Polis buat tangkapan tengah malam berkait video kritik kerajaan
TikToker Muhammad Kamil Puteh dan Aidil Qayyum dari Bersatu ditahan atas ulasan mereka yang menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Terkini
Polis menahan dua individu dalam tangkapan berasingan pada tengah malam dan awal pagi tadi kerana memuat naik kandungan mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam apa yang dilihat sebagai tindakan terbaru kerajaan menghalang kebebasan bersuara dalam talian.
Aidil Qayyum, sebahagian daripada Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu, ditahan di rumahnya pada 1 pagi tadi dipercayai berkait ulasannya yang mengkritik skim subsidi baharu kerajaan untuk petrol RON95.
Aidil disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkait niat menimbulkan "ketakutan atau kegentaran kepada awam".
Ketiga-tiga akta tersebut sering digunakan pihak berkuasa terhadap wartawan dan pengkritik kerajaan.
Sementara itu, TikToker Muhammad Kamil Puteh, pengkritik yang bukan merupakan anggota mana-mana parti politik, ditahan di rumahnya pada 3.30 pagi berikutan komen sinis mengenai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang membebaskan Anwar daripada dakwaan beliau memiliki akaun bank di Israel.
"Laju SPRM buat kerja. 20 akaun dah siasat semua, confirm semua tak ada isu rasuah," kata Kamil dalam video TikTok.
SPRM baru-baru ini menafikan dakwaan Anwar mempunyai 20 akaun bank termasuk di Israel, sambil memberi amaran kepada orang ramai tidak membuat spekulasi "yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah".
Dakwaan itu pertama kali dibuat pada 2013 oleh ahli Parlimen Barisan Nasional Simpang Renggam ketika itu, Liang Teck Meng, yang berkata beliau memetik maklumat daripada senarai diterbitkan oleh laman pemberi maklumat terkenal, WikiLeaks.
SPRM berkata WikiLeaks telah pun menafikan menerbitkan senarai itu.
Kedua-dua Kamil dan Aidil dibawa ke balai polis Dang Wangi untuk ditahan reman, menurut peguam Kamil, Rafique Rashid.
Bagaimanapun majistret menolak permohonan untuk mereman mereka selama empat hari, sebaliknya membenarkan hanya sehari. Kedua-dua mereka dijangka dibebaskan tengah hari ini.
Intimidasi politik
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid mengecam sekeras-kerasnya penahanan Aidil di samping penggunaan Akta Hasutan.
"Armada akan terus melawan penggunaan akta ini terhadap anak muda untuk tujuan intimidasi politik," katanya.
Sementara itu, pempengaruh terkenal Na'im Brundage, yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi Armada Bersatu, berkata penggunaan Akta Hasutan terhadap Aidil menyerlahkan sikap hipokrit Pakatan Harapan.
“Satu akta yang pernah dilabel sebagai ‘akta zalim’ oleh Pakatan Harapan sendiri dalam manifesto pilihan raya mereka yang lalu.
"Akta zalim yang kononnya mahu dimansuhkan mereka kini mereka gunakan terhadap seorang anak muda yang hanya mahu bersuara mengenai isu rakyat. Nampaknya akta ini hanya zalim apabila ia digunakan terhadap mereka, tetapi tidak zalim jika digunakan terhadap lawan politik mereka," Na'im memberitahu MalaysiaNow.
Aidil sebelum ini memuat naik video mempersoalkan langkah Anwar mengehadkan minyak RON95 bersubsidi kepada rakyat Malaysia kepada 300 liter sebulan.
Mulai hari ini, rakyat Malaysia perlu mengemukakan MyKad di stesen minyak seluruh negara untuk membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.
Selain itu, mereka perlu mempunyai lesen memandu yang sah, atau terpaksa membayar RM2.60 seliter.
Aidil mempersoalkan bagaimana seseorang yang menggunakan petrol melebihi 300 liter dianggap berada dalam kategori kaya yang tidak layak subsidi.
"Kalau ya pun, sejak bila orang kaya bukan rakyat Malaysia? Subsidi minyak sejak dulu lagi khas untuk seluruh rakyat Malaysia. Adakah anda nak kata, orang yang lebih senang dan lebih banyak bayar cukai, tidak berhak mendapat subsidi yang datang daripada duit mereka juga?" katanya dalam video TikTok.
"Apa sebenarnya definisi orang kaya? Bagaimana pula orang yang bergaji rendah tetapi banyak menggunakan minyak dalam kehidupan harian. Jangan jadi buta, subsidi makin hari makin ditarik.
"Jelas terbukti, kerajaan Madani ialah kerajaan gagal. Dulu cakap lain, kini buat lain. Malah, ia lebih teruk dari mana-mana kerajaan sebelum ini."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
