- Iklan -
Berita

Bekas pegawai setiausaha agung PBB sangkal hujah 'hak Israel untuk wujud'

Moncef Khane menjelaskan mengapa hujah Israel berhak wujud adalah meleset dan tidak bersandarkan fakta.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Israel dan penyokongnya di Barat kerap membawa hujah 'hak untuk wujud' dan 'hak pertahanan diri' dalam menjustifikasi kempen genosid di Gaza, di mana lebih 50,000 terbunuh dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. Gambar: UNRWA
Israel dan penyokongnya di Barat kerap membawa hujah 'hak untuk wujud' dan 'hak pertahanan diri' dalam menjustifikasi kempen genosid di Gaza, di mana lebih 50,000 terbunuh dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. Gambar: UNRWA

Seorang bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mempersoalkan hujah negara Israel mempunyai hak untuk wujud, menyifatkannya sebagai "palsu" dan penyelewengan realiti sejarah dan undang-undang.

"Dari segi konsep mahupun undang-undang, tidak ada hak untuk wujud sama ada secara semula jadi atau undang-undang – tidak kira bagi Israel atau mana-mana negara lain – kerana penubuhan sesebuah negara-bangsa tidak berakar umbi pada undang-undang antarabangsa. Negara-bangsa adalah hasil pengisytiharan oleh mereka yang mendakwa mewakili negara yang baru dibentuk," kata Moncef Khane dalam penulisannya yang diterbitkan oleh beberapa media, termasuk Al Jazeera.

Khane, yang pernah berkhidmat di pejabat eksekutif bekas setiausaha agung PBB Kofi Annan, berkata negara baharu wujud berdasarkan "fakta politik dan bukan undang-undang", sambil menambah mana-mana kerajaan boleh memilih sama ada untuk mengiktiraf negara itu atau tidak.

Beliau berkata, walaupun sesebuah negara perlu pengiktirafan diplomatik untuk berfungsi sebagai entiti undang-undang dan politik, ia masih terus wujud tanpa pengiktirafan sedemikian.

Moncef Khane.
Moncef Khane.

Khane turut menolak kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron bulan lalu bahawa Israel ditubuhkan melalui resolusi PBB, merujuk kepada Resolusi 181(II) Perhimpunan Agung PBB 1947.

"Salah tanggapan yang sering dikongsi ini merupakan penyelewengan realiti sejarah dan undang-undang," katanya.

Beliau berkata resolusi bertajuk "Sebuah Kerajaan Masa Depan Palestin" tidak mewujudkan negara Israel, tetapi mencadangkan pelan membahagikan Palestin yang ketika itu dijajah British kepada wilayah Yahudi, Arab dan juga meletakkan bandar Baitulmaqdis di bawah sebuah pentadbiran antarabangsa.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, undian mengenai resolusi itu berlaku selepas tekanan hebat daripada lobi Zionis di Eropah.

"Apa yang luar biasa ialah, AS sendiri turut diancam seperti mana dinukilkan Presiden Harry Truman dalam memoirnya: 'Pada saya, belum pernah ada tekanan dan propaganda yang sebegitu hebat kepada Rumah Putih seperti mana yang ditujukan kepada saya dalam hal ini. Kegigihan beberapa pemimpin pelampau Zionis – digerakkan oleh motif politik dan terlibat dalam ancaman politik – mengganggu saya dan menjengkelkan',” tulisnya.

Beliau berkata walaupun resolusi PBB itu diluluskan dengan tipis melebihi dua undi, ia tidak pernah disahkan oleh Majlis Keselamatan dan oleh itu tidak merupakan sebahagian undang-undang antarabangsa.

Pengisytiharan negara Israel oleh David Ben-Gurion pada 1948 berlaku selepas penghijrahan besar-besaran penganut Yahudi ke Palestin, penghapusan etnik dan rampasan tanah oleh kumpulan Zionis, yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran ratusan ribu umat Islam dan Kristian Palestin.

Kewujudan Israel dan "hak mempertahankan diri" merupakan antara topik utama perdebatan mengenai Palestin yang sering diungkit penyokong Zionis di Barat dalam menjustifikasi pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di mana lebih 50,000 orang telah terbunuh setakat ini.

Anwar Ibrahim tampil bersama Richard Quest dalam wawancara dikendalikan CNN baru-baru ini.
Anwar Ibrahim tampil bersama Richard Quest dalam wawancara dikendalikan CNN baru-baru ini.

Kontroversi timbul minggu ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikecam aktivis Palestin kerana bersetuju Israel mempunyai hak untuk wujud.

Dalam wawancara bersama CNN, Anwar mengkritik sikap media Barat kerana menyebarkan naratif berat sebelah yang mengabaikan penjajahan rakyat Palestin, apabila beliau dicelah wartawan Richard Quest yang menanyakan dua soalan.

Quest: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud.
Anwar: Ya, ya.
Quest: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya.
Anwar: Ya.

Jawapan beliau bukan sahaja dilihat bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia selama beberapa dekad untuk tidak mengiktiraf negara Zionis itu, tetapi juga mengingatkan kembali kenyataannya lebih dua dekad lalu bahawa beliau akan "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel".

Beberapa pihak di Israel menyifatkan Anwar sebagai lebih "terbuka" dan "mesra" terhadap negara Zionis itu berbanding perdana menteri sebelumnya, terutamanya Dr Mahathir Mohamad yang kerap diserang ahli politik Israel sebagai "anti-Yahudi".

""Walaupun rekod (kenyataannya) bercampur-baur, (Anwar) Ibrahim sememangnya lebih terbuka kepada Israel berbanding Mahathir yang mengambil pendirian keras, di mana ia berpotensi memberi peluang kepada Israel untuk memperbaiki hubungan (dengan Malaysia) ke tahap tertentu," lapor akhbar Israel Haaretz, beberapa hari selepas Anwar mengangkat sumpah pada Disember 2022.