- Iklan -
Berita

Beri kerakyatan ikut undang-undang, bukan ikut selera pegawai, kerajaan diberitahu

Empat individu masih menunggu diiktiraf sebagai rakyat Malaysia walaupun layak di bawah perlembagaan

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam N Surendran berkata hak kerakyatan golongan tanpa warga negara sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan.
Peguam N Surendran berkata hak kerakyatan golongan tanpa warga negara sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan.

Kerajaan digesa menyempurnakan hak kerakyatan kepada empat orang wanita yang dinafikan hak kewarganegaraan sejak lahir dengan alasan yang tidak munasabah meskipun layak di sisi undang-undang. 

Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) berkata keempat-empat wanita itu seharusnya mendapat taraf kewarganegaraan secara "automatik" seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Mereka ialah Vanessa, 21, Wiwin Hamdayani, 22, Khairunnisa Ibrahim, 29 dan Seri Mulyati, 41. 

Ayah Vanessa merupakan warganegara manakala tiga yang lain dilahirkan dengan status ayah sebagai pemastautin tetap.  

Penasihat LFL, N Surendran berkata hak keempat-empat individu itu untuk mendapat kerakyatan ditolak berkali-kali meskipun mereka lahir, dibesarkan dan menetap di Malaysia.

Tambahnya, mereka juga bukan merupakan rakyat mana-mana negara lain. 

Surendran berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan, mereka sudah pun layak digelar warganegara.

Ini kerana taraf kerakyatan bukanlah dianugerahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi merupakan hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

"Tetapi hak mereka untuk dapat kad pengenalan sudah dicabuli," katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya hari ini yang turut disertai bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya.

Latheefa Koya, Ambiga Sreenevasan (tiga dari kiri) dan N Surendran (paling kanan) bersama empat individu tanpa kerakyatan pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Latheefa Koya, Ambiga Sreenevasan (tiga dari kiri) dan N Surendran (paling kanan) bersama empat individu tanpa kerakyatan pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Dalam sidang media itu, LFL menjelaskan proses mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi keempat-empat wanita itu menjadi rumit apabila petugas di kaunter-kaunter JPN tidak mengendalikan permohonan mereka dengan baik. 

Ini termasuklah penyerahan borang yang tidak tepat dan permintaan untuk mengemukakan dokumen yang tidak diperlukan kepada pegawai kerajaan. 

Bahkan, tiga daripada mereka terpaksa hadir ke kedutaan Indonesia dan mengesahkan bahawa mereka bukan rakyat negara tersebut. 

"Mereka (KDN) dan kerajaan sudah melakukan hal ini berdekad lamanya."

LFL membayangkan usaha mendapatkan kerakyatan akan bertambah buruk kepada keempat-empat individu itu sekiranya pindaan tersebut diluluskan di Parlimen. 

Keputusan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk meneruskan pindaan perlembagaan berhubung hak kerakyatan kanak-kanak dan terabai dan bayi terbuang menerima bantahan pelbagai pihak.

Di bawah pindaan baru, nasib mereka yang sebelum ini berhak mendapat kerakyatan akan terletak di bawah budi bicara menteri dalam negeri kerana kerakyatan secara "kuatkuasa undang-undang" akan ditukar kepada kerakyatan melalui "pendaftaran". 

Menurut Surendran, kes yang melibatkan golongan tanpa kerakyatan di Malaysia selalunya berakhir dengan pemohon berputus asa selepas beberapa kali permohonan mereka ditolak. 

"Mereka dah hilang harapan."