- Iklan -
Berita

'Dari harimau ke kucing belaan Amerika': Kabinet digesa letak jawatan di sebalik perjanjian padam kedaulatan

Peguam Rafique Rashid berkata pendedahan bahawa anggota Kabinet telah bersetuju dengan butiran perjanjian itu bererti barisan menteri perlu ambil tanggungjawab.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Jemaah menteri digesa mengambil tanggungjawab kerana bersetuju dengan perjanjian perdagangan bersama Washington yang dikecam ramai.
Jemaah menteri digesa mengambil tanggungjawab kerana bersetuju dengan perjanjian perdagangan bersama Washington yang dikecam ramai.

Barisan menteri di bawah Kabinet Anwar Ibrahim digesa letak jawatan susulan pendedahan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz bahawa perjanjian kontroversi yang ditandangani oleh perdana menteri bersama Amerika Syarikat pada Ahad lalu telah dipersetujui jemaah menteri. 

Peguam Rafique Rashid berkata langkah itu adalah kerana kerajaan secara sedar bersetuju meletakkan negara ke dalam bentuk "penjajahan ekonomi alaf baharu", merujuk perjanjian yang hampir kesemuanya mengikat Malaysia kepada kemahuan ekonomi dan politik Washington semata-mata untuk mengekalkan tarif pada kadar 19%.

"Dari sebuah negara yang gah berdiri sama tinggi duduk sama rendah ke negara menikus. Dari Harimau Asia ke kucing belaan Amerika. Oleh kerana Kabinet telah lulus secara dasar, maka ambillah tanggungjawab secara bersama. Letak jawatan secara jemaah," kata Rafique.

Beberapa klausa dalam apa yang disifatkan kerajaan sebagai perjanjian perdagangan "timbal balas" itu jelas mengikat Malaysia kepada syarat yang ditetapkan AS, mengundang kecaman pelbagai pihak yang berkata negara tunduk kepada perjanjian berat sebelah.

Di sebalik pelbagai alasan diberikan pemimpin kerajaan, Rafique membawa perhatian kepada Klausa 5.1.1 dalam perjanjian itu.

Rafique Rashid.
Rafique Rashid.

"Panjang dan lebar. Bila baca keseluruhan maknanya mudah: Malaysia terikat dengan syarat-syarat Amerika. Ya, Malaysia ada ruang negosiasi, tapi, ia masih meletakkan Malaysia dalam posisi amat berat sebelah. Dalam bahasa mudah, dam haji, siap sedia kena makan," katanya.

Beliau mempersoalkan bagaimana pasukan perunding Putrajaya boleh membenarkan klausa sebegitu wujud terutama apabila ia melibatkan sektor nadir bumi dan sumber asli yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu.

"Memang benar kuasa memasuki perjanjian antarabangsa atau perdagangan antarabangsa ada pada kerajaan persekutuan. 

"Kuasa memasuki perjanjian antarabangsa memang hak kerajaan persekutuan, tetapi tanah dan sumber mineral adalah milik negeri. Adakah negeri-negeri dirujuk atau Kabinet fikir tidak perlu," katanya.

Butiran mengejutkan dalam perjanjian itu mula didedahkan di media sosial dan penganalisis ekonomi, sejurus selepas Anwar bergambar bersama Donald Trump sambil menunjukan dokuman yang ditandatangani, di samping cuba berseloroh dengan presiden AS itu yang menghadiahkannya sebatang pen rasmi dari White House.

Perincian MalaysiaNow mendapati dokumen itu lebih kepada sebuah rangka kerja perundangan yang mengikat dasar luar negara, ekonomi dan keselamatan negara kepada kepentingan unilateral AS, memaksa komitmen kewangan tanpa timbal balik secara mengejutkan, di samping melucutkan kuasa sebagai sebuah negara berdaulat untuk pengawalseliaan.

Selain Klausa 5.1.1 yang mengundang kemarahan orang ramai, beberapa lampiran dan apendiks dalam perjanjian itu mewajibkan Malaysia menyelaraskan polisi perdagangan antarabangsa berdasarkan kepentingan AS, termasuk bersedia "menapis dan berkongsi data kastam dan transaksinya" dengan pihak berkuasa AS.

Trump_Anwar_261025Perjanjian itu juga akan menyaksikan pemindahan kekayaan besar-besaran dari Malaysia ke AS secara sehala sebanyak AS$220 bilion dalam bentuk pelaburan di AS dan pembelian barangan AS oleh syarikat multinasional Malaysia.

Lebih mengejutkan ialah keputusan pentadbiran Anwar bersetuju untuk tidak mengharamkan eksport mineral kritikal ke AS, ketika larangan sama dilakukan China sebagai tindak balas terhadap Washington yang melaksanakan tarif.

Seterusnya Malaysia tidak boleh lagi memaksa pemindahan teknologi daripada firma AS, iaitu salah satu syarat penting kepada syarikat asing dalam dasar perindustriaan selama beberapa dekad yang dimulakan ketika era Dr Mahathir Mohamad.

Perjanjian itu tidak terhenti kepada perdagangan antarabangsa, malah turut menyasarkan dasar pertanian dan kandungan media, seperti menghendaki Malaysia menghapuskan syarat stesen penyiaran memperuntukkan 80% siaran terestrial untuk kandungan terbitan tempatan, dan mengecualikan cukai untuk barangan pertanian AS seperti daging babi, susu dan telur.

'Kalau Uncle Sam kata lompat..."

Semalam di Dewan Rakyat, Zafrul dalam mempertahankan perjanjian itu menuduh pengkritik dan pembangkang menghina penjawat awam yang turut bersama dalam pasukan perunding Malaysia.

Hamzah Zainudin.
Hamzah Zainudin.

Ia dibidas Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin yang berkata kerajaan tidak sepatutnya melenting dan mendakwa pembangkang tidak menghargai jasa pegawai kerajaan.

"Apa yang kami persoalkan adalah tentang perjanjian, kami persoalkan tentang maruah kerajaan, maruah negara. Itu yang kami persoalkan," katanya.

Rafique mempersoalkan Zafrul sama ada Malaysia tidak menggadai kedaulatannya, sambil berkata penjajahan baharu adalah dalam bentuk kawalan ekonomi dan dasar perdagangan.

"Penjajahan moden bukan lagi pacak bendera di tanah orang lain, tetapi mengawal cara negara lain berniaga dan menggubal dasar," katanya.

Rafique berkata Malaysia kini berubah daripada sebuah negara yang bebas berniaga, kepada negara yang perlu mendapat "restu" Washington.

"Bila Amerika kata nadir bumi tidak boleh dijual kepada China atau gas tidak boleh beli dari Iran, mampukah kabinet lawan?" soalnya.

"Kalau Uncle Sam kata lompat, kita tanya berapa tinggi mahu lompat."