- Iklan -
Berita

‘Mat motor’ jadi segmen undi paling unik di Malaysia?

Memandangkan pilihan raya semakin hampir di enam negeri, undian penghantar makanan boleh menjadi faktor penentu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap semasa sesi bersama penghantar makanan atau p-hailing di Petaling Jaya, Selangor, 22 Julai. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap semasa sesi bersama penghantar makanan atau p-hailing di Petaling Jaya, Selangor, 22 Julai. Gambar: Bernama

Selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bekas perdana menteri Najib Razak kerap kali muncul sebagai “mat motor” dengan berpakaian serba serbi hitam- jaket parka, seluar jeans, kasut dan motosikalnya juga berwarna hitam.

Ketika itu, beliau sering mengadakan sesi pertemuan dengan geng mat motor di sekitar Lembah Klang yang kemudiannya mencetuskan fenomena “Bossku” apabila video pendek Najib dengan seorang pemuda yang menyebut slogan itu menjadi tular.

Meskipun tidak pernah dilihat Najib menunggang motosikal, beliau dirakam lensa kamera menunjukkan aksi memulas “throttle” atau “remp” seperti yang disebut oleh kumpulan penunggang motosikal.

Aksi dan pemakaian Najib setiap kali muncul dalam acara dengan mat motor disambut dengan sorakan gemuruh hadirin.

Selepas beberapa tahun berlalu dan Najib sudah pun dihantar ke penjara, kumpulan penunggang motosikal masih mendapat tempat dalam arena politik tanah air. 

Kumpulan ini menjadi satu kelompok unik kerana dianggap sebagai satu segmen undi yang tersendiri.

Bercakap mengenai hal itu, pemerhati politik bebas dan bekas penyelidik di Initiate.My, Akwa Mahzan berkata penunggang motosikal boleh dikategorikan kepada dua kumpulan utama berdasarkan latar belakang ekonomi mereka.

Pertama, kumpulan elit yang menunggang motosikal berkuasa tinggi manakala kelompok kedua pula terdiri daripada penunggang motosikal mampu milik dan juga bukan dari status sosioekonomi yang kaya.

Menurut Akwa, mereka ini juga selalu dirujuk sebagai “mat rempit” dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Segmen motor ni dari dulu lagi pun dah dapat sokongan (politik).

“Mereka ini dalam satu segmen saluran umur pengundi muda iaitu 21 tahun hingga lewat 20 atau 30-an.

“Disebabkan mereka ramai maka senang dikawal oleh ahli-ahli politik. Melalui kegiatan dan aktiviti mereka ini, ahli politik boleh menawarkan sesuatu untuk teruskan undian terhadap pihaknya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambah calon doktor falsafah itu lagi, bukan sahaja Najib, bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin juga pernah mendekati kumpulan mat motor di Negeri Sembilan dengan membuka satu litar motor khusus untuk kegunaan kelompok itu.

Di Malaysia, kumpulan mat motor sering dilihat meriah apabila tiba musim pilihan raya. 

Mereka akan hadir dalam jumlah yang ramai membawa bendera-bendera parti untuk berkempen, berarak semasa penamaan calon dan mengiringi ketibaan pemimpin utama ke pentas-pentas ceramah.

Disebabkan status ekonomi yang tidak kukuh, penglibatan mat motor dalam politik sering kali dilabelkan sebagai aktiviti sogokan daripada ahli politik yang memberikan mereka upah untuk hadir ke program-program tertentu.

Akwa menjelaskan, dalam tanggapan tersebut tidak sepenuhnya salah kerana mat motor sebenarnya berperanan sebagai ejen mobilisasi untuk parti-parti politik terutamanya dalam membawa bendera yang secara tidak langsung menjadikan mereka sebahagian daripada jentera parti.

“Tetapi tidak semua mereka ini adalah orang parti.”

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, kumpulan mat motor adalah satu segmen yang mempunyai kemampuan untuk mempromosikan sesuatu disebabkan aktiviti mereka yang mudah menarik perhatian orang ramai.

Ini termasuklah menjalankan aktiviti dan kegiatan sambil mempamerkan diri di atas jalan raya atau dalam platform media sosial.

Dulu disisih, sekarang dicari?

Terbaru, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendekati penghantar makanan p-hailing untuk membincangkan isu-isu kebajikan melibatkan pekerja di sektor itu menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Dalam satu program di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Anwar turut mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi melantik sekretariat tidak rasmi bagi menyelaras isu berkaitan pekerja p-hailing dalam usaha memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin.

Ramai pihak mula mempersoalkan tindakan terbaru Anwar itu dengan membandingkan inisiatifnya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabelkan kumpulan mat motor bergaji rendah dan bertaraf pendidikan rendah adalah penyokong dan pengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu. 

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan gabungan itu selepas PRU15 tahun lalu.

Kenyataan Saifuddin pada Februari meninggalkan banyak reaksi termasuk ramai anak muda yang menganggap gabungan itu tidak yakin terhadap sokongan mereka kepada PH manakala pengundi muda yang mempunyai kerja dan gaji yang stabil lebih mendapat tempat dalam gabungan tersebut.

Dalam pada itu, Akwa menegaskan PH perlu sedar sampai bilakah mereka boleh mengenepikan golongan tersebut, sebaliknya terus mendekati dan menyantuni mereka dengan lebih baik.

“Mereka ini nak satu peluang. Jadi, parti yang mana boleh bagi peluang mereka akan sokong.

“Kalau (parti politik) boleh pegang satu komuniti ‘underground’ macam mat motor, boleh dapatkan jurang sosioekonomi rakyat.”

Manakala Mazlan pula menyifatkan tindakan Anwar merebut segmen p-hailing sebagai satu perbuatan yang bijak kerana mereka berpotensi memberikan impak yang lebih berkesan.

Ini katanya kerana, p-hailing adalah sekumpulan besar mat motor yang berkhidmat dan mereka boleh membantu mempromosikan pemimpin dan juga ahli-ahli politik.

“Kumpulan ini berkhidmat kepada rakyat, tentu simpati dan sokongan terhadap kumpulan ini lebih besar,” katanya.