'Kita dah jadi Korea Utara?' Peguam kecam tangkapan tengah malam terhadap pemuda kritik kerajaan
LFL menyifatkankomen kedua-dua individu adalah mengenai isu kepentingan awam.
Terkini
Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) membidas pihak berkuasa atas tindakan menangkap dua individu yang memuat naik ulasan di TikTok mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil berkata mereka hanya bercakap mengenai isu berkepentingan awam.
"Adakah di bawah kerajaan perpaduan, kritikan terhadap dasar awam atau rasuah kini melanggar undang-undang? Apakah ini Korea Utara?" soal pengarah LFL, Zaid Malek.
Ahli Armada Bersatu, Aidil Qayyum ditahan di rumahnya pada jam 1 pagi hari ini, manakala Muhammad Kamil Puteh, yang terkenal dengan komen berbentuk sindiran menyasarkan Anwar di TikTok, ditahan pada 3.30 pagi.
Kedua-duanya dijangka dibebaskan tengah hari ini selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman empat hari.
Mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, undang-undang yang kerap digunakan terhadap wartawan dan pengkritik kerajaan.
Aidil sebelum ini memuat naik video TikTok mengkritik prosedur baharu kerajaan untuk orang ramai mendapatkan subsidi petrol RON95, di mana had bulanan 300 liter mula berkuat kuasa hari ini, di samping keperluan menunjukkan MyKad dan lesen memandu yang sah sekiranya tidak mahu membayar harga petrol RM2.60 seliter.
Sementara itu, Kamil baru-baru ini mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membebaskan Anwar daripada dakwaan beliau memiliki akaun bank di Israel.
Zaid berkata kedua-dua komen mereka tidak memerlukan tangkapan mahupun siasatan jenayah.
"Pemuda-pemuda ini hanya mengulas isu kepentingan awam. Penahanan mereka merupakan salah kuasa secara terang-terangan."
Beliau berkata subsidi petrol merupakan sebahagian daripada dasar awam, manakala tuduhan rasuah membabitkan seorang perdana menteri sememangnya terbuka kepada perbincangan orang ramai.
Zaid mengingatkan pihak berkuasa bahawa kebebasan bersuara adalah hak perlembagaan yang bukan bergantung kepada "kehendak Madani".
"Kecaman terhadap kerajaan atau mempersoalkan rasuah tergolong dalam lingkungan hak kebebasan bersuara, dan ia sesuatu yang diperjuangkan oleh pemimpin kerajaan sekarang.
"Tiada hak kebebasan bersuara di Malaysia sekiranya pengkritik kerajaan sentiasa ditangkap dan tertakluk kepada siasatan jenayah dan ancaman pendakwaan," katanya.
Beliau turut mengecam penggunaan undang-undang sama yang satu masa dulu menjadi sasaran pemimpin kerajaan sekarang supaya dimansuhkan.
"Kewujudan berterusan undang-undang zalim ini dan penggunaannya secara aktif oleh kerajaan perpaduan adalah tindakan yang jelas menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen atau kritikan terhadap kerajaan dan dasar-dasarnya. Ini merupakan penghinaan kepada perlembagaan dan berbaur kuku besi.
"Paling penting, kerajaan mesti menunaikan janji dan mengambil langkah segera memansuhkan Akta Hasutan dan Seksyen 233 AKM".
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
