- Iklan -
Berita

'Siapa orang yang begitu berkuasa itu?' Dakwaan Mahathir cetus persoalan di sebalik skandal kewarganegaraan

Sementara itu, seorang peguam terkemuka menyekolahkan menteri dalam negeri yang memberi alasan 'budi bicara menteri'.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad merujuk individu yang 'begitu berkuasa' ketika mengulas skandal kewarganegaraan membabitkan pasukan bola sepak negara.
Dr Mahathir Mohamad merujuk individu yang 'begitu berkuasa' ketika mengulas skandal kewarganegaraan membabitkan pasukan bola sepak negara.

Tumpuan orang ramai dalam skandal kewarganegaraan terbesar di Malaysia sejak beberapa dekad mula beralih daripada pasukan bola sepak kebangsaan kepada dakwaan oleh Dr Mahathir Mohamad bahawa wujud seseorang yang "begitu berkuasa" sehingga kelulusan "ekspres" taraf kerakyatan diberikan kepada tujuh warga asing.

Mahathir memberi amaran pihak yang tidak bersalah mungkin menjadi sasaran sementara pelaku sebenar, yang menurutnya "terkecuali" daripada tindakan undang-undang, akan dilepaskan.

"Jadi, ada seseorang yang begitu berkuasa sehingga boleh melakukan kesalahan dan terlepas begitu sahaja, itulah yang dibangkitkan oleh pihak Vietnam," kata bekas perdana menteri itu dalam sebuah podcast terbitan akhbar Sinar Harian baru-baru ini.

Kenyataan itu serta-merta menyaksikan ledakan komen di media sosial, di mana ramai turut merujuk kepada perbalahan yang pernah melibatkan Mahathir dan beberapa orang kenamaan sebelum ini.

"Semua orang di Malaysia tahu siapa yang bersalah, namun tidak ada yang berani menyebut namanya, dan ini bukan kali pertama orang itu terlepas daripada jenayah," kata pengguna X, Firdaus Abd Hanan.

Pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini bergelut dengan skandal terbesar sejak mengambil alih kuasa pada 2022, yang turut mendapat perhatian media antarabangsa.

Ia ketika menteri dan pelbagai agensi kerajaan berusaha mematahkan tuduhan bahawa prosedur dan undang-undang telah dilanggar dalam mengurniakan taraf kerakyatan kepada tujuh pemain untuk membolehkan mereka mewakili negara ketika menentang Vietnam dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 empat bulan lalu.

guardian_harimaumalaya"Terpalit dengan penuh sensasi," menurut tajuk akhbar terkemuka Britain, The Guardian.

“Ia sudah pasti tidak memberi apa-apa kelebihan kepada sebuah negara yang selama ini lebih terkenal dalam dunia bola sepak kerana sindiket 'match-fixing' (mengatur perlawanan) dan pertaruhan, bukannya apa yang berlaku di atas padang,” kata akhbar itu.

Pada 6 Oktober lepas, badan induk bola sepak antarabangsa FIFA mendedahkan bukti dokumen palsu telah digunakan dalam memberikan status kerakyatan kepada tujuh pemain asing, susulan rasa tidak puas hati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya dua minggu sebelumnya.

Antara yang paling lantang membantah keputusan FIFA itu ialah Pemangku Sultan Johor dan bekas presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang membangkitkan sama ada wujud tekanan luar dalam keputusan tersebut.

"Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?" soal Tunku Ismail, yang terkenal dengan panggilan TMJ.

Kenyataan itu segera disusuli kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa ia tidak ada bidang kuasa dalam perkara itu, respons yang diberikan ketika agensi antirasuah itu berdepan kecaman mengenai bidang kuasa yang tidak terbatas dan tuduhan pendakwaan terpilih.

Pada 7 Oktober, rakyat Malaysia menyatakan rasa terkejut apabila FIFA tampil dengan penjelasan yang dikeluarkan sehari sebelumnya, disertakan gambar dan butiran menunjukkan Malaysia menggunakan salinan sijil kelahiran yang dipalsukan bagi menyokong kelayakan pemain asing mewakili Malaysia.

Laporan panjang lebar FIFA itu turut menjelaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menerima sijil kelahiran asal yang telah ditemui dan didedahkan FIFA.

"Sebaliknya, JPN mengeluarkan salinannya sendiri berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara dari Argentina, Brazil, dan Sepanyol,” kata timbalan pengerusi jawatankuasa disiplin FIFA, Jorge Palacio.

Berdepan dengan kecaman yang semakin meningkat, FAM kemudiannya berkata berlaku "kesilapan teknikal" ketika menyerahkan dokumen kepada FIFA, sambil mendakwa salah seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen salah yang dibekalkan ejen pemain dan bukannya dokumen rasmi JPN.

'Soalan cepumas'

Ketika isu itu semakin dilihat sebagai skandal antarabangsa, usaha Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution memberikan penjelasan tidak berjaya meredakan kemarahan.

Rafique Rashid.
Rafique Rashid.

Pada Khamis, Saifuddin, yang memiliki bidang kuasa luas ke atas JPN, menyampaikan penjelasan panjang lebar di Parlimen, sambil secara tidak langsung mengambil tanggungjawab apabila berkata beliau menggunakan kuasa perlembagaannya untuk meluluskan permohonan kerakyatan.

Bagaimanapun, peguam Rafique Rashid berkata walaupun diakui Saifuddin mempunyai budi bicara dalam soal kewarganegaraan, persoalan sebenar ialah bagaimana JPN menerima pakai dokumen yang kini terbukti dipalsukan.

"Cepumas yang masih belum terjawab: Siapa arahkan pemalsuan? FIFA guna peluru hidup, bukan peluru kapur," katanya.

Beliau mempersoalkan tindakan JPN mengesahkan dokumen tersebut walaupun tanpa salinan asal, sambil mengingatkan bahawa FIFA sebaliknya berjaya "cari dan jumpa sijil lahir asal datuk dan nenek pemain-pemain ini".

"Bagaimana pegawai-pegawai di JPN begitu berani menyerahkan dokumen tanpa melihat yang asal atau asli? Bagaimana pegawai-pegawai agensi serta kemudiannya FAM begitu berani sehingga proses dokumentasi tanpa lihat yang asal?" soalnya, sambil menambah kuasa budi bicara menteri masih memerlukan justifikasi undang-undang dan perlembagaan.

"Kalau itu lojiknya, maka mudah sahaja nampaknya kalau warga asing hendak jadi warganegara?

“Setiap budibicara itu mesti berpaksi pada undang-undang tidak kira siapa, samada dilahir biasa atau cara kayangan, samada kaki bangku atau kaki bola,” kata Rafique.

Rafique berkata dalam keadaan biasa, proses permohonan kewarganegaraan selalunya memakan masa bertahun-tahun, pandangan yang sebelum ini diluahkan peguam dan aktivis hak asasi yang mempersoalkan kewujudan puluhan ribu orang tanpa kerakyatan walaupun dilahirkan di negara ini, tetapi terpaksa berdepan pelbagai kesulitan menjalani kehidupan atas kegagalan kerajaan memberikan taraf kewarganegaraan walaupun cukup syarat.

Beliau turut mencabar Saifuddin menyatakan sama ada pegawai yang terlibat telah menguji kefasihan tahap bahasa Melayu pemohon. 

Di bawah Perkara 19 Perlembagaan Malaysia, pemohon mestilah telah bermastautin selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dalam 12 tahun, di samping mempunyai pengetahuan bahasa kebangsaan yang memadai, syarat yang menurut Saifuddin telah dipenuhi oleh pemain.