Tersadai di Malaysia: Pekerja asing jadi mangsa pemerdagangan manusia, tidak dibayar dan 'dijual' antara majikan
Pekerja menceritakan bagaimana mereka terjerumus ke dalam rangkaian tenaga kerja tanpa dokumen di Malaysia, dipindahkan sebagai buruh tanpa gaji sementara pasport mereka dirampas.
Terkini
Pada jam 4 pagi minggu lalu, Ramjaan sekali lagi terjaga daripada tidur.
Bunyi telefonnya disusuli mesej daripada isterinya di Uttar Pradesh, India. Dia merenung skrin telefon, jarinya di atas skrin, teragak-agak. Akhirnya, dia meletakkan semula telefon itu kerana tidak tahu apa yang perlu dijawab kepada isterinya. Jika dia sendiri masih tidak pasti sama ada dapat kembali ke kampung halamannya, apatah lagi menentukan tarikh kepulangan.
Lelaki berusia 37 tahun itu terpaksa bersembunyi di Malaysia selepas melarikan diri daripada apa yang disifatkannya sebagai eksploitasi di sebuah syarikat logistik di Johor.
Ramjaan tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Menurutnya, pasportnya dirampas oleh seorang penyeludup dari India bernama Isha pada malam 23 Januari 2026, iaitu hari sama dia tiba di Malaysia.
Tanpa kemahiran bahasa atau dokumen pengenalan diri, Ramjaan berkata dia tidak dapat meminta bantuan atau membuktikan identitinya.
“Saya bimbang jika ditangkap sebagai pendatang tanpa izin. Bagaimana saya hendak menjelaskan situasi saya dalam bahasa Hindi?” kata Ramjaan ketika menceritakan nasibnya kepada MalaysiaNow.
Dengan nada sedih, Ramjaan seolah-olah tidak sabar memberitahu: “Saya mahu pulang ke rumah. Saya kecewa dan buntu.”
Apa yang dialami Ramjaan bukanlah kes terpencil.
Dia merupakan salah seorang daripada tiga warganegara India berasal dari Muzaffarnagar di negeri Uttar Pradesh yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan akhirnya terperangkap di Malaysia tahun ini.
Ramjaan bersama Danis dan Babbar berkata mereka direkrut oleh ejen yang sama, seorang bernama Isha, yang menjanjikan permit kerja di Malaysia, di samping pendapatan bulanan sebanyak RM2,127.33 (kira-kira 50,000 rupee India) untuk pekerjaan membungkus kekacang.
Sebaliknya, mereka mendapati diri mereka terjerumus dalam rangkaian tenaga kerja tanpa dokumen yang melibatkan sektor logistik dan pertanian di Malaysia, di mana antara kerja yang dilakukan ialah “memikul kotak seberat 30-50kg tanpa sebarang peralatan perlindungan”.
“Kami menanggung sakit belakang kronik, hanya makan sekali sehari dan bekerja dalam syif panjang sehingga 17 jam. Kami tidak pernah menerima sebarang gaji walaupun telah menuntutnya; sebaliknya, kami dipindahkan kepada majikan lain tanpa persetujuan kami,” kata Danis, 29, yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia pada 23 Januari 2026.
Dia diperdagangkan sebagai buruh terikat sebanyak dua kali. Kali pertama di India semasa pandemik Covid-19 untuk bekerja di sebuah kilang batu bata, dan kini di Malaysia.
Beberapa bulan kemudian, hanya seorang daripada mereka berjaya pulang ke tanah air.
Pasport palsu, persetujuan rekaan
Pada 1 September, Babbar, 37, akhirnya pulang ke India, namun dia membawa bersamanya trauma, beban hutang sebanyak RM6,124 (150,000 rupee India) dan sekeping pasport Nepal palsu.
Pengalaman pahit Babbar bermula pada Mac 2026, apabila dia diperdagangkan ke Malaysia.
Dalam tempoh lima bulan, dia “dijual” sebanyak tiga kali kepada syarikat-syarikat besar tanpa persetujuannya.
Ia termasuk sebuah syarikat penghantaran ekspres yang digunakan oleh platform beli-belah dalam talian, sebuah syarikat pemborong buah-buahan dan sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasangan serta penyelenggaraan kenderaan komersial.
Menurut Babbar, sebelum dia dipindahkan ke syarikat kenderaan tersebut, ejen yang merekrut di gudang buah-buahan itu menyerahkan kepadanya pasport Nepal palsu.
“Dia memberitahu saya pasport palsu diperlukan kerana warga India dilarang bekerja di situ,” kata Babbar.
Perkara serupa dialami Danis, yang diberikan pasport Nepal palsu sebelum ditempatkan di syarikat yang sama.
“Kami sudah tidak berdaya kerana semua pihak bersekongkol dalam sistem ini: majikan, penyeludup manusia, penyelia, pihak sumber manusia dan sebagainya,” kata Danis.
Pekerja-pekerja itu juga menceritakan bagaimana penyeludup manusia merekayasa “persetujuan” bagi menggagalkan sebarang usaha sistematik untuk menyelamatkan mereka.
“Setiap kali pekerja menghubungi keluarga atau pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan, orang tengah akan menyeksa kami dan memaksa kami merakam video mengikut skrip yang ditetapkan, bagi mendakwa kononnya tempat kerja dan keadaan tempat tinggal kami adalah selamat,” kata Babbar.
Nirmal Gorana, penyelaras Jawatankuasa Kempen Kebangsaan bagi Penghapusan Buruh Terikat di India, berkata rakaman seperti itu boleh menjejaskan siasatan “kerana pihak berkuasa mungkin menganggap pekerja berada dalam keadaan selamat sedangkan hakikatnya tidak”.
Ketika dihubungi, salah sebuah syarikat yang dinamakan menafikan dakwaan tersebut, sambil berkata ia tidak mempunyai sebarang rekod menggaji warga asing.
Syarikat tersebut mengesahkan ia sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Tinggi India dan Pejabat Buruh.
“Oleh itu, dakwaan mengenai pekerja haram, penafian gaji, rampasan pasport dan amalan buruh yang berkait dengan pemerdagangan manusia – setakat mana ia ditujukan kepada syarikat ini – adalah tidak berasas,” kata syarikat itu yang turut menambah agensi kerajaan “berpuas hati dengan penjelasan syarikat serta dokumen yang dikemukakan”.
Eksploitasi tersusun
Siasatan MalaysiaNow mendedahkan bukti bahawa syarikat-syarikat di Malaysia mengambil pekerja tanpa dokumen yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dari India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar melalui pelbagai ejen pemerdagangan yang bertindak sebagai perekrut.
Menurut pekerja, mereka kerap dipindahkan dari satu syarikat ke syarikat lain tanpa dibayar gaji selepas pasport mereka dirampas.
Babbar, Ramjaan dan Danis dipindahkan antara tiga hingga lima syarikat dan diberikan pasport palsu, terutamanya selepas mereka menuntut bayaran gaji atau meminta pasport mereka dikembalikan supaya dapat pulang ke India.
Ia menyerlahkan satu bentuk eksploitasi tersusun yang melibatkan sektor logistik, pertanian dan automotif, di mana syarikat-syarikat mengelak daripada bertanggungjawab sementara pekerja dipaksa bekerja tanpa gaji dengan kebebasan yang sangat terbatas untuk keluar atau mendapatkan bantuan.
Kegagalan kerajaan bertindak
Kementerian Hal Ehwal Luar India melancarkan portal MADAD khusus untuk menangani masalah yang dihadapi pekerja migran India di luar negara.
Namun, apabila Gorana dan keluarga Babbar memohon bantuan bagi mendapatkan tiket pulang untuk Babbar, permohonan itu ditolak walaupun selepas diberikan jaminan.
Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa 1930 (P029) mewajibkan negara-negara yang meratifikasinya mengambil langkah melindungi pekerja, khususnya pekerja migran, daripada amalan pengambilan yang bersifat penipuan dan penganiayaan. Konvensyen tersebut menetapkan keperluan untuk menghapuskan buruh paksa, melindungi mangsa dan memastikan akses kepada keadilan.
Malaysia terus berdepan kritikan mengenai layanan terhadap pekerja migran, di mana sistem penajaan menyebabkan status seseorang pekerja bergantung kepada majikan mereka. Jika majikan melakukan penganiayaan, pekerja yang bertindak meninggalkan tempat kerja atau membuat aduan mengenai persekitaran kerja berisiko menjadi pekerja tanpa dokumen atau pendatang tanpa izin.
Awal tahun ini, Bloomberg menerbitkan hasil penyiasatan yang mengejutkan mengenai sebuah syarikat milik warga Bangladesh yang diberi lampu hijau merekrut berjuta-juta pekerja asing, kebanyakannya kehilangan wang simpanan seumur hidup demi melangsaikan “yuran sindiket” untuk mendapatkan pekerjaan yang tidak pernah wujud.
Laporan itu turut memuatkan kisah seorang petani Bangladesh bernama Shofiqul Islam, yang meminjam AS$4,400 untuk membayar yuran pengambilan bagi pekerjaan dalam sektor pembinaan, dengan harapan dapat menyara anak-anaknya.
Namun, setibanya di Malaysia, majikannya Petrazehra Bhd mengabaikannya. Walaupun tidak pernah merekodkan keuntungan selama dua tahun, syarikat itu mendapat kelulusan merekrut 1,500 warga Bangladesh.
Dalam keadaannya yang menganggur, dibebani hutang dan berstatus pendatang tanpa izin di Malaysia, Shofiqul jatuh sakit dan meninggal dunia pada awal 2024, jenazahnya dihantar pulang ke kampungnya, di mana keluarganya masih bergelut untuk melunaskan hutang daripada yuran pengambilan tersebut.
Sementara itu, di Uttar Pradesh, India, lelaki bernama Isha, individu yang didakwa sebagai penyeludup manusia, serta kuncu-kuncunya Nadeem, Talib, Tayyab dan Dilshad masih bebas walaupun wujud laporan polis, termasuk laporan maklumat awal (FIR) terhadap mereka di balai polis Meerut dan Muzaffarnagar.
Beberapa mangsa mula berkongsi pengalaman pahit mereka secara dalam talian bagi mendedahkan kegiatan kumpulan tersebut dan memberi amaran kepada orang lain.
Gorana berkata organisasinya kini berhubung dengan lebih daripada 20 warga India yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan buruh terikat oleh Isha dan pelbagai ejen pengambilan pekerja lain dalam rantaian bekalan di Malaysia, dan mereka amat memerlukan bantuan untuk diselamatkan serta sokongan lanjut.
“Tujuannya bukan sahaja untuk membawa pulang para pekerja dan menangkap pihak yang terlibat dalam pemerdagangan manusia, malah untuk memastikan syarikat-syarikat berkenaan bertanggungjawab atas eksploitasi tersebut,” kata Gorana.
Pari Saikia ialah seorang wartawan bebas dan penerima anugerah atas liputannya mengenai isu pemerdagangan manusia.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
