- Iklan -
Berita

Polis rampas telefon milik MalaysiaNow dalam siasatan kes libatkan syarikat Farhash, mineral Sabah

Peguam membidas tindakan itu sebagai usaha menakut-nakutkan wartawan supaya tidak melaporkan kebenaran sekiranya melibatkan tokoh tertentu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pegawai dari Bukit Aman hari ini mengambil keterangan daripada editor MalaysiaNow di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, kali ketiga sejak laporan portal itu pada 21 Julai mengenai permohonan lesen cari gali mineral Sabah oleh sebuah syarikat terkait Farhash Wafa Salvador.
Seorang pegawai dari Bukit Aman hari ini mengambil keterangan daripada editor MalaysiaNow di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, kali ketiga sejak laporan portal itu pada 21 Julai mengenai permohonan lesen cari gali mineral Sabah oleh sebuah syarikat terkait Farhash Wafa Salvador.

Polis hari ini bertindak merampas sebuah telefon bimbit milik editor portal MalaysiaNow, dalam apa yang disifatkan peguam sebagai siasatan tanpa asas yang bertujuan menakut-nakutkan wartawan daripada menjalankan tugas melaporkan isu berkepentingan awam.

Editor MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya hari ini disoal buat kali ketiga, sebahagian daripada siasatan polis berkenaan laporan portal itu pada Julai melibatkan Farhash Wafa Salvador, di mana syarikat terkait bekas ahli politik PKR itu didapati menerima kelulusan lesen carigali mineral di sebuah kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.

Siasatan dijalankan berdasarkan laporan polis oleh Sabah Mineral Management (SMM), agensi kerajaan negeri dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor yang kini terpalit skandal rasuah perlombongan.

Menurut polis, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan atas kesalahan "kebocoran dokumen sulit", di samping Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian", undang-undang yang kerap menyasarkan media dan wartawan yang mengkritik kerajaan.

Soal siasat kali ini berakhir dalam masa kurang 30 minit, di mana Abdar Rahman sekali lagi tidak menjawab sebarang soalan sepanjang keterangannya di ambil oleh pegawai polis dari Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.

Peguam Rajesh Nagarajan dan editor MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya.
Peguam Rajesh Nagarajan dan editor MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya.

Peguam Rajesh Nagarajan mempersoalkan penglibatan polis dalam isu ini, dan berkata anak guamnya "dikejar" polis hanya kerana melaporkan sesuatu yang mempunyai kepentingan awam.

"Adalah sangat penting membenarkan pihak wartawan untuk melakukan kerja mereka. Jika pihak wartawan menulis apa-apa artikel yang berbaur fitnah, kamu samanlah di bawah akta fitnah. Kenapa gunakan polis?

"Ini merupakan suatu penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis, di mana mereka sedang mengejar anak guam saya tanpa sebarang asas. Ia benar-benar tidak boleh diterima," katanya sejurus selepas sesi soal siasat.

Rajesh percaya apa yang dilakukan ialah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa memastikan golongan wartawan "fikir dua kali".

"Dan itu tidak boleh diterima. Kami tidak mahu wartawan itu berfikir dua kali kalau perkara itu benar. Tulis saja, biar rakyat menilai.

"Tetapi wartawan takut nak menulis kerana kena tangkap, telefon kena rampas, kena pergi balai, kena panggil peguam. 

"Ini merupakan suatu helah atau teknik yang busuk untuk memastikan wartawan tidak menulis berkenan apa-apa isu yang melibatkan tokoh-tokoh yang terlibat dengan kerajaan pada masa sekarang," kata Rajesh.

Laporan MalaysiaNow pada 21 Julai , 2025.
Laporan MalaysiaNow pada 21 Julai , 2025.

Pada 21 Julai, MalaysiaNow menerbitkan laporan bagaimana Hajiji memberikan sokongan kuat kepada Bumi Suria Sdn Bhd dalam permohonannya untuk menjalankan aktiviti cari gali arang batu di Sabah.

Bumi Suria dimiliki sepenuhnya oleh Borneo Bumi Sdn Bhd, yang seterusnya dikawal oleh Farhash dan seorang lagi individu bernama Aminuddin Mustapha, masing-masing dengan kepentingan 50%.

SMM meluluskan permohonan Bumi Suria meliputi kawasan hutan simpan seluas 70,000 hektar – tiga kali ganda keluasan bandar raya Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif SMM Natasha Sim menafikan mana-mana syarikat dikaitkan dengan Farhash telah dianugerahkan lesen itu, manakala Farhash pula mendakwa laporan itu sebagai "berita palsu".

Dalam laporan yang menyusul selepas itu, MalaysiaNow menerbitkan surat, minit mesyuarat dan petikan rakaman mesyuarat lembaga pengarah SMM dipengerusikan Hajiji, di mana permohonan Bumi Suria dan rakan usaha samanya dari  Indonesia, PT Bayan Resources, telah mendapat sokongan sebelum diluluskan.

Farhash dan SMM telah memfailkan saman fitnah terhadap MalaysiaNow selepas portal itu enggan menarik balik laporannya mahupun memohon maaf.