- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Yusoff Rawther ikrar terus berjuang, sedia lawan Anwar dalam saman serangan seksual

Bekas pembantu penyelidik kepada perdana menteri itu bertegas dirinya dianiayai oleh orang yang berkuasa.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther ditemani peguam Rafique Rashid ketika dikerumuni penyokong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Yusoff Rawther ditemani peguam Rafique Rashid ketika dikerumuni penyokong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Muhammed Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini tampil di luar mahkamah buat pertama kali sejak sembilan bulan sambil berikrar untuk meneruskan perjuangannya mendapatkan keadilan.

Ia selepas pemuda itu dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan senjata api dan dadah terhadapnya.

"Saya akan terus berjuang. Saya dianiayai, diperlakukan macam-macam," kata Yusoff, 32, sejurus selepas mahkamah menolak pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Senjata Api dan memutuskan beliau tidak perlu membela diri.

Bercakap kepada pemberita, peguam Rafique Rashid berkata Yusoff membuktikan dia tidak gentar terhadap golongan yang berkuasa walaupun keselamatan dirinya diancam.

YusoffRawther2_120625_Mnow"Kalau dia risau tentang keselamatan, dia tidak akan mengambil apa-apa tindakan kepada orang yang berkuasa. Tetapi di hadapan anda semua adalah seorang lelaki muda yang berani berdiri dan menyatakan dia akan lawan kezaliman," kata Rafique.

Keputusan yang disambut dengan sorakan dan laungan takbir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu selang dua hari selepas Anwar mengelak kemungkinan dirinya hadir dalam perbicaraan berdepan saman sivil difailkan Yusoff, di mana pemimpin PKR itu dituduh menyerang pemuda itu secara seksual tujuh tahun lalu.

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan memberikan penangguhan sementara bagi semua prosiding yang dijadualkan pada 16 Jun ini, selepas membenarkan permohonan Anwar menangguhkan saman sivil itu sementara menunggu percubaannya mendapatkan penangguhan penuh bulan depan.

Langkah itu bagi membolehkan Anwar meneruskan permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk menentukan sama ada beliau merangkap perdana menteri menikmati kekebalan daripada sebarang saman mahkamah, langkah yang mengundang kontroversi dan kritikan orang ramai.

Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang Allahyarham SM Mohamed Idris, pernah bertugas sebagai pembantu penyelidik Anwar di pejabat banglo ahli politik itu di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 2018.

Pada 2021, Yusoff memfailkan saman mendakwa pemimpin PKR itu menyerangnya secara seksual pada Oktober 2018, hanya beberapa hari sebelum beliau memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson. Anwar menafikan dakwaan tersebut. 

Siasatan polis ketika itu menyaksikan Yusoff menjalani ujian poligraf, manakala Anwar memilih tidak menjalani ujian pengesan bohong itu dengan mengatakan tuduhan terhadapnya sebagai tidak berasas.

Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador dinamakan oleh Yusoff Rawther sebagai individu yang bertanggungjawab memerangkapnya dengan pertuduhan dadah dan senjata api.
Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador dinamakan oleh Yusoff Rawther sebagai individu yang bertanggungjawab memerangkapnya dengan pertuduhan dadah dan senjata api.

Saman sivil itu turut dibangkitkan pihak pembelaan dalam kes dadah dan senjata api melibatkan Yusoff, termasuk persoalan mengenai cara polis menyerang hendap keretanya pada 6 September tahun lalu, iaitu seminggu selepas dia menyerahkan senarai saksi saman itu.

Pihak pembelaan seterusnya berhujah bahawa siasatan polis tidak lengkap kerana antara lain gagal menyoal Anwar dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador, dua individu yang dinamakan Yusoff dalam laporan polisnya sebagai orang yang menyimpan dendam terhadapnya. 

Sepanjang penyiasatan dan perbicaraan, Yusoff kekal mengatakan dirinya menjadi mangsa orang berkuasa yang menyimpan dendam terhadapnya disebabkan saman yang difailkan terhadap Anwar.

Yusoff hari ini menyifatkan pembebasannya sebagai kemenangan untuk semua rakyat Malaysia, sambil menambah akan meneruskan saman sivil tersebut.