'Cacat, tidak lengkap dan penuh kelompangan': Mahkamah digesa bebaskan Yusoff Rawther tanpa dipanggil bela diri
Pihak pembelaan memetik penghakiman dalam kes lain di mana mahkamah membebaskan tertuduh kerana pendakwaan gagal mengaitkannya dengan dadah yang ditemui.
Terkini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu ia tidak mempunyai pilihan tetapi untuk membebaskan Muhammed Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim yang berdepan pertuduhan berkait dadah dan senjata api susulan sebuah serbuan kontroversi polis terhadap keretanya pada September tahun lalu.
Pihak pembelaan menyifatkan siasatan polis sebagai cacat sejak awal dan ia ditambah dengan kenyataan bercanggah daripada saksi pendakwaan, menyebabkan Yusoff dinafikan perbicaraan yang adil seperti yang dijamin oleh perlembagaan.
Pihak pembelaan juga menyentuh mengenai panggilan telefon daripada orang tidak diketahui pada awal pagi 6 September tahun lalu, yang memaklumkan polis butiran khusus mengenai kereta Yusoff yang terletak di luar rumahnya.
"Ini adalah tip off yang amat spesifik. Ia mengandungi maklumat-maklumat tepat mengenai kereta Nissan Teana PMH6931 termasuk lokasi tepat kereta tersebut diparkir. Ini telah diakui oleh saksi-saksi polis," kata peguambela mewakili Yusoff dalam hujahan bertulis kepada mahkamah semalam.
Pihak pembelaan merujuk kepada sebuah kes serupa yang dibicarakan pada 1992, yang berakhir dengan mahkamah membebaskan seorang lelaki yang ditahan selepas polis menemui bungkusan heroin di dalam keretanya.
Dalam kes tersebut, mahkamah memutuskan bahawa pengetahuan tentang kehadiran barang-barang itu tidak mencukupi untuk membuktikan pemilikan, dan bahawa tingkah laku defendan sebelum atau semasa ditangkap tidak mencurigakan.
Dalam kes yang dipetik itu, mahkamah menyatakan bahawa barang-barang itu tidak melalui proses "dusting" untuk mengesan cap jari dalam menentukan sama ada tertuduh mempunyai kesan heroin.
Membandingkan kes tersebut dengan kes Yusoff, pihak pembelaan berkata pemuda itu tidak berada di dalam kereta ketika serbuan.
"Maka, ianya adalah hujahan pembelaan, bahawa pihak pendakwaan gagal dalam kes ini untuk membuktikan unsur pengetahuan oleh tertuduh," tambahnya.
Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris, berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.
Pemuda berusia 32 tahun itu, yang pernah bekerja sebagai pembantu penyelidik Anwar di pejabat banglo ahli politik itu di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 2018, dan kemudiannya membuat laporan polis serta memfailkan kes saman mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh pemimpin PKR itu pada Oktober 2018, menafikan sebarang pengetahuan mengenai dua pistol dan 305g ganja yang ditemui polis dalam keretanya.
Sepanjang penyiasatan dan perbicaraan, Yusoff menegaskan dia merupakan mangsa perangkap orang berkuasa yang menyimpan dendam terhadapnya kerana tindakannya meneruskan saman serangan seksual terhadap Anwar.
Yusoff telah membuat dua laporan polis dengan menyertakan beberapa nama orang yang perlu disiasat, termasuk bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador. Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Dalam hujahnya, pihak pembelaan turut mengimbas kembali jawapan seorang saksi polis ketika dirujuk kenyataan Anwar pada 2020 yang mengatakan beliau tidak akan memaafkan Yusoff.
Saksi tersebut, pegawai penyiasat Aiman Suhaimi, turut bersetuju apabila dicadangkan bahawa Anwar kini merupakan orang paling berkuasa di negara ini.
Aiman turut bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa Anwar mungkin masih tidak memaafkan Yusoff dan oleh itu mungkin masih menyimpan dendam terhadapnya.
Pihak pembelaan kemudian merujuk kepada seorang lagi saksi polis, Muhd Zuhairi Md Zuhir, yang mengakui proses mengesan cap jari tidak dilakukan terhadap barang-barang yang ditemui dalam kereta Yusoff.
Zuhairi turut mengaku Anwar atau pegawainya tidak pernah disoal polis semasa siasatan, walaupun polis dimaklumkan mengenai kenyataan Anwar bahawa beliau tidak akan memaafkan Yusoff.
Di samping itu, pihak pembelaan menegaskan bahawa kamera CCTV tidak dipasang atau didapati rosak di dua lokasi di mana polis menemui barang-barang itu - Jalan Bukit Kiara dan di luar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Bagaimana dan mengapa tidak pegawai Penyiasat melihat fakta-fakta lain seperti dendam dan ‘planting of drugs and pistols’ yang berkaitan rapat dengan isu kes-kes dan/atau isu-isu yang telah sedia wujud antara OKT dan orang-orang yang beliau namakan awal lagi?
"Susulan itu, kami menghujahkan bahawa siasatan pihak polis yang tidak lengkap, memilih-milih dan amat cacat ini telah melaksanakan hak OKT untuk suatu perbicaraan yang adil," katanya.
Ia berkata terdapat jurang besar dalam kes pendakwaan, khususnya berhubung pemilikan dan kawalan Yusoff ke atas kereta Nissan Teana sebelum dadah dan senjata api ditemui semasa serbuan.
"Dihujahkan bahawa OKT tidak wajar dipanggil membela diri semata-mata untuk menutup kelompangan-kelompangan tersebut," tambahnya.
Mahkamah dijangka mengumumkan keputusannya pada 12 Jun.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.