Saifuddin, 1 hari lulus kerakyatan pemain bolasepak, kanak-kanak Malaysia bagaimana?
Cucu kepada warga asing dengan garis keturunan yang begitu jauh boleh melalui proses begitu pantas, tetapi ribuan anak Malaysia yang sah di bawah perlembagaan terus dinafikan hak kerakyatan.
Terkini
Saya menulis surat terbuka ini dengan penuh rasa kecewa, marah, dan kehairanan namun tetap dengan harapan bahawa kementerian yang YB pimpin akan memberi penjelasan yang telus dan bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia.
Melalui laporan Fifa yang tular dimaklumkan bahawa permohonan kewarganegaraan untuk beberapa pemain bola sepak didakwa diproses dan diluluskan dalam masa satu hari.
Jika maklumat ini benar, ia bukan sahaja amat luar biasa tetapi langsung tidak mencerminkan realiti kehidupan ribuan keluarga Malaysia yang berpuluh tahun menunggu hak yang sama dan terus menunggu hingga hari ini.
YB Menteri sudah tentu sedar bahawa terdapat ramai kanak-kanak di negara ini yang lahir daripada bapa warganegara Malaysia dan ibu warga asing tetapi kerana perkahwinan tidak dapat didaftarkan (contohnya kerana ibu memegang permit kerja sementara), anak itu terus terperangkap tanpa kerakyatan. Anak-anak ini membesar tanpa MyKad, tanpa akses mudah ke sekolah, tanpa peluang membuka akaun bank, tanpa peluang pekerjaan masa depan yang stabil, dan akhirnya berdepan kesulitan untuk berkahwin apabila dewasa. Masalah ini diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Tetapi tiba-tiba muncul laporan bahawa beberapa pemain bola sepak dengan hubungan darah Malaysia yang jauh hingga disebut hanya pada peringkat nenek dan keluarga sebelah luar negara dapat pula diluluskan kewarganegaraan dengan begitu cepat dan mudah.
YB Menteri, adakah ini benar?
Jika benar, apakah asas dan kuasa budi bicara yang digunakan?
Apakah syarat khas yang dikenakan kepada mereka yang tidak dikenakan kepada anak-anak Malaysia yang telah lahir di sini, membesar di sini, bersekolah di sini, dan seluruh hidupnya berakar di bumi ini?
Bagaimana mungkin seorang cucu kepada warga asing dengan garis keturunan Malaysia yang begitu jauh boleh melalui proses yang begitu pantas sedangkan ribuan anak Malaysia yang sah yang mempunyai hak perlembagaan melalui ibu atau bapanya terus dinafikan selama bertahun-tahun?
YB Menteri, kenyataan dan laporan ini memalukan negara. Ia menimbulkan persoalan berat mengenai keadilan, keutamaan dan integriti proses kewarganegaraan negara kita.
Kami mahu tahu:
- Adakah benar proses itu hanya mengambil masa satu hari seperti yang didakwa?
- Jika benar, apakah justifikasi undang-undang dan prosedur yang membolehkan proses sebegitu pantas?
- Mengapa proses yang sama tidak dapat digunakan untuk kanak-kanak Malaysia yang jelas lebih layak mengikut Perlembagaan?
- Adakah terdapat garis panduan khas, pengecualian, atau pintu khas untuk kes tertentu dan mengapa ia tidak telus kepada rakyat?
- Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, saya menuntut penjelasan rasmi.
Kami tidak menolak sesiapa yang ingin menyumbang kepada negara ini tetapi kami menolak ketidakadilan yang terang-terangan. Kami menolak layanan istimewa yang hanya muncul apabila seseorang itu terkenal, berpengaruh atau mempunyai nilai komersial.
Anak-anak Malaysia di Chow Kit, Semporna, Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah, dan seluruh pelusuk negara yang hanya “kesalahannya” ialah dilahirkan kepada ibu yang salah visa atau ibu bapa yang tidak sempat mengurus dokumen tidak pernah mendapat keistimewaan sebegitu.
Mereka menunggu bertahun-tahun tanpa kepastian. Permohonan bawah perkara 15a sahaja ada 14000 masih tertunggak. Tetapi lima atau tujuh orang yang baru tiba dikatakan diluluskan dalam masa sehari.
YB Menteri, ini tidak masuk akal dan rakyat berhak marah.
Saya mohon YB memberikan penjelasan terbuka kepada umum. Ketelusan adalah asas kepercayaan rakyat. Jika benar wujud keutamaan tertentu, jelaskan. Jika prosedur disalah guna, perbetulkan.
Jika laporan tidak tepat, perincikan. Kerana apa pun jawapannya, rakyat Malaysia sedang menunggu dan kami tidak akan berhenti bertanya.
Siti Rahayu Bahrin, atau Cikgu Rahayu, merupakan aktivis dan pengasas Buku Jalanan Chow Kit yang bertujuan mengeluarkan kanak-kanak daripada jerat kemiskinan bandar.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
