Iklan -
Berita

Awas, Farhash bakal jadi 'Jho Low' zaman Anwar, kata Rafizi

Bekas timbalan presiden PKR memberi amaran mengenai 'tangan ghaib' milik watak 'ala Rasputin' yang berkuasa tanpa dipilih rakyat.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Farhash Wafa Salvador dan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Farhash Wafa Salvador dan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Bekas menteri Rafizi Ramli memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa bekas setiausaha politiknya yang kini ahli perniagaan jutawan Farhash Wafa Salvador dibimbangi memainkan peranan seperti mana Jho Low, lelaki yang dipercayai dalang skandal 1MDB yang akhirnya menjatuhkan pentadbiran Najib Razak.

Dalam wawancara bersama portal berita Malaysiakini, Rafizi berkata sebelum ini wujud "tangan ghaib" yang mengawal jawatan tertinggi negara, namun akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan.

"Saya tidak fikir kita nak biarkan walaupun suku daripada Jho Low berlaku lagi. Persoalan sama ada ini boleh bertukar menjadi satu lagi kes Jho Low, bagi saya, apa sahaja yang membenarkan pengaruh tidak wajar daripada seorang tokoh yang tidak dipertanggungjawabkan dan tidak dipilih menerusi peti undi, yang memaklumkan kepada dunia bahawa 'saya ada pengaruh', itu sesuatu kita kena hindarkan. Tetapi saya fikir risiko itu wujud," kata ahli Parlimen Pandan itu, yang meletak jawatan sebagai menteri ekonomi sejurus selepas tewas kepada anak Anwar, Nurul Izzah, dalam pertandingan jawatan timbalan presiden PKR.

Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.

Rafizi memberi amaran terhadap mengenai "tangan ghaib" seperti "Rasputin" - merujuk kepada watak berpengaruh di penghujung empayar Rusia satu masa dulu - sambil menjelaskan bagaimana seseorang yang mempunyai pengaruh politik boleh bertukar menjadi ahli korporat disebabkan ahli perniagaan yang cuba mendapatkan kontrak lumayan dari kerajaan.

"Ada kecenderungan yang mana syarikat-syarikat digunakan sebagai 'vehicle'.

"Bukan saja Farhash. Katakanlah ada orang yang berpengaruh yang dirasakan ada kabel dengan kerajaan. Saya tahu bahawa ada tender A, tender B, tender C. Tender A mungkin untuk 10 tahun berbilion harganya. Jadi saya pun cari vehicle mana yang saya nak gunakan.

"Jadi oleh kerana tuan punya syarikat itu rasa, 'OKlah ini sesuatu yang baik untuk syarikat saya, ini kabel besar ni'. Jadi akan berlaku transaksi yang sebenarnya nampak halal. Saya jual 20%, tiba-tiba ada seorang yang baru yang memang tidak pernah ada rekod apa-apa jadi pemain korporat, mengambil alih syarikat A 20%, kemudian syarikat A masuk tender, syarikat A dapat!," kata Rafizi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook

Sejak bekas bosnya dilantik sebagai perdana menteri pada November 2022, nama Farhash diangkat mengetuai beberapa syarikat besar, termasuk dalam rangkaian kedai runcit 7-Eleven milik Vincent Tan, sebuah firma broker saham dan sebuah syarikat fintech.

Tahun lepas, Farhash menjadi fokus kebimbangan jalinan ahli politik pemerintah dengan dunia perniagaan selepas beliau mengambil alih pegangan besar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk membangunkan sistem imigresen baharu bernilai satu bilion ringgit.

Bekas pengerusi PKR Perak berusia 42 tahun itu muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam HeiTech Padu Bhd dengan pegangan 15.91%, melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

HeiTech Padu adalah salah satu daripada tiga syarikat disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1 bilion, menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Pembelian saham HeiTech Padu dilakukan hanya sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4% kepentingan ekuiti dalam syarikat itu dengan harga RM31.25 juta pada 11 Mac 2024.

Pada hari yang sama, HeiTech Padu mengumumkan lanjutan kontrak selama setahun bernilai RM13 juta untuk menyelenggara MyIMMs.

Farhash ketika itu berkata Rosetta Partners ialah anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Kedua-dua Anwar dan Farhash setakat ini enggan melayan kebimbangan orang ramai yang semakin meningkat, dengan alasan Farhash tidak lagi aktif dalam politik.

Laporan MalaysiaNow pada 21 Julai , 2025.
Laporan MalaysiaNow pada 21 Julai , 2025.

Farhash kembali mencuri perhatian pada Julai lalu selepas MalaysiaNow mendedahkan dokumen dan rakaman audio menunjukkan bagaimana Bumi Suria Sdn Bhd diberikan lampu hijau untuk permohonan lesen cari gali mineral meliputi 70,000 hektar berhampiran sempadan Kalimantan - kawasan hampir tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur.

Kelulusan untuk Bumi Suria, syarikat yang dikawal Farhash dan seorang lagi individu, berlaku pada 21 Mei tahun lalu, selang dua minggu selepas Farhash dan Aminuddin Mustapha mengambil alih syarikat itu.

Farhash bagaimanapun menafikan laporan itu, dan memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap MalaysiaNow.

Sebelum ini, Farhash turut menyaman bekas orang kuat Umno Isham Jalil, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Rafizi sendiri.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi menasihatkan Anwar supaya tidak menolak kebimbangan mengenai Farhash dengan memberikan alasan beliau tidak lagi bergiat dalam politik.

Menurutnya, Najib juga pernah menafikan peranan Jho Low.

"Pengalaman saya sendiri ialah kita jangan pandang mudah bila cakap-cakap itu ada. Bila ada konsistensi dari pelbagai pihak, kamu harus beri perhatian," katanya.

"Ini yang saya merayu kepada Anwar Ibrahim. Jangan ambil laluan yang sama. Dengan mudah, 'saya tak ada kena-mengena'. 

"Kalau jadi apa-apa dan terbukti di kemudian hari, maka yang terpaksa menanggung beban itu adalah Anwar Ibrahim dan PKR sendiri."