- Iklan -
Berita

Anwar yakin kerajaan campuran kekal sehingga PRU akan datang

Beliau menepis cakap-cakap bahawa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mempunyai sokongan yang cukup untuk dilantik sebagai perdana menteri baharu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Perpaduan yang menerajui negara ketika ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. 

“Insya-Allah, kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga PRU akan datang. Saya sangat yakin atau saya tidak akan mengeluarkan kata-kata ini,” kata Anwar sebagai menjawab dakwaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang kononnya mempunyai Surat Akuan Berkanun (SD) untuk menyokongnya sebagai perdana menteri yang baharu.

Menjelas lanjut Anwar berkata sekiranya Ahli Parlimen Larut itu benar-benar mempunyai sokongan seperti yang didakwa, beliau boleh membawa usul tersebut ke Parlimen. 

“Kalau dia (Hamzah) ada (SD), tunggu masa Parlimen bawalah SD dan usul di Parlimen. Tak ada masalah.

“Ini dia tiap minggu dia jadi mengigau mingguan. Sebelum puasa, sebelum raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam, Chinese New Year... tunggulah,” katanya selepas melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di Jalan Wisma Putra, di Kuala Lumpur hari ini. 

Ditanya mengenai pendirian kerajaan untuk membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa kini berada di China, Anwar berkata kerajaan kini sedang berunding dengan negara-negara berkenaan untuk mempercepatkan proses itu, namun enggan mengesahkan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan itu. 

Menurutnya proses itu juga amat rumit kerana melibatkan negara-negara besar, perkhidmatan risikan dan Polis Antarabangsa (Interpol). 

“Negara-negara sedang bekerjasama. Negara terlibat yang kita hubungi telah memberikan sokongan," katanya.