- Iklan -
Rencana

Ini kelakuan jenayah: Nak naikkan ranking, kita turunkan imej Malaysia

FAM juga pernah merakam penghargaan kepada perdana menteri kerana memudah cara proses naturalisasi pemain. Apakah bantuan yang diberikan?

Rafique Rashid
2 minit bacaan
Kongsi

"International embarrassment": ungkapan paling sesuai tatkala membaca alasan penghakiman 19 muka surat 68 perenggan bertarikh 25 September 2025 oleh Jawatankuasa Disiplin Fifa terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi bola sepak negara.

Dakwaan serta pertuduhan menjurus kepada pemalsuan dokumen sijil kelahiran, penipuan serta representasi palsu, melanggar bukan sahaja semangat kesukanan tetapi ianya juga ada unsur-unsur jenayah.

Fifa menyatakan siasatan mereka menjumpai dokumen-dokumen sijil lahir asal manakala FAM pula menyediakan dokumen menurut perlembagaan negara kita.

Fifa menyatakan dengan jelas dokumen-dokumen yang dibekal FAM telah dipalsukan. Ini kenyataan serius. Ia bukan sahaja menunjuk pada kecuaian FAM tetapi salah laku jenayah.

Kini siapa yang patut disalahkan? Ya, FAM ada proses rayuan tetapi mana yang lain? 

Kementerian Belia dan Sukan sebagai kementerian yang menjaga sukan negara: 
Walaupun FAM adalah badan bebas mengurus sukan bola sepak negara, adakah KBS boleh lepas tangan sahaja? Perlu ada siasatan dan pertanyaan dari KBS kepada FAM. Ini maruah negara.

Kementerian Dalam Negeri sebagai kementerian yang mengurus dan mentadbir agensi serta dokumentasi kewarganegaraan serta dokumen pengenalan diri: Adakah individu-individu ini benar-benar layak di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan? Adakah mereka bermastautin di Malaysia, fasih (memadai)  dalam bahasa Melayu? Atau adakah mereka mendapat layanan istimewa? Adakah ianya tergesa-gesa? 

Fifa juga mempersoal perkara ini seperti mana aduan dalam alasan penghakiman jawatankuasa tersebut.

Dakwaan sijil kelahiran nenek atau datuk pemain-pemain ini yang meragukan juga kini menjadi persoalan. 

Siapakah yang sediakan? Bagaimana kalau Malaysia terbentuk pada 1963, tetapi sijil lahir tahun 30-an mengandungi Malaysia? Bukankah Malaya atau Tanah Melayu?

Siapakah yang terlibat dalam pemalsuan ini? Atas arahan siapakah ianya dibuat? Siapakah yang meluluskan dokumentasi ini? Siapa pegawai-pegawai agensi yang terlibat?

Pemalsuan dan penipuan sijil lahir dan/atau apa-apa dokumentasi berkenaan kewarganegaraan adalah jenayah besar. 

Kalau untuk tujuh pemain ini ianya benar palsu (seperti kata Fifa), bagaimana kita dapat percaya ianya tidak pernah berlaku dalam hal perkara lain?

FAM juga pernah merakam penghargaan kepada perdana menteri atas usaha memudah cara proses naturalisasi pemain-pemain ini. Apa bantuan yang diberikan? Apa arahan pemudah cara?

Secara menyeluruh sekarang, semua pihak terlibat dalam skandal ini. 

Bola sepak milik rakyat. Semua adalah pemegang taruh dalam sukan ini. Kita diajar dari kecil tentang semangat kesukanan dan "fair play".

Namun, demi jalan singkat menuju kejayaan, nampaknya mengikut keputusan Fifa, kita semua dikenakan kad merah.

Ya, FAM ada hak merayu. Tetapi yang jelas setakat ini, Malaysia palsukan dokumen, menipu untuk kuatkan pasukan, guna pemain yang tidak layak untuk capai kemenangan.

Untuk naik ranking Fifa, kita berjaya turunkan ranking integriti Malaysia di mata dunia.

Pelaku-pelaku serta pihak yang terlibat beri arahan untuk pemalsuan dan penipuan ini wajib dipanggil dan disiasat.

Ini kelakuan jenayah dan melanggar moral serta etika. Malaysia sedang dan akan jadi bahan ketawa kalau kita lepas tangan.

Rafique Rashid ialah seorang peguam dan ketua penerangan Pejuang.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.