- Iklan -
Berita

'Tak apalah, boleh scroll': Anak Anwar dihujani kecaman selepas naikkan klip persediaan Deepavali

Ia ketika perdana menteri dan pentadbirannya dituduh tidak sensitif kerana menganjurkan sambutan rasmi Deepavali dua hari sebelum tarikh sebenar.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Belum pun reda kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dituduh tidak sensitif kerana menghadiri majlis sambutan Deepavali peringkat kebangsaan dua hari sebelum tarikh sebenar hari kebesaran penganut Hindu itu, anak perempuan beliau turut menjadi sasaran kecaman orang ramai apabila tampil dalam sebuah video meninjau persiapan perayaan Deepavali di Klang, Selangor.

"Di sebalik cahaya Deepavali, tersimpan harapan bahawa kebaikan, kasih dan perpaduan akan sentiasa mengatasi kegelapan. Happy Deepavali buat semua yang meraikan," tulis Nurul Izzah Anwar yang memuat naik video itu di saluran TikToknya.

Klip pendek itu menunjukkan Nurul Izzah, yang tampil berkaca mata hitam sambil membalutkan dirinya dengan kain sari berjalan-jalan di sekitar Little India, Klang, menyantuni orang ramai yang membeli belah menjelang sambutan Deepavali.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila diberikan jawatan penasihat ekonomi kepada bapanya sendiri selaku menteri kewangan, bagaimanapun menjadi sasaran kritikan apabila ratusan komen menyindirnya.

Tinjauan di pusat beli belah menjelang sesuatu perayaan biasanya dilakukan oleh wakil rakyat dan menteri Kabinet, menyebabkan ramai yang mempersoalkan atas kapasiti apa Nurul Izzah hadir di Little India.

"Tak pernah dibuat orang," tulis Ieda Fauzi, antara ratusan komen yang mengkritik anak sulung Anwar itu yang baru-baru ini dilantik sebagai timbalan ayahnya dalam PKR.

Ia mengundang jawapan balas Nurul Izzah: "Tak apalah kalau saudari rasa tak pernah dibuat orang. Boleh scroll TikTok saya," tulisnya.

Menurutnya, kehadirannya di Little India atas jemputan, seperti mana pada tahun sebelumnya ketika meninjau persiapan Deepavali di Pulau Pinang. 

"Kalau tak pernah dibuat orang, mereka pun takkan jemput saya," tambahnya.

Jawapan itu bagaimanapun gagal menghentikan serangan terhadapnya.

"Yela mane pernah, cuma dua beranak ni je yang pernah buat," tulis pengguna TikTok zam.azhr.

Pengguna bernama Sesuatu bertanya: "Nurul Izzah MP mana?", diikuti pelbagai jawapan sindiran.

"MP Pasir Bedengung," tulis Payung Emas, merujuk negara rekaan bernama "Pasir Berdengung" dalam filem komedi arahan P Ramlee, Laksamana Do Re Mi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, Nurul Izzah ditewaskan di Permatang Pauh, kerusi Parlimen yang menjadi simbol kekuatan PKR yang pernah disandang oleh kedua-dua ibubapa beliau.

Sementara itu, ramai juga mengambil kesempatan mempersoalkan perjuangan beliau ketika di pihak pembangkang untuk menghapuskan beban hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), di samping pelbagai janji lain oleh bapanya.

"PTPTN sudah dimasuhkan ke belum Izzah... kesian rakyat yang berguling di atas jalan raya ikut Izzah punya ayah reformasi," tulis pengguna Wakzam.

Tidak kurang juga yang membidas Nurul Izzah kerana "berlakon".

"What movie is this? (Ini filem apa?)" tanya Los Blancos.

"Buat wayang ni," tulis Raj.

"Drama Tamil anak Anwar Ibrahim," cuit Ahmad Albab.

SMJ Tattoo pula mengulas: "Anak dan ayah pelakon", disusuli MrK7
yang menulis: "Which TV serial? (Drama bersiri mana satu?) Astro Vannavil ada siar ka?"

Loga pula menulis: "Apa sumbangan dia kepada masyarakat India. Suruh dia senarai dengan bukti."

Beberapa pengulas pro-kerajaan cuba menangkis serangan terhadap Nurul Izzah.

"Teruskan menyantuni rakyat semua bangsa, agama dan lapisan masyarakat!" menurut sebuah komen mempertahankan Nurul Izzah, yang segera memberikan reaksinya: "Insya Allah!"

Beliau turut menjawab beberapa komen positif, yang sebahagiannya dipercayai dimuat naik laskar siber (cybertrooper).

Sebelum ini, kerajaan dikritik kerana mengadakan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani Peringkat Kebangsaan pada 18 Oktober, dua hari sebelum perayaan itu.

"Secara tradisinya, perayaan Deepavali diadakan selepas acara keagamaan, sesuai dengan adat Hindu. Namun, Anwar, sama ada kerana angkuh atau nasihat salah daripada sekutu Indianya, memilih untuk mengadakan rumah terbuka dua hari sebelum Deepavali," kata bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Ramasamy turut berkata sambutan yang diadakan di Brickfields itu rata-rata dihadiri oleh penjawat awam "dan bukan oleh penduduk setempat keturunan India".

"Ketidakhadiran mereka menggambarkan rasa kecewa yang mendalam terhadap kerajaan Madani secara amnya dan Anwar Ibrahim khususnya," tambahnya.