- Iklan -
Berita

Perairan kaya minyak Sabah jadi tumpuan selepas Putrajaya nafi serah Ambalat kepada Indonesia

Ini berikutan laporan menyatakan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Beberapa persoalan dibangkitkan mengenai penafian Putrajaya terhadap perjanjian maritimnya dengan Indonesia baru-baru ini termasuk blok Ambalat, kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah yang dikatakan mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia.

Ia timbul selepas Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan Assaffal Alian bahawa Malaysia telah menyerahkan tuntutannya kepada Indonesia. 

Sebaliknya, Alamin berkata perjanjian maritim yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Joko Widodo baru-baru ini, yang dipuji oleh kedua-dua pemimpin bagi menamatkan pertikaian selama 18 tahun, tiada kaitan dengan blok Ambalat atau mana-mana kawasan lain yang lebih 200 batu nautika dari Zon Ekonomi Eksklusif.

“Kita belum runding mengenai kawasan yang dikatakan sebagai Ambalat itu,” katanya semalam.

Laporan eksklusif CNBC bulan lepas bagaimanapun berkata Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat.

Laporan pada 13 Julai itu memetik Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia, Tutuka Ariadji, yang berkata Indonesia dan Malaysia akan menjalankan "desk study" mengenai cari gali minyak di Ambalat, satu langkah untuk menganalisis data daripada kedua-dua pihak. 

Tutuka berkata perjanjian sempadan maritim yang ditandatangani pada Jun adalah "petunjuk kerjasama yang lebih erat pada masa depan", sambil menambah kajian awal, yang akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, adalah lebih baik daripada kaedah tinjauan seismik biasa yang katanya boleh mencetuskan potensi konflik akibat pencerobohan rentas sempadan. 

"Kedudukan kita berfaedah kerana banyak pulau," kata Tutuka kepada CNBC. 

Pada 8 Jun, Anwar dan Jokowi menandatangani beberapa perjanjian termasuk mengenai persempadanan laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka, di sebalik keraguan daripada pakar maritim mengenai cadangan untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Sehari sebelum itu, MalaysiaNow melaporkan pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan negara jiran Indonesia.

Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan yang menjadi pertikaian dengan Jakarta di Laut Sulawesi dan di bahagian paling selatan Selat Melaka.

Ketika disoal mengenai perkara itu, Anwar berkata perjanjian itu masih belum muktamad.

“Rundingan untuk melengkapkan garis sempadan wilayah di Laut Sulawesi masih diteruskan. 

“Saya beritahu Presiden Jokowi, Malaysia masih mempertahankannya sebagai milik Malaysia, dan menurut Jokowi, pakar-pakar dia sebut itu milik dia (Indonesia).

“Maka kita menangguhkan dan meneruskan perbincangan,” kata perdana menteri dalam jawapan di Dewan Rakyat.

Jokowi, sebaliknya, berkata perjanjian itu menyelesaikan pertikaian lama dengan Malaysia.

“Selepas 18 tahun rundingan... Alhamdulilah, ia akhirnya dapat diselesaikan,” katanya dipetik AP semasa sidang media bersama Anwar. 

Perebutan Ambalat, yang Malaysia rujuk sebagai Blok ND6 dan Blok ND7, menyaksikan pertikaian antara Malaysia dan Indonesia, dengan isu itu sering diangkat semasa protes anti-Malaysia di Indonesia.

Pada tahun 2004, firma minyak negara Petronas memberi konsesi kepada Shell untuk meneroka minyak dan gas dalam kawasan Ambalat hingga mendapat bantahan daripada Indonesia, yang juga memberikan konsesi kepada syarikat Itali ENI.

Pada 2008, Jakarta membantah kehadiran tentera Malaysia di kawasan itu, dan pada tahun berikutnya, kapal tentera laut Indonesia dilaporkan hampir melepaskan tembakan ke atas kapal peronda tentera laut Malaysia kerana ingkar untuk beredar.

Indonesia menuntut pemilikan kawasan itu dengan memetik Perjanjian Sempadan Benua Indonesia-Malaysia yang ditandatangani pada 1969 di Kuala Lumpur, meskipun lokasi blok Ambalat bersempadan secara langsung dengan Malaysia.

Malaysia kemudiannya mengeluarkan peta rasmi yang meletakkan blok Ambalat dalam wilayahnya.