MalaysiaNow menolak arahan kerajaan Singapura masukkan "pembetulan"
Apabila arahan kerajaan Malaysia pun tidak dituruti, apa yang membuatkan kerajaan Singapura merasakan kami akan akur arahannya?
Terkini
Hari ini, kerajaan Singapura mengeluarkan notis panjang lebar kepada MalaysiaNow dengan menggunakan undang-undang menapis kandungan internet yang dipanggil Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Protection from Online Falsehoods and Manipulation Act) atau Pofma.
Notis tersebut berkaitan dengan sebuah artikel diterbitkan oleh MalaysiaNow pada 9 Nov 2025, yang ditulis oleh Sangkari Pranthaman, kakak kepada Pannir Selvam, warganegara Malaysia yang dihukum mati pada 8 Oktober.
Artikel penuh boleh dibaca di sini.
Notis Pofma itu mengandungi 18 halaman yang sarat dengan pelbagai istilah malah ancaman, di samping menyediakan templat menerbitkan "pembetulan" dengan harapan MalaysiaNow akan memasukannya dalam artikel tersebut serta kiriman media sosial yang berkaitan.
Dokumen Pofma antara lain memaklumkan cara dan di mana sesuatu petikan "pembetulan" perlu dimasukkan, serta arahan untuk "pin" pembetulan tersebut di media sosial kami.
Dalam erti kata lain, kerajaan Singapura mahu menguruskan kandungan MalaysiaNow sekiranya tidak berpuas hati dengan apa yang kami terbitkan.
Kami berterima kasih kepada Singapura atas tawarannya malah menghargai garis panduan teliti yang disediakan untuk kami, supaya kami dapat mengelakkan hukuman di bawah sebuah akta asing yang melangkaui kedaulatan di samping bersifat kuku besi.
Adalah membingungkan, malah melucukan, melihat kerajaan Singapura menghabiskan begitu banyak masa menghasilkan pelbagai arahan rumit, dan mengharapkan media di Malaysia akan akur kepadanya.
Apabila arahan kerajaan Malaysia pun tidak dituruti, apa yang membuatkan kerajaan Singapura merasakan kami akan akur arahannya?
Kami menolak tuntutan ini. Sebaliknya, kami akan memasukkan kenyataan ini dalam semua pautan yang disebut oleh notis Pofma.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
