- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa bersuara untuk warga Malaysia berdepan hukuman mati selepas sabitan dadah kontroversi di Singapura

Kumpulan hak asasi mempersoalkan perbicaraan Pannir Selvam yang tidak menurut piawai hak asasi antarabangsa.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan Malaysia digesa campur tangan untuk menyelamatkan nyawa Pannir Selvam Pranthaman, yang disabitkan kesalahan berikutan perbicaraan yang dianggap melanggar piawaian antarabangsa.
Kerajaan Malaysia digesa campur tangan untuk menyelamatkan nyawa Pannir Selvam Pranthaman, yang disabitkan kesalahan berikutan perbicaraan yang dianggap melanggar piawaian antarabangsa.

Dua puluh pertubuhan sivil, diketuai oleh kumpulan hak asasi global Amnesty International dan sebuah gabungan yang berkempen memansuhkan hukuman mati, menggesa Putrajaya campur tangan untuk menyelamatkan nyawa seorang banduan warga Malaysia yang berdepan hukuman mati di Singapura, lebih tiga tahun selepas kerajaan terdahulu membuat rayuan serupa bagi pihak seorang pemuda kurang upaya yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan dadah.

Dalam kenyataan bersama, Amnesty dan Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia berkata kerajaan mesti mengambil "tindakan segera dan tegas" bagi pihak Pannir Selvam Pranthaman yang telah ketandusan proses perundangan sejak dijatuhkan hukuman mati pada 2017 di bawah undang-undang dadah Singapura yang kontroversi.

"Tiada apa yang boleh menghalang pelaksanaan hukuman mati ke atas Pannir oleh kerajaan Singapura pada bila-bila masa," kata kenyataan itu, yang turut mendapat sokongan 18 pertubuhan sivil dan hak asasi termasuk Lawyers for Liberty dan Bersih.

Ia menyifatkan kes Pannir dicemari pelanggaran undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, di samping keadaan tertentu kesalahan serta latar belakang Pannir tidak diambil kira oleh hakim kerana hukuman mati itu dikenakan sebagai hukuman mandatori.

Pannir, 37, ditahan pada 2014 selepas didapati membawa 51.84g heroin, dan disabitkan tiga tahun kemudian.

"Hakim mendapati Pannir bertindak sebagai 'kurier' kerana beliau hanya mengangkut dadah. Bagaimanapun, Pendakwaan tidak memberikan beliau Sijil Bantuan Substantif yang mengakibatkan hakim tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati mandatori. 

"Proses ini melanggar hak untuk perbicaraan yang adil kerana ia meletakkan keputusan antara hukuman hidup atau mati di tangan pihak pendakwaan yang bukan pihak neutral dalam perbicaraan, yang tidak sepatutnya mempunyai kuasa sedemikian, dan kerana ia menjejaskan pemisahan yang jelas yang mesti wujud antara pihak pendakwaan dan mahkamah," kata kenyataan itu.

Sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur pada April 2022 membantah hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam.
Sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur pada April 2022 membantah hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam.

Ia turut mengingatkan Malaysia tentang tanggungjawabnya mengambil "semua tindakan yang mungkin" untuk menghentikan amalan hukuman mati oleh jirannya, sambil berkata kepengerusian Asean memberikan Malaysia kedudukan unik untuk menyokong isu hak asasi manusia di rantau ini.

"Campur tangan Malaysia dalam kes Pannir bukan sahaja menunjukkan komitmen negara untuk menyokong rakyatnya yang berhadapan hukuman mati di luar negara, tetapi juga kepimpinan negara dalam memajukan agenda hak asasi manusia dalam Asean," tambahnya.

Keluhan kakak

Pada November 2021, Mahkamah Rayuan Singapura menolak cubaan terakhir Pannir untuk membatalkan hukuman mati.

Susulan itu, kakak Pannir, Sakari Pranthaman, membidas pihak berkuasa Singapura, menyifatkan kes adiknya mengabaikan prinsip keadilan.

Sakari turut mempersoalkan pihak penjara kerana enggan membenarkan peguam Malaysia, N Surendran, melawat Pannir.

"Dan ini berlaku apabila Pannir bersedia ke mahkamah buat kali terakhir untuk mendapatkan hukuman rasmi. Bolehkah anda bayangkan detik itu? Surendran tidak mendapat kebenaran melawat Pannir sehingga selesai kes dan hanya dapat bertemu Pannir di mahkamah pada 23 Mei 2019, sehari sebelum tarikh pelaksanaan hukuman mati. Ini tidak masuk akal," tulis Sangkari.

"Janganlah lakukan kerja belakang tabir seperti menafikan banduan yang dihukum mati hak mereka untuk mendapatkan khidmat peguam dan tidak member kerjasama kepada peguam yang membelanya dalam kes hukuman mati di Singapura."

Pada Oktober 2021, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah,  mengutus surat kepada kerajaan dan presiden Singapura memohon kelonggaran kehukuman untuk Nagaenthran Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang disahkan sebagai orang kurang upaya mental yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 43g, atau bersamaan tiga sudu, heroin.

Meskipun ia mengundang kritikan antarabangsa, Nagaenthran akhirnya dihadapkan ke tali gantung pada April 2022.

Sebelum itu pada 2019, Singapura mengabaikan rayuan kerajaan Malaysia serta petisyen pengampunan melibatkan Abd Helmi Ab Halim, seorang warga Malaysia yang hukuman matinya dilaksanakan pada November tahun itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Amnesty berkata Singapura "mempergiatkan usaha untuk melaksanakan hukuman mati" dengan memendekkan tempoh notis kepada hanya empat hari bagi mereka yang sebelum ini hukuman matinya ditangguhkan.

Selain itu, dua akta baharu yang mula berkuat kuasa baru-baru ini menyekat peluang banduan akhir untuk memfailkan rayuan atau semakan, kata mereka.

"Perkembangan ini menggariskan kesegeraan bagi kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan bersatu dan lebih kuat, menyeru Singapura untuk segera menamatkan semua pelaksanaan hukuman mati sebagai langkah kritikal ke arah memansuhkan hukuman mati," tambah kenyataan itu.

Kakak Pannir Selvam, Angelia (kiri) dan Sakari Pranthaman bersama penyanyi Santesh Kumar, yang menyanyikan salah satu lagu ditulis Pannir dari tirai besi Penjara Changi.
Kakak Pannir Selvam, Angelia (kiri) dan Sakari Pranthaman bersama penyanyi Santesh Kumar, yang menyanyikan salah satu lagu ditulis Pannir dari tirai besi Penjara Changi.

Dari belakang tirai besi di Penjara Changi, Pannir menggunakan masanya menulis tiga buah lagu, dan berganding bahu dengan beberapa artis tempatan dalam kempen memansuhkan hukuman mati.

"Lagu-lagu ini bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan peribadi Pannir tetapi juga mengukuhkan mesej beliau tentang belas kasihan dan kepentingan memberi orang peluang kedua," kata kenyataan itu.

Kerajaan Singapura yang diterajui PAP telah mempertahankan amalan hukuman mati sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun negara jiran Malaysia mengumumkan pemansuhan hukuman mati mandatori, termasuk bagi pesalah dadah.

Tahun lalu, sembilan individu menjalani hukuman mati di Singapura, lapan daripadanya atas kesalahan berkaitan dadah.

Pada 2022, seramai 23 banduan akhir memfailkan saman terhadap kerajaan Singapura, menuduh pihak berkuasa menghalang hak mereka mendapatkan keadilan susulan siri pelaksanaan hukuman mati ke atas banduan yang terpaksa membela diri tanpa kehadiran peguam dalam rayuan saat-saat akhir.