Arkitek gerakan reformasi Anwar anggap kritikan semakin lantang terhadap kerajaan 'masuk akal'
Tokoh pemikir dan ahli akademik terkenal Chandra Muzaffar berkata gerakan reformasi bermula dengan langkah yang salah apabila cuba meniru apa yang berlaku di Indonesia.
Terkini
Salah seorang penggerak utama idea "reformasi" Anwar Ibrahim era 1990-an berkata kekecewaan yang semakin lantang atas kegagalan pentadbiran sekarang melaksanakan janji pembaharuan adalah sesuatu yang "sangat masuk akal", pada masa sama mengakui ketidakupayaan melaksanakan reformasi berpunca daripada kesilapan asas gerakan yang diperjuangkan perdana menteri itu.
Chandra Muzaffar, antara sebilangan kecil pemikir terkemuka negara ini yang pernah menyokong Anwar susulan pemecatannya daripada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 1998 atas dakwaan salah laku moral dan kelemahan menangani krisis mata wang Asia ketika itu, berkata gerakan reformasi di Malaysia bermula dengan langkah yang salah apabila cuba meniru gerakan reformasi di Indonesia yang menamatkan era pemerintahan Suharto sebelum itu.
"Adalah sangat tidak cerdik kerana ia (reformasi Indonesia) merupakan situasi yang berbeza sama sekali," Chandra, yang memutuskan untuk tidak lagi bersama Anwar hanya beberapa bulan selepas memainkan peranan utama membentuk Parti Keadilan Nasional - parti pelopor kepada PKR - memberitahu MalaysiaNow dalam satu wawancara baru-baru ini.
"Bagi mereka yang inginkan dengan perubahan yang bermakna, saya fikir ini adalah faktor penting yang perlu diingat. Kita perlu ambil kira konteks, sejarah, keadaan dominan dan persekitaran di mana orang beroperasi, sebelum kita boleh membuat rumusan mengenai satu-satu negara," kata Chandra.
Chandra, tokoh intelektual yang sokongannya dilihat amat kritikal dalam usaha Anwar meraih simpati antarabangsa di sebalik tuduhan liwat dan salah guna kuasa, berkata gerakan reformasi di Malaysia "pada dasarnya adalah persengketaan dalaman Umno".
"Saya fikir adalah naif bagi sesiapa sahaja untuk mempercayai bahawa ia akan menjadi wadah kepada perubahan besar kerana apa yang berlaku ialah pada asasnya isu dalaman Umno."
Tambahnya, Malaysia tidak pernah melalui pemerintahan yang boleh disifatkan sebagai kuku besi, berbeza dengan situasi Indonesia di bawah Suharto.
"Sudah tentu kita pernah ada dasar bersifat autoritarian di sesetengah lapangan, namun tidak boleh mendakwa ia sistem autoritarian yang sepenuhnya, yang tidak memberikan ruang langsung untuk perbezaan pendapat. Itu bukanlah realiti kita," katanya.
"Dan inilah juga sebabnya, dengan melaungkan slogan reformasi pada tahun 1998 dan mengharapkan membawa perubahan yang serupa dengan apa yang berlaku di Indonesia, bagi saya, itu sangat naif."
Chandra menasihatkan pembangkang ketika ini supaya mengelak daripada mengulangi kesilapan sama, iaitu menyamakan keadaan di Malaysia dengan apa yang berlaku Indonesia, terutama selepas protes besar-besaran mengenai jurang ekonomi dan kekayaan ahli politik.
"Selain dari hakikat bahawa Indonesia merupakan jiran kita, malah terdapat banyak persamaan dalam sejarah kita, saya tidak fikir (protes Indonesia) akan membawa kesan besar di negara ini," tambahnya.
Bagaimanapun, Chandra, yang juga memimpin Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), berkata aduan orang ramai adalah sama.
"Jurang kekayaan semakin membesar. Ini juga wujud dalam masyarakat Malaysia, dan kita tidak dapat merapatkan jurang antara masyarakat."
'Tiada apa-apa yang baru'
Ditanya mengenai kritikan yang semakin lantang kedengaran terhadap Anwar atas dakwaan gagal melaksanakan reformasi, Chandra, yang satu masa dulu pernah memberi amaran Malaysia berdepan "bencana yang tidak dapat dibendung" sekiranya Anwar berkuasa, berkata biarpun begitu, beliau sentiasa berfikiran terbuka.
"Sebagai seorang murid politik, saya berfikiran terbuka. Pada masa itu, beliau tidak berkuasa. Kini beliau sudah berkuasa. Beliau harus diberi peluang membuktikan dirinya. Sudah dua tahun memerintah. Kita tunggu dan lihat. Saya rasa tidak adil untuk menilai dia terus dan berkata, 'Kamu telah gagal sepenuhnya'."
Bagaimanapun, Chandra mengakui bahawa kritikan yang semakin meningkat terhadap kepimpinan Anwar ketika ini adalah sesuatu yang "sangat masuk akal".
"Mereka berkata kini kamu sudah ada kuasa, ada perkara tertentu yang kamu boleh lakukan. Dan orang yang ada kuasa harus mengambil tanggungjawab.
"Kamu tidak perlu melakukan semua perkara yang kamu pernah janjikan. Bukan semudah itu. Tetapi ada beberapa perkara yang boleh dilakukan, malah harus berusaha melakukannya. Rakyat mengharapkannya," katanya.
"Di sinilah punca rakyat kecewa. Jika diperhatikan, di hampir setiap bidang, sama ada politik, ekonomi mahupun hubungan etnik, tidak ada apa-apa yang baru yang muncul."
Chandra berkata idea reformasi semakin malap sejak Anwar berkuasa.
"Bagi saya, tidak ada banyak ruang untuk pembaharuan dan kumpulan masyarakat sivil juga harus dipersalahkan. Mereka tidak mengambil peranan ini. Ramai daripada mereka sudah berhenti bercakap tentang perubahan sosial," tambahnya.
Penyokong Anwar sebelum ini cuba menangkis dakwaan mengenai kegagalan melaksanakan reformasi seperti memansuhkan akta zalim dan menangani isu rasuah, jurang ekonomi dan kapitalisme kroni, dengan alasan kerajaan ketika ini ditubuhkan atas dasar perkongsian kuasa dengan Barisan Nasional.
Mereka turut berhujah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya 2022 susulan keputusan Parlimen tergantung itu bukanlah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi kerajaan campuran.
Chandra bagaimanapun mengingatkan, perkongsian kuasa itu merupakan keputusan Anwar sendiri.
"Ia tidak dipaksa ke atas dirinya, dan beliau mahu perkongsian itu kerana manfaat yang diperolehinya. Mengapa diteruskan walaupun tahu bahawa individu yang menerajui Umno adalah seorang yang berdepan pertuduhan?" katanya, merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepaskan daripada perbicaraan 47 pertuduhan rasuah, kurang setahun selepas Anwar diangkat menjadi perdana menteri dengan sokongan ahli Parlimen Umno.
Chandra turut berkata, adalah tidak mengejutkan melihat tolak ansur dibuat Anwar dan PH, kerana ia merupakan daripada perjanjian termasuk menyelamatkan kedudukan Zahid seterusnya memastikan Anwar menjadi perdana menteri.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
