'Fahami isu, bukan raih populariti': Radzi ditegur selepas gesa kerah tentera tangkap pendatang tanpa izin
Sasaran sebenar tentera sepatutnya agen pengambilan dan majikan yang mengeksploitasi pekerja, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata bekas ahli Parlimen.
Terkini
Cadangan seorang pemimpin Bersatu supaya kerajaan mengerah tentera untuk membanteras masalah pendatang tanpa izin menunjukkan beliau tidak faham isu tersebut, di samping menunjukkan sikap sesetengah ahli politik yang cuba meraih populariti, kata seorang bekas ahli Parlimen.
Charles Santiago mengulas ucapan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, di Dewan Rakyat semalam yang menggesa kerajaan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara untuk menangkap dan menghantar pulang pendatang tanpa izin.
Radzi berkata seluruh jentera kerajaan perlu digerakkan seperti mana dilakukan sewaktu pandemik Covid-19.
"Ini termasuk dengan menggerakkan ketumbukan anggota tentera boleh digunakan untuk membersihkan negara ini daripada pendatang asing tanpa izin," katanya.
Charles berkata kenyataan itu tidak mengambil kira punca sebenar yang menyebabkan lambakan pekerja migran tanpa izin, iaitu sikap tamak dan eksploitasi oleh ejen pengambilan pekerja, majikan serta pegawai korup yang membiarkan kegiatan tersebut.
"Ahli Parlimen seperti Radzi perlu memahami isu yang dibincangkan, bukannya sekadar beraksi untuk meraih populariti orang ramai. Pekerja migran BUKAN punca utama krisis ini," kata Charles, bekas ahli Parlimen Klang yang lantang dalam isu melibatkan buruh dan migran.
Charles berkata antara masalah utama ialah sistem yang mengenakan yuran perekrutan yang menguntungkan pihak tertentu, tetapi memangsakan pekerja.
Katanya, walaupun Malaysia mengehadkan yuran penempatan pekerja kepada gaji sebulan, pekerja Bangladesh lazimnya membayar antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk mendapatkan pekerjaan, iaitu berbelas kali ganda had yang dibenarkan.
Menurutnya, ini memaksa pekerja menanggung hutang besar sehingga mereka terpaksa tinggal lebih masa supaya dapat bekerja dan mendapatkan semula wang yang dibelanjakan.
Charles berkata sehingga kini, tiada agensi pekerjaan didakwa di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta sepanjang tempoh 2025 hingga 2026.
Memetik Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2026, beliau berkata penglibatan pihak berkuasa juga merupakan isu yang serius.
"Radzi sendiri mengakui bahawa terdapat penjawat awam yang membantu sindiket pemerdagangan orang.
"Mengapa gesa tentera dikerah untuk memburu pekerja? Mengapa kita tidak sasar pihak yang mengaut keuntungan dan mengekalkan sistem ini?"
Tambahnya, sebetulnya tentera perlu dikerah untuk memburu majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengambil pekerja tanpa dokumen.
"Kerahlah tentera untuk melawan kartel pengambilan pekerja yang mewujudkan perhambaan hutang, serta pegawai korup yang memudah cara pemerdagangan tenaga kerja.
"Jika benar-benar serius mengurangkan migrasi tidak teratur, kita mesti merombak sistem yuran pengambilan yang sangat menguntungkan ini, sistem yang menjana keuntungan besar dengan mengorbankan pekerja migran serta mengekalkan kitaran perhambaan hutang," katanya.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
