- Iklan -
Berita

Pindaan perlembagaan gagal bela beribu-ribu anak Malaysia dinafikan kerakyatan

Kumpulan peguam mengkritik Putrajaya kerana memberkan 'harapan palsu' dengan memasukkan klausa bahawa pindaan itu hanya terpakai kepada mereka yang lahir selepas ia berkuat kuasa nanti.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Cadangan menghapuskan diskriminasi gender dalam pemberian kerakyatan kepada anak dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara masih tidak mengubah nasib beribu-ribu kanak-kanak tanpa kerakyatan.
Cadangan menghapuskan diskriminasi gender dalam pemberian kerakyatan kepada anak dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara masih tidak mengubah nasib beribu-ribu kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini membidas kerajaan kerana gagal menyelesaikan masalah yang menimpa ribuan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu berstatus rakyat Malaysia di luar negara dalam pindaan perlembagaan yang dibentangkan hari ini.

Ini kerana pindaan itu hanya terpakai kepada kanak-kanak yang dilahirkan selepas ia berkuat kuasa.

LFL merujuk Fasal 12(1) rang undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution hari ini.

Menurutnya, anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara ini bukan sahaja kekal tanpa kerakyatan, tetapi juga terpaksa bergantung harap dengan ihsan menteri dalam negeri untuk mendapatkan hak perlembagaan mereka sebagai warganegara.

"Seperti mana sebelum ini, mereka hanya boleh memohon kewarganegaraan kepada kerajaan melalui pendaftaran, di mana mereka tertakluk kepada budi bicara mutlak menteri dalam negeri. 

"Sedangkan kegagalan atau keengganan KDN memberikan kerakyatan kepada mereka selama ini yang mencetuskan usaha panjang untuk meminda Seksyen 1(b)," kata peguam dan penasihat LFL N Surendran, merujuk kepada peruntukan dalam perlembagaan yang akan dipinda bagi menggantikan perkataan "bapa" dengan "ibu bapa", sekaligus menghapuskan diskriminasi dalam pemberian kerakyatan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Surendran berkata mereka yang terkesan tidak menikmati apa-apa dengan pindaan ini, sambil menambah mereka telah diberi "harapan palsu" dalam menyelesaikan masalah kewarganegaraan mereka.

Surendran menuntut kerajaan memastikan pindaan itu turut memberi manfaat kepada mereka yang kini dinafikan kewarganegaraan disebabkan istilah sedia ada yang digunakan dalam perlembagaan.

"Untuk mengekalkan Fasal 12(1) dalam RUU ini adalah suatu pengkhianatan kepada janji yang diulang-ulang pemimpin kerajaan termasuk perdana menteri, bahawa masalah kewarganegaraan mereka akan diselesaikan menerusi pindaan perlembagaan," tambahnya.