- Iklan -
Berita

Anwar digesa batal jemputan kepada Trump, penyokong Palestin nekad anjur himpunan besar-besaran

Pelbagai tindak tanduk presiden Amerika Syarikat itu menyokong keganasan Israel sepatutnya memberikan isyarat jelas kepada kerajaan, kata aktivis.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Aktivis dan penyokong Palestin menggesa kerajaan Malaysia pimpinan Anwar Ibrahim membatalkan jemputan kepada Donald Trump, antara presiden Amerika Syarikat yang paling kuat menyokong Israel. Gambar: Facebook/Instagram
Aktivis dan penyokong Palestin menggesa kerajaan Malaysia pimpinan Anwar Ibrahim membatalkan jemputan kepada Donald Trump, antara presiden Amerika Syarikat yang paling kuat menyokong Israel. Gambar: Facebook/Instagram

Penyokong Palestin di Malaysia berikrar mengadakan perhimpunan besar-besaran semasa kehadiran Donald Trump, presiden Amerika Syarikat yang kini berdepan tentangan rakyat negaranya sendiri malah dikecam hebat ketika mengadakan lawatan rasmi ke Britain.

Ia di sebalik pelbagai pihak yang tampil mempersoalkan langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjemput Trump ke sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur pada hujung Oktober nanti, ketika president AS itu secara terbuka membantu Israel meneruskan pengusiran besar-besaran penduduk Gaza, di samping menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini untuk menghalang resolusi gencatan senjata.

Aktivis anti-Zionis di Malaysia yang sebelum ini membantah keras sikap kerajaan Anwar membawa masuk sebuah syarikat milik BlackRock untuk menguruskan lapangan terbang di seluruh negara, baru-baru ini kecewa dengan peristiwa anggota keselamatan Suria KLCC tidak membenarkan bendera Palestin dibawa masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan.

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), antara pertubuhan tempatan yang lantang mengadakan demonstrasi sejak bermulanya kempen genosid Israel pada Oktober 2023 lalu, berharap pihak berkuasa tidak akan menghalang hak rakyat berhimpun ketika kehadiran Trump, sejajar dengan pendirian Malaysia membela nasib rakyat Palestin.

Presiden BDS Malaysia Nazari Ismail bersama aktivis dan bekas ahli Parlimen, Tian Chua.
Presiden BDS Malaysia Nazari Ismail bersama aktivis dan bekas ahli Parlimen, Tian Chua.

Jurucakap SSP, Tian Chua, berkata Trump menjadi simbol kepada dasar Washington bersekongkol dengan Israel.

Menurutnya, penolakan terhadap Trump tidak harus dilihat sebagai provokasi tetapi sebagai solidariti yang perlu sampai ke peringkat akar umbi.

"Kita akan terus berusaha menentang Trump," katanya kepada MalaysiaNow, sambil menggesa Anwar tampil dengan keberanian politik untuk menjelaskan secara terbuka pendirian Malaysia terhadap Palestin.

Sebelum ini, Anwar berkata beliau akan menggunakan kesempatan kehadiran Trump pada sidang kemuncak Asean itu untuk menegaskan pendirian mengenai serangan Israel.

"Kita akan gunakan kesempatan itu untuk mengajak beliau memahami sikap dan pendirian tegas Malaysia dalam usaha mencapai keadilan, termasuk bagi Gaza dan Palestin," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik respons pentadbiran beliau yang dilihat akur dengan segala tuntutan Trump dalam isu tarif, ramai di media sosial kurang yakin dengan kenyataan Anwar itu.

Putrajaya sebelum ini melancarkan kempen media mendakwa "kejayaan rundingan" apabila Washington mengumumkan tarif import 19% ke atas Malaysia.

Apa yang disebut sebagai "pengurangan tarif" itu datang bersama komitmen oleh Malaysia melakukan pelaburan besar termasuk pembelian pesawat Boeing, di samping menghapuskan cukai import ke atas majoriti 11,000 produk AS, yang kesemuanya mencecah sehingga lebih satu trilion ringgit.

Pakar ekonomi menyifatkan ia tidak seimbang dengan kos sebenar yang ditanggung akibat kadar 19% tarif yang dikenakan terhadap eksport Malaysia.

'Batal undangan kepada Trump'

Pada 6 September, Tian Chua dikasari beberapa kakitangan Suria KLCC apabila dihalang daripada membawa masuk bendera Palestin, selepas menghadiri sebuah demonstrasi berhampiran.

Dakwaan pengurusan Suria KLCC yang kononnya Tian Chua cuma dilarang membawa masuk kayu bendera sahaja, ternyata meleset apabila percubaan seterusnya oleh sekumpulan pemuda membawa kain bendera Palestin turut dihalang.

Tian Chua berkata rakyat mahukan Anwar membuat penegasan yang jelas tanpa keraguan atau kompromi, apatah lagi ketika dasar Trump bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang didukung Malaysia.

Sebuah demonstrasi pada 6 September 2025, menggesa kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Donald Trump untuk hadir pada sidang kemuncak Asean.
Sebuah demonstrasi pada 6 September 2025, menggesa kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Donald Trump untuk hadir pada sidang kemuncak Asean.

Dan, kata Tian Chua, langkah paling berkesan menghantar mesej tersebut ialah dengan tidak menjemput Trump.

"Mesej kita kepada Perdana Menteri ialah supaya beliau mengambil satu pendirian yang benar-benar selari dengan dasar kerajaan memandangkan pendirian Trump jelas bertentangan dengan nilai dan dasar Malaysia. 

"Oleh itu, kami merasakan adalah tidak sesuai untuk beliau dijemput menghadiri Asean,” katanya.

SSP yang ditubuhkan selepas Israel melancarkan pengeboman besar-besaran di Gaza pada Oktober 2023, terdiri daripada lebih 40 NGO, yang bertindak sebagai kumpulan pendesak untuk menggerakkan kesedaran kerajaan dan rakyat tentang isu Palestin.

Kumpulan itu pernah melancarkan kempen "Kepung Kedutaan AS" yang menyaksikan aktivis berkampung di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

"Sejak itu, setiap kali ada demonstrasi, SSP tidak akan berdiam diri. Kami akan turun dan pastikan mesej solidariti sampai ke jalanan," kata Tian Chua.

Sementara itu, cawangan tempatan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), pergerakan global untuk memulau Israel, berkata rakyat Malaysia menolak kehadiran Trump yang jelas berpihak kepada Israel dan bersekongkol dalam penindasan rakyat Palestin.

Ia berkata rekod dan dasar Trump cukup untuk menjustifikasikan penolakan kehadirannya ke Malaysia kerana beliau menyokong penuh pembunuhan beramai-ramai di Gaza, membekukan dana kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, merangka pelan menjajah wilayah Palestin, serta mempromosi Perjanjian Abraham bagi menormalisasi hubungan dengan Israel tanpa syarat.

Sambil menyifatkan kehadiran Trump di bumi Malaysia sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, Presiden BDS Malaysia, Nazari Ismail, berharap kerajaan tidak akan menghalang sebarang protes yang dirancang selaras dengan pendirian negara yang konsisten menyokong Palestin.

"Protes ini adalah hak demokratik rakyat. Ia aman, teratur dan dilakukan demi menunjukkan bahawa kita tidak boleh bersetuju dengan seorang tokoh yang mewakili dasar apartheid dan keganasan terhadap Palestin," katanya kepada MalaysiaNow.

Israel yang kini meningkatkan serangan harian terhadap penduduk Gaza dengan memusnahkan apartment dan kawasan kejiranan untuk memaksa mereka berpindah, kini berdepan bantahan semakin hebat di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk gesaan memboikot Israel dalam semua bidang.

Ia mengakibatkan sebuah acara lumba basikal di Sepanyol terganggu oleh protes terhadap penyertaan pasukan Israel, dan perlawanan bola keranjang di Poland yang menyaksikan orang ramai mencerca lagu kebangsaan Israel. 

Bulan lalu, pengamal seni dan tokoh industri filem Hollywood termasuk beberapa pelakon terkenal menandatangani ikrar memboikot institusi filem Israel — termasuk melibatkan sebarang festival, penyiaran dan syarikat penerbit.

Pertubuhan bola sepak Fifa juga kini berdepan tekanan untuk mengharamkan sebarang penyertaan pasukan Israel dalam perlawanan antarabangsa, seperti mana ia mengharamkan pasukan Russia susulan pencerobohan Ukraine.

Esok, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), badan tertinggi bola sepak Eropah, dijangka akan mengundi bagi memecat Israel daripada semua perlawanan anjurannya.