- Iklan -
Berita

Peguam bidas siri tangkapan TikToker ketika kerajaan Anwar jadi sasaran kemarahan

LFL berkata bukan menjadi kesalahan jenayah untuk mempersenda perdana menteri, sambil memberi amaran Malaysia sedang menuju ke arah negara polis.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kandungan dalam talian yang memaparkan orang ramai meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan Anwar Ibrahim semakin bercambah sejak akhir-akhir ini.
Kandungan dalam talian yang memaparkan orang ramai meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan Anwar Ibrahim semakin bercambah sejak akhir-akhir ini.

Tindakan polis menangkap tujuh orang baru-baru ini kerana memuat naik video mengkritik "pemimpin negara" menerima kecaman kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), yang menyifatkannya taktik polis untuk menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak mengkritik kerajaan.

Ia berlaku ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya semakin menghadapi kritikan orang ramai berkenaan pelbagai isu, termasuk syarat baharu yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia untuk mendapatkan subsidi petrol, kemarahan umat Islam terhadap pendirian kerajaan mengenai konflik Palestin, jemputan kepada Donald Trump dan tindakan beberapa menteri yang cuba mempertahankan hidangan arak di majlis rasmi.

"Malah adalah lebih mengerikan apabila kerajaan ini, yang diterajui oleh Anwar Ibrahim, membenarkan serangan terbuka terhadap kebebasan bersuara dengan menggunakan undang-undang yang Anwar pernah berjanji akan dimansuhkan.

"Adakah PM dan pengikutnya dalam Pakatan Harapan lupa akan janji mereka menegakkan kebebasan bersuara dan hak mengkritik kerajaan?" soal pengarah LFL, Zaid Malek.

Pada Isnin, polis mengumumkan tujuh lelaki kerana memuat naik video yang disifatkan berunsur "hasutan" dan "penghinaan" terhadap "pemimpin negara".

Polis berkata enam daripada mereka menyiarkan video di platform TikTok, manakala seorang lagi di Facebook, antara 17 September dan 5 Oktober.

Mereka telah direman untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu undang-undang yang kerap dihalakan terhadap pengkritik di media sosial.

Polis turut memberi amaran keras tidak akan bertolak ansur dengan "sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial atau kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, ugutan atau penghinaan."

Zaid mengingatkan pihak berkuasa bahawa Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan, biarpun ia menjurus "kritikan dan cemuhan terhadap PM".

"Kerajaan dan anggotanya pastinya tidak terlepas daripada kritikan dan cemuhan, dan adalah melampau untuk mengatakan tindakan sedemikian mengganggu ketenteraman awam yang memerlukan penangkapan dan siasatan jenayah."

Zaid berkata, langkah polis mengumumkan tangkapan itu adalah sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak mengkritik kerajaan, sambil menyifatkannya satu bentuk serangan terhadap hak asasi.

"Ia dilakukan untuk menunjukkan kuasa dan menakut-nakutkan masyarakat umum daripada menggunakan hak kebebasan bersuara mereka. Kerajaan tidak boleh cuci tangan daripada mengambil tanggungjawab terhadap tindakan polis," tambahnya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan telah berulang kali membuat janji yang hanya menjadi omongan kosong.

"Sebaliknya, mereka mengakibatkan kebebasan awam dalam keadaan yang semakin teruk."