Farhash gagal halang MalaysiaNow lapor isu lesen mineral Sabah, diperintah bayar kos
Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata pembelaan yang dikemukakan portal itu 'bukanlah tidak benar secara terang-terangan'.
Terkini
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan bekas pemimpin PKR yang bergelar ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador, untuk menghalang MalaysiaNow daripada melaporkan berkait pendedahan portal itu pada Julai lalu berkenaan keputusan kerajaan Sabah meluluskan lesen cari gali mineral kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan beliau, membabitkan kawasan hutan simpan yang luas berhampiran sempadan Kalimantan.
Keputusan hari ini dianggap kemenangan awal untuk portal berita itu yang kini berdepan saman RM10 juta oleh bekas setiausaha politik perdana menteri itu.
Hakim Noor Hayati Mat turut memerintahkan Farhash membayar kos RM5,000.
"Pada peringkat awal ini, bukan untuk kepada mahkamah ini memutuskan sama ada kenyataan itu berunsur fitnah atau sebaliknya. Bagaimanapun, pembelaan yang dikemukakan bukanlah tidak benar secara terang-terangan, dan oleh itu tidak ada keperluan untuk injunksi interim," kata keputusan itu.
Farhash dan Aminuddin Mustapha, kedua-duanya mengawal kepentingan Bumi Suria Sdn Bhd, memfailkan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan pengarangnya Abdar Rahman Koya berhubung laporan-laporan portal itu sebelum ini.
Laporan-laporan itu berkisar permohonan Bumi Suria mendapatkan lesen carigali mineral, yang diluluskan Sabah Mineral Management (SMM) dalam mesyuarat lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor pada 21 Mei tahun lepas.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati keputusan itu diambil hanya dua minggu selepas Farhash dan Amin dilantik sebagai pengarah Bumi Suria.
SMM, agensi pelesenan mineral negeri yang dipengerusikan oleh Hajiji sendiri, kini terpalit skandal rasuah melibatkan ahli politik kanan kerajaan susulan siri rakaman video didedahkan ahli perniagaan Albert Tei, yang menunjukkan beberapa Adun Sabah membincangkan bayaran mencecah sehingga jutaan ringgit.
MalaysiaNow diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Amanda Sonia Mathew, manakala plaintif diwakili oleh Rajan Navaratnam, Sheena Stephanie Sebastian, R Aswath dan Ezryl Azlyzan Ahmad Damanhuri.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
