Sebuah piagam penjajahan: Bagaimana Anwar serahkan Malaysia kepada Uncle Sam
Penelitian teks dan lampiran perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia-AS menunjukkan ia sebenarnya dokumen berat sebelah yang menjadikan Malaysia sebuah aset yang bergantung kepada Washington.
Terkini
Apa yang dipanggil perjanjian perdagangan timbal balik, yang ditandatangani pada 26 Oktober oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mewakili Malaysia dan Presiden Donald Trump mewakili Amerika Syarikat, disifatkan sebagai perjanjian untuk meningkatkan timbal balik dan menjamin rantaian bekalan.
Namun begitu, kajian menyeluruh teks utama perjanjian dan lampirannya mendedahkan realiti yang sangat berbeza.
Dokumen tersebut didapati bukan bersifat perjanjian biasa di mana dua pihak bersetuju bertolak ansur.
Sebaliknya, ia lebih kepada sebuah rangka kerja perundangan yang mengikat dasar luar negara, ekonomi dan keselamatan negara kepada kepentingan unilateral AS, memaksa komitmen kewangan tanpa timbal balik secara mengejutkan, di samping melucutkan kuasa sebagai sebuah negara berdaulat untuk pengawalseliaan.
Negara suruhan terbaru Amerika?
Klausa paling penting dalam perjanjian itu terletak di bawah Seksyen 5 di bawah "Keselamatan Ekonomi dan Negara".
Perkara 5.1.1 mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi membabitkan AS.
Menurutnya, sekiranya Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan negara, Malaysia "hendaklah mengambil atau memastikan tindakan yang mempunyai kesan sama".
Peruntukan ini dengan sendirinya menamatkan sebuah dasar luar Malaysia yang lama dipegang iaitu untuk tidak bersekutu, dan mengikat negara supaya menuruti sahaja sekatan AS terhadap negara lain, tanpa mengambil kira kepentingan Malaysia.
Penjajaran ini dilanjutkan dalam Perkara 5.2, yang mewajibkan Malaysia untuk "menyelaraskan semua kawalan eksport unilateral yang dikuatkuasakan AS" dan secara aktif bekerjasama dalam menyekat rakyatnya sendiri daripada berurus niaga dengan entiti dalam senarai sekatan domestik AS, seperti Senarai Entiti Jabatan Perdagangan dan Senarai SDN Perbendaharaan AS.
Malaysia perlu dedahkan data
Lampiran perjanjian membutirkan mekanisme penguatkuasaan ini.
Perkara 5.3 dalam Lampiran III mewajibkan Malaysia untuk "menapis dan berkongsi data kastam dan transaksinya" dengan pihak berkuasa AS, termasuk Biro Industri dan Keselamatan AS, bagi mengenal pasti transaksi yang membimbangkan AS.
Malaysia dikehendaki menapis dan berkongsi data kastam dan transaksinya dengan pihak berkuasa AS, memberikan agensi AS akses langsung untuk mengawal data kastam Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang AS di Malaysia.
Ini memberikan agensi AS akses langsung untuk mengawal data kastam Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang AS di Malaysia.
Sebagai alat penguatkuasaan paling berkesan, Perkara 5.3.3 pula memberi AS hak unilateral untuk "membatalkan perjanjian ini" sekiranya Malaysia memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan negara yang "mengancam kepentingan penting AS". Dalam erti kata lain, AS boleh menggunakan veto terhadap diplomasi perdagangan Malaysia.
Harga yang dibayar Malaysia
Kos ekonomi hasil dari status orang bawahan ini diperincikan dalam Seksyen 6 dan Lampiran IV. Ia mewajibkan pemindahan kekayaan besar-besaran dari Malaysia ke AS secara sehala.
Pengaliran keluar modal AS$70 bilion
Perkara 6.1.3, yang diperkukuhkan oleh Lampiran IV, mengikat Malaysia untuk "memudahkan... menerusi pelaburan sekitar AS$70 bilion untuk mewujudkan pekerjaan... di Amerika Syarikat" dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Tempahan pembelian AS$150 bilion
Lampiran IV juga memperincikan "anggaran nilai AS$150 bilion" dalam pembelian oleh syarikat multinasional Malaysia untuk semikonduktor, aeroangkasa dan peralatan pusat data dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kedua-dua komitmen yang berjumlah AS$220 bilion ini berfungsi sebagai pakej rangsangan langsung yang bukan berciri timbal balik untuk ekonomi AS, sambil menghakiskan modal pembangunan domestik Malaysia.
Malaysia dikehendaki menghapuskan syarat stesen penyiaran memperuntukkan 80% kandungan siaran terestrial kepada program tempatan Malaysia.
Ini dilengkapkan dengan rampasan kekayaan sumber ala penjajah.
Perkara 6.2 Lampiran III secara jelas melarang Malaysia daripada "mengharamkan eksport mineral kritikal ke Amerika Syarikat" dan memaksanya untuk "menghapuskan sebarang kuota eksport unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat". Ia seterusnya mengikat Malaysia untuk menggalakkan bekalan magnet nadir bumi dengan "syarat yang memihak kepada Amerika Syarikat".
Klausa ini dengan kuat kuasa undang-undang menghalang Malaysia daripada menggunakan sumber strategiknya sendiri untuk membina industri hiliran bernilai tinggi, menjadikannya sekadar pembekal bahan mentah untuk industri AS.
Merobek kedaulatan negara Malaysia
Selebihnya, perjanjian ini secara sistematik melumpuhkan keupayaan Malaysia untuk mengawal selia ekonominya sendiri, melindungi penggunanya, mahupun memupuk industrinya sendiri.
a. Mengharamkan dasar perindustrian dan fiskal
Perjanjian ini secara jelas mengharamkan kaedah yang digunakan oleh negara membangun untuk membina kapasiti tempatan, termasuk sekatan ke atas pemindahan teknologi dan cukai digital.
Perkara 3.4 melarang Malaysia daripada mewajibkan firma AS untuk "memindahkan atau menyediakan akses kepada teknologi, proses pengeluaran, kod sumber atau pengetahuan proprietari lain" sebagai syarat untuk menjalankan perniagaan.
Perkara 3.1 dalam teks utama mengharamkan cukai perkhidmatan digital yang bersifat "diskriminasi", manakala Perkara 3.1 Lampiran III secara khusus memaksa Malaysia "menghapuskan keperluan platform media sosial dan penyedia awan (cloud) dari AS untuk menyumbang 6% daripada pendapatan mereka... kepada dana domestik".
b. Memindahkan urusan keselamatan pengguna kepada AS
Badan pengawalseliaan domestik Malaysia dianggap tidak relevan dan terikat secara sah untuk menerima piawaian AS sebagai piawaian mereka sendiri.
Ubat-ubatan: Artikel 2.4 Lampiran III menyatakan bahawa Malaysia "hendaklah menerima kebenaran pemasaran yang dikeluarkan oleh FDA (Pentadbiran Makanan dan Dadah)" untuk bekalan ubat-ubatan AS, sebagai mamadai untuk kelulusan di Malaysia, dan mesti menganggap pemeriksaan kilang FDA tidak memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa Malaysia.
Keselamatan Makanan: Artikel 2.6 Lampiran III memerlukan Malaysia untuk "mengiktiraf bahawa langkah-langkah kebersihan dan fitosanitasi (kesihatan tumbuh-tumbuhan) AS... adalah turut memenuhi keperluan langkah-langkah Malaysia".
Seterusnya, Artikel 2.13 menyatakan bahawa jika Malaysia tidak mempunyai had tetap untuk racun perosak, ia "hendaklah mengiktiraf dan menerima had yang ditetapkan AS".
c. Program TV, babi, susu dan telur
Perjanjian itu secara langsung menyasarkan segala-galanya daripada pertanian hingga media.
Misalnya, Artikel 2.20 Lampiran III. Ia menghendaki Malaysia "menghapuskan syarat... bahawa stesen penyiaran memperuntukkan 80% kandungan siaran terestrial untuk program tempatan Malaysia".
Sementara itu, Lampiran I, Apendix 1, menetapkan kuota bebas cukai yang besar untuk barangan pertanian yang sensitif, termasuk 500,000 kg daging babi, dua juta liter susu, dan satu juta biji telur dalam tahun pertama sahaja – semuanya dijangka meningkat setiap tahun. Ini mendedahkan petani tempatan kepada persaingan yang dahsyat yang disokong oleh kerajaan.
Walaupun Malaysia menyerahkan kedaulatan, ekonomi dan kuasa kawal selianya, dalam Perkara 7.4, AS secara eksplisit memiliki hak unilateral untuk mengenakan tarif tambahan ke atas Malaysia untuk "melindungi keselamatan ekonomi atau negaranya".
Sebagai rumusan, ini bukanlah perjanjian dua hala. Ia merupakan sebuah piagam berat sebelah yang akhirnya mengesahkan peranan Malaysia sebagai aset ekonomi dan ketenteraan yang bergantung kepada Washington.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
